Jadikan Tahun 2016 Untuk Membela Rakyat Tertindas

Perutusan Tahun Baharu 2016 Pesuruhjaya PAS Kedah?
‘JADIKAN TAHUN 2016 UNTUK MEMBELA RAKYAT TERTINDAS’

1. Alhamdulillah kerana Allah masih menyambung nafas kita, memberi peluang untuk melangkah kaki memasuki tahun 2016. Meskipun batasan antara tahun dalam kalendar Masihi hanyalah perbezaan angka dan tidak membawa apa-apa makna seperti tahun Hijrah; namun realiti kehidupan moden hari ini mengambilkira kehadiran tarikh baru sebagai permulaan pelbagai agenda.

2. Di Kedah, 1 Januari 2016 adalah tarikh berkuatkuasanya kenaikan kadar cukai tanah yang menekan rakyat pembayar cukai. Tahun baharu juga akan menekan rakyat dengan kenaikan tarif elektrik, pertambahan yuran persekolahan pelajar sekolah, peningkatan tambang pengangkutan awam, kenaikan harga beras ST15 serta bermacam lagi kenaikan. Ekoran kenaikan tersebut, maka para peniaga juga akan mengurang atau mengelak kerugian dengan menaikkan harga jualan. Maka bebanan kenaikan kos sara hidup yang kini sudah cukup untuk dideritai rakyat, makin bertambah.
3. Apa yang ditanggung rakyat kini adalah harga yang terpaksa dibayar oleh mereka akibat salah membuat perhitungan dalam beberapa kali pilihanraya umum. Negara telah diurustadbir oleh kelompok yang meletakkan kepentingan diri dan kroni, melebihi kepentingan rakyat terbanyak. Kebejatan yang diwarisi menyebabkan harta kekayaan hanya berlegar di sekitar golongan tertentu sahaja, sedangkan rakyat bawahan menderita. Ia menepati amaran Allah SWT yang bermaksud: “Harta kekayaan tidak harus berlegar hanya dalam kalangan orang kaya dalam kalangan kamu” (Surah Al-Hasyr : 7)

4. Segala cerita lara perihal kesengsaraan rakyat tidak harus terus diratapi tanpa kesudahan dan tindakan. Rakyat mesti mempunyai agenda besar untuk merubah situasi yang ada seterusnya meletakkan negara di atas landasan yang betul. Kita berada dalam dalam demokrasi, maka rakyat mempunyai pilihan terbaik untuk menyahkan sebuah kerajaan yang gagal – melalui landasan demokrasi. Jadikanlah kemunculan 2016 sebagai medan membakar kesedaran rakyat untuk bangkit memperjuangkan kehidupan yang lebih baik. Semoga semangat ini tidak padam sehingga PRU14 nanti.

5. Sangat bermakna juga kita jadikan kemunculan tahun baharu 2016 sebagai garisan baru untuk berhijrah menambah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.” (Surah Al-Hasyr: 18). Tiada yang lebih mahal harganya bagi orang beriman, melainkan keredhaan Allah.

6. Saya mengambil kesempatan menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk menyokong dan mendokong kebenaran, bertegas mencegah kemungkaran yang muncul dalam apa jua bentuk dan ketika, memantapkan perpaduan di kalangan rakyat, menyebarkan kebaikan untuk semua serta membela golongan rakyat yang dhaif dan tertindas.

Selamat Tahun Baharu 2016.

Dr Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi?
Pesuruhjaya PAS Kedah.

0 comments: