Syabas Rayani Air : Menghargai Maruah Wanita

Produk yang memenuhi syariat Islam menjadi pilihan dan lebih diyakini  pengguna terutama di kalangan masyarakat Islam. Jika di dalam industri makanan, produk yang dihasilkan lebih diyakini kerana bahan-bahan yang digunakan adalah lebih baik, bersih dan menepati syariat. Sistem kewangan Islam juga semakin mendapat tempat hatta di kalangan masyarakat bukan Islam kerana menawarkan produk kewangan kepada prospek dengan tawaran pakej, perkhidmatan dan harga yang cukup menarik.
Terbaru, muncul satu lagi produk patuh syariah di lapangan industri penerbangan. Rayani Air, sebuah syarikat penerbangan yang beribu pejabat di Langkawi muncul dengan kelainan iaitu  memilih mengamalkan polisi 'patuh syariah', menjadikannya syarikat penerbangan ke empat di dunia selepas Royal Brunei Air,Saudi Arabian Air dan Iran Air dan yang pertama di Malaysia.

Antara amalan polisi Patuh Syariah Rayani Air  adalah:
  1. Semua anak kapal beragama Islam berpakaian menutup aurat dan yang bukan Islam berpakaian sopan.
  2. Tiada alkohol akan dihidangkan.
  3. Menjamin makanan yang disediakan adalah Halal.
  4. Mengamalkan bacaan doa setiap kali sebelum memulakan penerbangan.
Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) amat menyokong dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh pengurusan Rayani Air. Dengan menampilkan kelainan sebegini, DMPM percaya Rayani Air akan menjadi pilihan utama kerana amalan pengendaliannya akan menumbuhkan rasa selamat dan selesa di sepanjang penerbangan terutamanya dalam menonjolkan pakaian menutup aurat bagi pramugari dan kakitangan wanita. Sebelum ini DMPM telah menyuarakan saranan supaya sistem penerbangan MAS,  AIRASIA dan lain-lain yang beroperasi di Malaysia supaya mengubah dasar pakaian pramugari yang menjolok mata ke arah menutup aurat bagi yang Islam dan sopan bagi yang bukan beragama Islam. Saranan dan sentemen ini langsung tidak diambil kira oleh sistem penerbangan tersebut.
Mungkin masih terlalu awal untuk mengetahui sejauh mana tahap kecekapan dan prestasi  Rayani Air, namun selaku umat Islam kita perlu menyokong apabila sudah ada pilihan yang lebih baik dan bertepatan dengan syariat.

Tahun 1990, kerajaan PAS Kelantan telah mengambil satu langkah menggunakan perbankan Islam dalam semua pentadbiran kewangannya dan ternyata menjadi ikutan dan panduan oleh beberapa negeri dan syarikat- syarikat lain.

Oleh itu, DMPM amat  optimis dengan penubuhan syarikat penerbangan ini akan dapat memenuhi desakan umat Islam di Malaysia. Saya berharap syarikat penerbangan lain juga menjadikan pendekatan Rayani Air ini sebagai satu pilihan baru untuk dilaksanakan di dalam penerbangan masing-masing.  Imej pramugari yang sopan dan bertudung menjadi  lambang pekerja wanita itu dihormati dan bukan hanya menjadi alat untuk dieksploitasi bagi mengaut keuntungan.Menjadikan imej dan cara barat bukanlah kayu ukur menjamin kejayaan. Lihat sahaja masyarakat kini yang terlalu mengagungkan Barat sehingga terlalu banyak serangan halus yang telah menghancurkan institusi kekeluargaan dan masyarakat di Malaysia. Kes-kes  jenayah rogol, buang anak, dera kanak-kanak,pembunuhan secara brutal tanpa belas boleh didengari hampir setiap hari, menggambarkan ketirisan sifat kemanusiaan insan terhadap orang lain.

Syabas Rayani Air! Semoga terus maju jaya dalam mengendalikan syarikat penerbangan ini. InshaAllah kita sama-sama akan merasakan manfaat daripada inisiatif syarikat ini, usaha yang akan menyumbang ke arah kehidupan yang lebih barakah dan diredhai Allah.


Wan Hasrina bt Wan Hassan
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM)
23 Disember, 2015

0 comments: