Kenyataan Kontroversi G25: Atasi Perkara Pokok Terlebih Dahulu, Iaitu Menangani Isu Kecelaruan Pemikiran


KENYATAAN MEDIA PESURUHJAYA PAS KEDAH

Kenyataan kontroversi G25:
Atasi Perkara Pokok Terlebih Dahulu, Iaitu Menangani Isu Kecelaruan Pemikiran 


1) Kenyataan Datuk Noor Farida Ariffin dari Kumpulan G25 yang mendakwa enakmen kesalahan jenayah syariah perlu dikaji semula kerana menceroboh kehidupan peribadi rakyat, hanyalah satu contoh fahaman kontroversi, manifestasi dari kecelaruan pemikiran berhubung Islam yang berlaku di tengah masyarakat hari ini.

2) Hakikatnya fahaman yang mempertahankan kepercayaan berasaskan logik akal semata-mata - tanpa sandaran nas, telah menular jauh di dalam masyarakat kita. Serangan pemikiran yang celaru ini telah meresapi semua kelompok, termasuk golongan yang dianggap professional.
3) Tindakan menyanggah Kumpulan G25, berhubung langkah mereka menentang tindakan menjadikan dosa peribadi, seperti berkhalwat sebagai satu jenayah; mungkin hanya akan menutup satu pintu kecelaruan pemikiran sedangkan banyak lagi pintu-pintu kecelaruan yang sedang terbuka untuk menyesatkan umat.

4) Justeru, kecelaruan pemikiran itu mesti tangani secara bersepadu dan menyeluruh. Pihak berkuasa agama, para ulamak, badan-badan dakwah serta gerakan Islam mestilah memainkan peranan untuk memberi kefahaman sebenar Islam di tengah masyarakat.

5) Di samping dakwah secara formal, program diskusi dan dialog dengan NGO atau kelompok tertentu mesti dipergiatkan. Antara perkara yang perlu ditekankan ialah keindahan Islam sebagai satu cara hidup dan aspek maqasid syariah yang gagal difahami oleh sebahagian masyarakat Islam di negara ini.

6) Kerajaan yang memerintah juga wajib menjaga dan mempertahankan kemuliaan syariah Islam dan bertindak untuk menjadi ‘pengawal agama’ yang baik dan berkesan. Kerajaan negeri Kedah pernah peruntukkan hampir sejuta ringgit untuk menganjurkan program Mahabbatul Rasul Kedah Bersalawat. Dari segi aulawiyyat (keutamaan) wang sebanyak itu sepatutnya digunakan untuk gerak kerja dakwah yang boleh memberi manfaat besar bagi membanteras kecelaruan pemikiran dan memahamkan Islam sebenar di kalangan rakyat.


Dr Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurrazi
Pesuruhjaya PAS Kedah. 

0 comments: