Perutusan Tahun Baru Cina DMPM

Salam Sejahtera dan Persaudaraan untuk semua.
Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar Qamari Cina. Kalendar Qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan.
Tahun 2016 ini adalah merupakan tahun Monyet.  Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan rezeki dan kehidupan.  Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul.  Rumah dan halaman rumah akan dibersihkan.  Segala jenis hutang-piutang dikutip atau diselesaikan agar kehidupan mereka dimurahkan rezeki tanpa hutang sepanjang tahun yang baru.  Pokok dan buah limau sebagai simbol murah rezeki.
Perayaan ini tetap disambut oleh sesebuah keluarga Cina walaupun dalam keluarga tersebut mempunyai ahli keluarga yang berlainan kepercayaan agama, yang penting adalah hubungan kekeluargaan yang perlu dirapatkan.
Tahun Baru Cina disambut dengan gembira oleh semua lapisan masyarakat tidak kira yang muda atau tua dan terutama oleh mereka yang belum berkahwin kerana pada masa ini mereka akan menerima “Ang Pow” daripada ibu bapa, sanak saudara dan rakan-rakan yang telah berkahwin.
Di Malaysia, masyarakat Cina  akan menikmati hidangan “Yee Sang” yang melambangkan usia yang panjang pada malam tahun baru dan sering juga dihidangkan dalam majlis-majlis keraian oleh mana-mana pertubuhan sempena Tahun Baru Cina.
Seperti juga pertubuhan politik yang lain, Dewan Muslimat PAS Malaysia melalui Lujnah Perpaduan Nasionalnya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa sekalipun untuk sama–sama meraikan perayaan ini dalam konteks menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.
Marilah kita sama-sama saling kenal-mengenali, hormat-menghormati dan bantu membantu dalam memberikan kebaikan untuk ahli-ahli masyarakat di sekeliling kita sepertimana yang diperintahkan oleh Allah swt dalam firmanNya dalam surah Al Hujurat ayat 13, yang bermaksud:
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".
Akhir kata, Selamat Tahun Baru Cina. Semoga tahun yang mendatang dimurahkan rezeki dan terus melakukan kebaikan untuk semua.

Ikhlas daripada:
DR NAJIHATUSSALEHAH AHMAD
Pengerusi
Lujnah Perpaduan Nasional
Dewan Muslimat PAS Malaysia
4 Februari 2016

0 comments: