Lebuhraya PAN Borneo Elak Kemalangan Berulang


Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

LEBUHRAYA PAN BORNEO ELAK KEMALANGAN BERULANG


1. Dewan Pemuda PAS Sabah menggesa Lebuhraya Pan Borneo yang dibentangkan di dalam Bajet 2016 baru-baru ini untuk dilaksanakan secara lebih agresif bagi mengurangi statistik kemalangan jalanraya dan tidak sebagai gula-gula pilihanraya.
2. Berita kemalangan terbaru yang berlaku melibatkan sebuah bas ekspress di Jalan Kiau-Ranau sangat menyayat hati. Dimaklumkan, kemalangan tersebut melibatkan 28 orang termasuk penumpang, konduktor bas dan pemandu.

3. Merujuk kepada statistik yang diberikan oleh Kementerian Pengangkutan, sebanyak 140 kes kemalangan yang melibatkan bas telah berlaku sejak tahun 2007 iaitu dalam tempoh 8 tahun. Secara purata 18 kes kemalangan yang melibatkan bas berlaku setiap tahun di negara kita. Ini adalah satu angka yang sangat memeranjatkan dan menggerunkan.

4. Indeks kematian jalan raya iaitu 2.88 seperti yang ingin dicapai oleh pihak Kementerian Pengangkutan perlulah ditekankan melalui beberapa aspek iaitu melalui penguatkuasaan (enforcement), kejuruteraan (engineering), persekitaran (environment) dan penilaian (evaluation).

5. Keadaan geografi dan muka bumi di kawasan Ranau  yang berada di kawasan pergunungan perlu kepada penilaian semula dari aspek peningkatan keselamatan untuk mengelakkan kejadian seumpama berulang.

6. Kerajaan juga perlu membentangkan lebih terperinci perlaksanaan lebuhraya Pan Borneo kepada rakyat Sabah seperti yang dicanang-canangkan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional agar rakyat menikmati kemudahan sewajarnya setelah dipinggirkan sekian lama.


ZULZAIM HILMEE BIN ABIDIN
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS)

01 Disember 2015 | 11 Safar 1437H

0 comments: