PAS KEMUKA DOKUMEN PENYELESAIAN CARA ISLAM


Kerjasama Untuk Kepentingan Agama dan Negara

PAS KEMUKA DOKUMEN PENYELESAIAN CARA ISLAM


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


KUALA LUMPUR: Kesediaan PAS bekerjasama dengan Kerajaan BN hanyalah untuk kepentingan Islam dan negara, bukannya membentuk blok politik baru, demikian tegas Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, kerjasama itu telah PAS tuntut sejak dulu dan bukannya satu kerjasama baru atau bentuk baru.

“Cuma dulu kita mahukan kerjasama Umno tolak, jadi sekarang ni dia jemput kita terima. Kerjasama yang PAS tuntut paling utama adalah untuk memastikan nilai-nilai agama ini menjadi teras kepada kehidupan rakyat Malaysia sebagai sebuah negara umat Islam.

“Jadi kita akan menyokong bersama dengan kerajaan untuk melaksana apa sahaja program-program agama, kepentingan agama. Kita juga mendorong kerajaan, mencadang kepada kerajaan alternatif-alternatif, cadangan-cadangan yang sesuai untuk rakyat Malaysia yang dicadangkan oleh Islam.

“Kita dalam proses untuk kemukakan dokumen-dokumen penting penyelesaian cara Islam yang mampu dilakukan oleh pihak kerajaan, kalau pihak kerajaan benar-benar mahu (sebagaimana) yang Dato’ Sri Mohd Najib sebut mengenai penyelesaian Islam sebenar, (jadi) kita akan mencadang dan dorong kerajaan.

“Kita akan tuntut kerajaan memahami Islam secara menyeluruh. Kita banyak berbalah dengan Umno ni dalam isu memahami agama. Bagaimana agama ini harus difahami. Kita akan memaksa kerajaan supaya melihat Islam secara menyeluruh, bukan melihat Islam daripada sudut yang kecil sebagaimana diamalkan oleh Umno,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Agung, di sini 13 Disember.

Katanya antara kerjasama yang PAS hendak tekankan ialah menghalang dan mengkritik Umno apabila mereka melakukan kesalahan sebagaimana tuntutan Islam agar menolong seseorang ketika ia menzalimi atau dizalimi.

Ustaz Nik Abduh menjelaskan hadis tersebut iaitu membantu mereka yang dizalimi dan dalam konteks politik menyekat serta mengkritik perbuatan menzalimi.

Menurut beliau lagi, PAS juga akan bersama Umno untuk menentang anasir-anasir buruk dalam negara yang bukan daripada Umno.

“Kita dalam politik ini kita anggap Umno ini anasir yang merosakkan negara. Banyak kerosakan yang berlaku dalam negara. Tapi kita tahu bahawa Umno bukan satu-satunya anasir yang merosakkan. Ada anasir yang merosakkan negara bukan daripada Umno. Kalau Umno sedar sedar itu, kita boleh bersama dengan Umno untuk menentang anasir tersebut.

“Contoh yang mudah adalah kebebasan hak-hak asasi ‘style’ Barat, LGBT dan sebagainya daripada Barat. Ini kita tahu Umno tolak LGBT dan orang Islam seluruhannya menentang. Oleh kerana ini budaya Barat, pemikiran daripada Barat, kebebasan tanpa batas, ini kita sedia bersama pihak kerajaan untuk menentang.

“Itu saya sebut yang menggambarkan sambutan kita terhadap tawaran Dato’ Sri Najib. Adapun bergabung atau kerjasama sampai peringkat wujudkan blok politik bersama, itu tidak wujud sama sekali. Kita kekal sebagai pembangkang dan Umno sebagai parti pemerintah,” terangnya.

Akui beliau, PAS menyambut positif seruan oleh Perdana Menteri itu kerana selama ini negara berada dalam satu padang politik yang tidak adil.

Jelasnya, dalam budaya politik lama, cadangan-cadangan daripada pembangkang ditolak dengan mentah ketika pemerintah merasakan mereka sudah cukup untuk memerintah tanpa memerlukan pembangkang.

Tetapi katanya, dengan keadaan hari ini, Umno-BN tahu bahawa rakyat tidak lagi bersama mereka, memungkinkan timbul kesedaran menjemput pembangkang untuk bersama mereka.

“Antara yang mereka nampak kepinginan adalah dengan PAS, jadi kita sambutlah dengan baik. Tapi kita tidak sampai ke situ (bersama Umno dalam Kerajaan BN). Peranan PAS sebagai pembangkang adalah terbaik. Tidak ada sebab untuk kita berada dalam Kerajaan BN.


“Kerana kita tahu penyelesaian adalah dengan mengubah sistem negara. Hari ini Umno berkuasa, kita mendorong Umno untuk mengubah negara dengan cara Islam. Jika rakyat beri PAS kuasa, maka PAS mengambil amanah itu untuk mengganti tempat Umno. Jadi tak perlu PAS pergi kalau PAS tidak yakin dengan komitmen Umno.

“Semua orang boleh berjanji, janji politik, kata-kata manis. Tetapi ukuran yang rakyat akan nilai ialah kesungguhan dan keberanian untuk melaksana agama. Jadi soal keberanian, kesungguhan dan keikhlasan itu masing-masing kena tunjuk. Kalau rakyat yakin dia akan pilih. Jadi kita yakin, bahawa tidak perlu kita (PAS) bergabung dengan Kerajaan BN,” tegas beliau.

0 comments: