IS : Ketua Pemuda PAS Selar Kenyataan Presiden PAN

KUALA LUMPUR, Selasa – Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyelar kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu hari ini apabila mendakwa PAS sudah diresapi pemikiran Kumpulan Militan IS.

Menolak tuduhan itu, beliau berkata PAS bukan parti menyeleweng seperti yang didakwa oleh PAN.

“Mat Sabu dan rakan-rakan dia (PAN) menuduh PAS ini IS, buktikan siapa dan mana ahli PAS yang mengkafirkan (musuh).

“Itu cerita zaman 70-an dia nak hidupkan balik, dia tidak ada isu (serang PAS). Kafir itu telah lama hilang dalam PAS dan apabila budaya ini disebut kembali oleh PAN, ini membuktikan PAN hidup dalam zaman 80-an.

“Dia guna hujah yang UMNO guna masa zaman 80an, malah UMNO sendiri sudah tidak pakai tiba-tiba dia pakai,” katanya, lapor BNBBC.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Mat Sabu yang mengatakan PAS sudah diresapi pemikiran IS dengan menuntut siasatan terperinci dibuat pasukan keselamatan negara ke atas penyusupan pemikiran Daesh yang menyebabkan suburnya budaya “takfiri” dalam PAS iaitu merujuk kepada tindakan mengkafirkan kumpulan yang berbeza.

“Saya menuntut satu kajian serius dibuat Polis Cawangan Khas (SB) kerana ia bahaya kepada keselamatan negara Malaysia,” kata Mat Sabu.

Mengulas lanjut Ustaz Nik Abduh berkata, perjuangan PAS tidak pernah tersasar dan berubah selama ini.

Hakikatnya, ia akan kekal dilandasan dasar parti seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

0 comments: