MKN : PM CABAR KUASA YDPA SEBAGAI KETUA NEGARA



Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

MKN : PM CABAR KUASA YDPA SEBAGAI KETUA NEGARA



1. Saya mengajak seluruh rakyat samada secara individu atau organisasi untuk membantah penubuhan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan di Dewan Rakyat minggu lalu.

2. Paling ketara, penubuhan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan ini adalah suatu bentuk tindakan untuk mengatasi kuasa yang dipunyai oleh Yang Di-Pertua Agong (YDPA).

3. Menerusi MKN, kuasa diberikan kepada Perdana Menteri (PM) untuk mengisytiharkan kawasan keselamatan adalah serupa dengan dengan kuasa YDPA untuk mengisytiharkan kawasan darurat. 

4. Perkara ini boleh difahami berdasarkan Seksyen 18-36 berkaitan kawasan keselamatan yang jelas sekali berbentuk pentadbiran darurat seperti yang dinyatakan dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

5. MKN juga bakal mempunyai kuasa untuk mengawal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedangkan YDPA adalah merupakan pemerintah tertinggi ATM; tetapi peranan YDPA terhadap MKN atau kuasa Baginda ke atas Majlis tersebut langsung tidak dinyatakan.

6. Saya juga khuatir dengan kuasa yang terlalu besar diberikan kepada badan eksekutif khususnya kepada PM, ia bakal mencetuskan lebih banyak salah guna kuasa dan mengurangkan kuasa atau peranan badan kehakiman justeru semakin menghakis konsep pengasingan kuasa di negara ini menyebabkan pentadbiran negara akan menjadi semakin tidak berkesan.

Sekian.

“Membina Malaysia Sejahtera”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Rabu, 9 Disember 2015 | 27 Safar 1437 H
_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan DUPP. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

0 comments: