GUNA TEKNOLOGI SIBER MENANGI HATI MANUSIA


GUNA TEKNOLOGI SIBER MENANGI HATI MANUSIA

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


PETALING JAYA: Ahli PAS perlu menggunakan ilmu teknologi maklumat terkini sebagai senjata lembut untuk masuk ke dalam hati-hati manusia dengan menyampaikan risalah Islam, demikian seru Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. 

Apatah lagi katanya, dalam perjuangan melalui demokrasi pilihan raya adalah perlu untuk mencari undi sebanyak-banyaknya dan bukan mencari ramai musuh sama ada mereka yang menjadi ahli PAS, menyokong PAS dan yang tidak bermusuh dengan PAS. 

Katanya, menyampaikan mesej perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk menyelamatkan manusia sememangnya memerlukan kesabaran dan keteguhan hati. 

“Nabi sebut dalam satu hadis, bukan orang yang hebat dan pahlawan itu, orang yang gopoh dan cepat bertindah. (Tapi) Orang yang hebat itu, orang yang dapat mengawal diri apabila dia marah. Bila dia marah, dia dapat mengawal diri. Kalau terlalu marah, bukan sahaja cakap celupar, menulis pun celupar. 

“Inilah peringatan saya, gunakan teknologi maklumat terkini, senjata yang lembut, yang masuk ke dalam hati-hati manusia. Gunakan kebijaksanaan, dengan sebaik-baiknya, ilmu yang cukup, alat teknologi yang canggih,” ujarnya pada Persidangan ICT & Data Raya di Dewan Sivik MBPJ, di sini 12 Disember lalu.

Beliau memberi nasihat agar jangan menulis sebarangan, secara tidak betul, terpaksa atau tidak tepat hujah dan tajuknya, sebaliknya mestilah bertujuan memperkenalkan Islam dengan uslub dan cara yang lembut untuk menarik manusia serta tidak membiarkan mereka. 

Tuan Guru memetik kisah perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun AS supaya bertemu Raja Mesir yang taghut, paling angkuh dan zalim dalam sejarah manusia iaitu Firaun dengan menyerukannya secara lembut, halus dan mengemukakan kekuatan hujah-hujah.

“Kadang-kadang penceramah kita kerja penceramah, dia sedap orang bawa kuat takbir, dia syok sendiri, sasarannya tak sampai. Penulisan begitu juga. Dengan bahasa yang halus, dengan uslub yang baik. Tujuan kita untuk menarik seberapa ramai orang, seberapa banyak musuh, melembutkan hati-hati mereka.

“Walaupun dalam keadaan berperang, musuh menggunakan senjata, Allah berfirman, “Jika musuh itu cenderung kepada damai, terima pendamaian itu dan bertawakal kepada Allah.” Nanti mereka tipu? Mereka nak tipu kita? Allah berfirman, “Apabila mereka hendak menipumu, cukup Allah menolong kamu.”

“Kerana mesej kita untuk menyelamatkan manusia, seberapa ramai dan banyak. Bukan untuk membunuh seberapa banyak. Kita melihat bagaimana kedatangan Islam ke seluruh pelusuk dunia, membawa ‘futuhat’ pembukaan terhadap negeri-negeri dan hati-hati penduduknya. Bukan imperialisma dan kolonialisma (menjajah dan menakluk),” terangnya. 

Jelasnya, kemasukan pendakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia walaupun mereka itu tidak terdiri daripada pemidato, penulis, peniaga dan pekerjaan yang hebat-hebat, tetapi telah menarik ramai manusia kepada Islam disebabkan akhlak dan uslub terbaik.

Beliau turut memetik peringatan Nabi SAW kepada Saiyidina Ali KW ketika mengetuai misi Perang Khaibar menghadapi kubu Yahudi paling kuat, ganas dan zalim supaya menyerukan Islam terlebih dahulu.

Katanya, kejayaan penulisan, hujah dan penggunaan ruang siber hingga seseorang mendapat hidayah akan menghadirkan pahala besar hatta setelah meninggal dunia, sebaliknya maklumat yang menyesatkan manusia hanya membawa dosa sangat besar.

“Tanggungjawab kita, umat pengikut yang setia menyampaikan mesej ini, kepada seluruh manusia. Kepada orang Islam sendiri, supaya mengerti apa dia Islam, diamalkan Islam secara yang betul. Menyampaikan Islam kepada orang yang bukan Islam dengan segala alat, teknologi dan kebijaksanaan mengikut mauduk dan tajuk Islam itu.

“Islam adalah ajaran yang sempurna dan cukup. Mesej Islam yang disampaikan mestilah mengikut mauduk dan tajuk Islam sebenar yang lengkap. Bukan Islam yang dikerat dan dipotong-potong. Mestilah hujah yang kuat, bukan dengan celupar, sebarangan,” nasihat beliau.

Menurut Tuan Guru, al-Quran menunjukkan kisah para Nabi dan Rasul AS berdialog dengan pemimpin dan kaum di zamannya dan tidak menghabiskan masa melayan dan menjawab hujah-hujah orang jahil. 

Katanya, ramai yang terlalu banyak menjawab kata-kata orang tanpa menerangkan mengenai Islam, menyebabkan dakwah dan mesej tidak berkesan. 

Beliau turut menerangkan kepentingan menggunakan uslub yang baik sebagaimana diperintahkan para Nabi dan Rasul meletakkan sesuatu pada tempatnya serta menyampaikan dalam bahasa difahami sasaran.

Oleh itu tegasnya, setiap bidang ilmu itu dimahiri sebaiknya dan tidak memperkatakan perkara tidak diketahui berlebihan sehingga menimbulkan celaru dan salah faham.

0 comments: