Tangani masalah parking di hospital dengan berhemah dan bersepadu

Tangani masalah parking di hospital dengan berhemah dan bersepadu
Oleh : Dr Rosni Adam
Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS

Akhirnya kerajaan mula menyedari permasalahan tempat letak kenderaan di hospital yang semakin meruncing. Namun alangkah malangnya nasib bumi bertuah ini, penyelesaian oleh kerajaan nampaknya datang dari wang saku rakyat juga.
Pengumuman oleh Timbalan Menteri Kesihatan sekali lagi menampakkan kerajaan hari ini ketandusan idea dan gagal untuk melihat lebih jauh akan isu yang mendasar. Kesesakan tempat letak kereta kenderaan hanyalah petanda kepada masalah yang lebih kronik. Ia adalah manifestasi kelemahan perancangan bandar yang rakus merobek setiap inci ibu kota serta natijah pendekatan populis terhadap hala tuju sistem kesihatan negara. Walhal, hakikatnya adalah masalah ini perlu ditangani dengan berhemah melalui pendekatan yang bersepadu oleh semua pihak; terutamanya kerajaan dan termasuklah rakyat sendiri.   
Oleh itu, berikut adalah langkah-langkah yang dicadangkan kepada kerajaan agar diberi perhatian segera moga-moga tidak terlalu gopoh memeras keringat rakyat atas kealpaan selama ini.

Pertamanya perlu disedari bahawa tidak semua pesakit memerlukan rawatan di hospital. Dengan wujudnya klinik desa, klinik kesihatan, klinik 1 Malaysia serta klinik swasta di setiap pelosok kota dan pekan, maka perlu wujud satu bentuk komunikasi yang berkesan dan kepercayaan yang utuh di antara perkhidmatan perubatan di hospital dan perkhidmatan kesihatan di komuniti. Ini selaras dengan janji Kementerian Kesihatan sebelum ini yang mahu memperkasa konsep ‘Doktor Keluarga’ di mana setiap individu atau keluarga mempunyai seorang doktor peribadi. Seandainya pesakit dimasukkan ke hospital, rawatan seterusnya akan dipanjangkan secara khusus kepada doktor peribadi tersebut di komuniti.

Kerajaan perlu mewujudkan sistem yang membolehkan doktor di hospital dan di komuniti saling berganding bahu bagi memastikan rawatan perubatan dapat diberikan dengan berkesan, berterusan dan sesuai dengan keadaan sosioekonomi pesakit tersebut. Dengan itu, walaupun pesakit tidak hadir secara fizikal, namun rawatan yang diberikan di komuniti adalah optimum persis rawatan pakar di hospital.

Kedua, setelah dipastikan pesakit diberi temujanji sewajarnya mengikut keperluan masing-masing sama ada di hospital atau di komuniti, maka temujanji tersebut perlulah diberi secara berperingkat bagi mengurangkan kesesakan lalulintas dan melicinkan perjalanan klinik. Rakyat Malaysia sudah alah bisa tegal biasa dengan fenomena temujanji pukul 9 pagi, namun pukul 12 baru jumpa doktor dan pukul 4 baru selesai ambil ubat. Cuti rehat tahunan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk masa berkualiti bersama keluarga habis begitu sahaja. Pendapatan bulanan perlu dikira siap-siap untuk tambang perjalanan ke hospital semata-mata. Ini harus diubah.

Kerajaan perlu memastikan sistem temujanji berperingkat ataupun ‘staggered appointment’ benar-benar dilaksanakan di semua klinik dan hospital kerana temujanji kepada pesakit adalah satu komitmen kepada kesihatan dan kualiti hidup mereka. Setiap temujanji perlu diberikan dengan penuh kebertanggungjawaban dan kesediaan untuk menyediakan sesi rawatan yang berkualiti. Temujanji yang berkesan serta rancangan rawatan yang jelas dan berkesinambungan mampu untuk mengurangkan lawatan pesakit ke hospital, sama ada untuk temujanji ataupun kerana kecemasan.

Ketiga, meskipun masalah letak kereta adalah dilema sejagat namun negara maju mengambil pendekatan yang kreatif bagi memastikan keselesaan kakitangan dan rakyatnya. Di United Kingdom (UK) contohnya, National Health Services (NHS) membuat kajian rapi terhadap pola dan corak perjalanan kakitangan dan pesakit ke hospital. Maklumat tersebut digunakan bagi merekabentuk rancangan perjalanan (travel plan) yang berupaya mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping menjamin kehijauan alam sekitar serta menggalakkan budaya hidup sihat. Ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan UK terhadap pembangunan lestari.

Intipati kepada usaha tersebut adalah bermaksud untuk memaksimumkan perkongsian kenderaan, menggalakkan penggunaan perkhidmatan awam, laluan khas dan selamat untuk pejalan kaki atau berbasikal, menggunakan persidangan maya bagi tujuan mesyuarat serta mewujudkan kerjasama di kalangan masyarakat dan kumpulan sokongan pesakit sebagai penyelesaian bersama kepada masalah kesesakan di lokaliti masing-masing. Kesemua ini menuntut keinginan dan kesungguhan daripada pihak pentadbir, kakitangan hospital, pesakit dan pelawat. Namun ia tidaklah mustahil selagi mana semua pihak jelas akan matlamat yang lebih besar demi kebaikan semua. Sebagai permulaan contohnya pastikan semua bas dan tren mempunyai kemudahan untuk pesakit berkerusi roda.   
 
Keempat, menyedari segalanya di Malaysia mestilah bertunjangkan keazaman politik Barisan Nasional yang sukar untuk diganggu gugat, maka perubahan akan memakan masa. Sehinggalah penyelesaian yang lebih baik menjadi realiti, adalah dicadangkan agar kadar bayaran yang bakal dikenakan perlulah mengikut kesesuaiannya. Contohnya bagi kes kecemasan percuma, temujanji pesakit luar dikenakan separuh harga manakala pelawat dikenakan bayaran penuh. Juga, faktor sosioekonomi pesakit perlulah diambil kira.

Apapun, kajian yang lebih menyeluruh adalah amat penting bagi mengenal pasti kaedah penyelesaian yang terbaik. Masalah parking bukanlah remeh. Ia adalah pengukur ketelusan dan komitmen kerajaan dalam menangani masalah seharian yang dialami oleh rakyat. Peningkatan tambang perkhidmatan awam yang mengundang sengsara kepada rakyat haruslah membawa kepada perkhidmatan yang lebih cekap dan berintegriti. Janganlah hanya kerana ingin menyelamatkan periuk nasi kroni, rakyat tidak mampu lagi untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

0 comments: