Hudud: Pas Kelantan tidak akan mengalah

MACHANG - Kerajaan Kelantan  tidak akan mengalah, sebaliknya  terus berjuang sehingga Enakmen Kanun Jenayah Syariah II atau dikenali hudud berjaya dilaksanakan di negeri ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Kerajaan Negeri Kelantan bersungguh-sungguh untuk membentangkan Rang Undang Undang Persendirian bagi meminda Akta 355 walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
 "Jika tiada peluang pada tahun ini, kita akan bentang pada tahun hadapan. Asalkan ada peluang, kita akan bentang. Soal Umno nak tipu Pas untuk bentang  di Parlimen tak timbul. Kalau mereka betul nak tipu kita, rakyat akan lihat dan nilai tindakan itu.
"Pas tak akan rugi, sebaliknya Umno yang akan berdepan masalah sebab yang nanti-nantikan pelaksanakan Hudud ini tidak hanya terhad kepada penyokong Pas sahaja," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Khatan Perdana Peringkat Dun Temangan, di Batu 30, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang menyatakan Umno jelas menipu Pas apabila tidak membenarkan RUU itu dibentangkan dalam sidang parlimen yang berakhir minggu lalu.
Husam mendakwa, Pas ditipu disebabakan sikap kepimpinannya yang tidak mengikut keputusan mesyuarat yang menetapkan parti itu tidak perlu membentangkan undang-undang itu atas beberapa faktor yang disenarikan.
Mohamed Fadzli  yang juga Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi  Negeri berkata, penerimaan  undang-undang Islam itu adalah kejayaan besar bagi Pas selepas lebih 20 tahun memperjuangkannya. 6 DISEMBER 2015 SINAR HARIAN

0 comments: