Media Diseru Beretika Melaporkan Berita

1. Saya diminta mengulas berhubung laporan kebanyakan media massa hari ini yang memaparkan berita kononnya Setiausaha Agung PAS, Dato Takiyuddin Hassan telah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS bersedia untuk memaafkan UMNO.


2. Suka dinyatakan bahawa Setiausaha Agung PAS telah mengeluarkan kenyataan penafian terhadap laporan yang telah disiarkan dan ia merupakan satu laporan yang jauh tersasar dari maksud sebenar jawapan terhadap pertanyaan yang dikemukakan oleh wartawan terhadap beliau.

3. Justeru, saya mengingatkan agar media melaporkan berita yang beretika dan tidak sengaja memutarbelitkan kenyataan dengan tujuan-tujuan tertentu. Ia sekaligus akan menghakis kepercayaan pembaca dan tidak mustahil akan berdepan dengan tindakan boikot dari para pembaca.


4. Dalam masa yang sama, sukalah untuk dinyatakan bahawa memberikan kemaafan ialah satu sifat yang mulia di dalam Islam. Namun, ia hanya boleh diberikan terhadap kesalahan-kesalahan lampau yang sudah tidak dilakukan lagi. Adapun sekiranya penindasan masih berlaku, memberikan kemaafan kepada pihak yang masih menzalimi ialah satu tindakan naïf dan menjatuhkan maruah seorang muslim yang wajib bangkit menuntut haknya.


5. Dalam hal ini, UMNO masih menzalimi terus menerus rakyat Kelantan dengan pelbagai hak yang masih dinafikan. Tunaikan hak-hak ini barulah kita berbicara soal maaf.


Sekian, terima kasih.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
Bertarikh : 21 Disember 2015

0 comments: