Isu IS: Mat Sabu diminta kemuka bukti

SHAH ALAM - PAS  memandang serius pertuduhan yang dibuat oleh Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, tuduhan itu sangat  serius walaupun PAS telah membuat pelbagai kenyataan dan kritikan terhadap sebarang bentuk keganasan atau ekstremis atas nama agama Islam.

"PAS  tegaskan tiada sebaran unsur atau penyusupan pemikiran ISIS sebagaimana yang didakwa. Beliau mesti mengemukakan bukti di atas pertuduhan tersebut.
"PAS menganggap pertuduhan ini hanyalah  alasan membenarkan tindakan mereka untuk menubuhkan parti baru setelah keluar dari PAS,” katanya menerusi satu kenyataannya.

Tuan Ibrahim berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mat Sabu semalam yang mengaitkan ideologi PAS kini diserapi pemikiran IS. Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata alasan sebenar kenyataan itu ialah kerana  ketewasan mereka dalam muktamar dan sikap tidak menerima keputusan muktamar menjadi punca utama.

Katanya, kalau mereka menang beliau  yakin tiada tuduhan tersebut kerana selama ini pun merekalah yang tampil mempertahankan  parti bila Umno membuat tuduhan sedemikian.

"Kini kita dengar pelbagai tuduhan yang dibuat.  Pada awal mereka menuduh PAS  kerjasama dengan Umno menjadi alasan  tubuh parti baru.

"Kemudian bertukar kepada tuduhan unsur takfiri dan sekarang tuduhan baru iaitu usaha mengaitkan dengan  ISIS. Selepas ini mungkin akan ada pula tuduhan  baru," katanya.

Oleh itu Tuan Ibrahim berkata PAS menggesa Amanah untuk menghentikan  tuduhan  kepada PAS dan berikan tumpuan  kepada isu yang sedang melanda rakyat.

"Pelbagai isu besar yang memerlukan  perhatian bagi membela pelbagai penyelewengan yang berlaku. Dari membuat tuduhan palsu kepada PAS,” katanya. - SINAR HARIAN

0 comments: