ISIS : Pengkhianatan Paling Besar

1. Sebagai seorang anak muda yang terlibat dengan PAS bahkan pernah melalui zaman kecil dan membesar dengan cerita kegemilangan PAS melalui tokoh-tokoh hebat yang ikhlas berjuang, tuduhan PAS sebagai sebuah parti diresapi fahaman ISIS adalah suatu tuduhan yang melampau.
2. Seperti yang diketahui oleh umum, Parti Islam SeMalaysia PAS adalah sebuah parti yang meletakkan agenda utamanya ialah Islam. Perjuangan yang diwarisi dari tinggalan Nabi-Nabi a.s sehinggalah kepada junjungan besar Nabi Muhamad SAW. PAS menjadikan dasar dan agendanya sama mengikut sunnah ar- Rasul SAW.
3. Sejak penubuhan PAS pada tahun 1951 bahkan permulaan merintis jalan perjuangan Islam sebelum daripada itu lagi, mereka yang cintakan perjuangan Islam serta memahami tanggungjawab untuk melunaskan amanah tersebut berjuang agar Islam dapat bertapak di tanah melayu ini.
4. Perkembangan perjuangan Islam ini menjadi lebih rancak apabila golongan ilmuan mula mengkaji serta menggabungkan diri dalam perjuangan ini. Maka silih berganti tokoh-tokoh ilmuan melayu Islam mengambil pendirian untuk bersama PAS. Keyakinan ini terbina dengan dua elemen utama :
i. Dasar PAS adalah Islam
ii. Pendekatan PAS ialah muwajahah silmiah iaitu pendekatan damai dengan memasuki ruang demokrasi.
5. Namun malangnya dan amat menyedihkan apabila bekas Timbalan Presiden PAS Tuan Haji Mohamad Sabu cuba mengaitkan PAS dengan ISIS. Kononnya punca penubuhan PAN adalah kerana PAS diresapi pemikiran ISIS serta mengamalkan budaya takfiri. Ini bukan sahaja suatu tuduhan melampau akan tetapi sebagai satu pengkhianatan yang paling besar dalam sejarah Perjuangan Islam di tanah air ini.
6. Pengkhianatan dengan tuduhan tersebut sebenarnya mengguris semua pihak yang berjuang bersama PAS. Orang-orang tua yang menoreh getah, menanam padi di kampung yang menginfakkan sebahagian duit skrap getah dan padi mereka demi memastikan PAS bertapak kukuh. Para Ulama yang pulang dari musafir pengajian di Timur Tengah menubuh dan membuka pondok-pondok sebagai "base" dan tapak untuk mengkader para perjuang yang istiqamah demi kelangsungan perjuangan sejak dulu sehingga sekarang. Almarhum Tuan Guru Hj Yahya Junid Pondok Pak Ya, Tuan Guru Othman al Yunusi Madrasah an Nahdzah Pondok Pak Man, Pondok Lubuh Tapah dan banyak lagi sehingga ke hari ini tidak kering melahirkan pejuang yang ikhlas.
7. Sebelum merdeka penjajah kaitkan PAS ketika itu dengan nama Hizbul Muslimin dengan gerak kerja ekstrim yang mengancam mereka sehingga Hizbul Muslimin diharamkan. UMNO pernah cuba untuk mengaitkan PAS dengan aktiviti militan. Namun tiada bukti. Tujuannya yang sama ialah untuk memastikan perjuangan PAS diharamkan. Maka hari ni pun sama pengkhianatan penjajah dan UMNO untuk sabitkan PAS dengan aktiviti tersebut di sambung semula oleh pimpinan PAN agar PAS dibubarkan dan diharamkan.
8. Pesan saya takutlah dengan doa para ulama. Takutlah dengan doa orang yang ikhlas. Takutlah dengan doa orang yang dizalimi. Takutlah dengan doa para perjuang Islam. Allah pasti akan tentukan siapa akan terbubar dan siapa akan terkubur akibat pengkhianatan memakan diri sendiri.

Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim
Ketua Pemuda PAS Selangor
25 Safar 1437H | 7 Disember 2015

0 comments: