ZIKA : PERINGATAN ALLAH YANG SETERUSNYA


ZIKA : PERINGATAN ALLAH YANG SETERUSNYA

WHO telah mengisytiharkan Virus Zika sebagai darurat kesihatan global. Virus yang mula menyerang Uganda pada 1947 kini semakin menular sehingga 22 buah Negara. Virus Zika yang berpunca dari nyamuk Aedes sewajarnya dipandang serius oleh kita. Walaupun Malaysia tidak dijangkiti namun harus diingat Perak telah mencatatkan 550 jumlah kes denggi terkumpul dari 3 Januari 2016 hingga 01 Februari 2016. Bagaimana sikap kita dalam memastikan nyamuk aedes ini tidak membiak?

Tidak cukup kita menilai virus zika dan denggi ini hanya sekadar fizikal, ini kerana setiap dari wabak penyakit yang datang adalah ujian dan peringatan Allah SWT kepada hambaNya. Angkuhkah lagi manusia sedangkan Allah menghantar nyamuk sahaja boleh menyebabkan manusia menderita sepertimana suatu masa dahulu Allah pernah menghantar nyamuk memusnahkan Raja Namrud yang angkuh dan zalim. Malahan kisah di zaman Nabi Allah Musa a.s juga mencerita Allah telah menurunkan wabak penyakit kepada kaum dan pengikut Firaun yang ingkar. 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Kami pun mengutuskan kepada mereka taufan dan belalang dan kutu dan katak dan darah sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas dan nyata. Maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang mendurhaka.” (Surah al-A’raf : 133)

Putaran zaman telah mengembalikan kita kepada sikap dan penyakit orang terdahulu yang mengundang murka Allah SWT sepertimana hadis daripada Abu Hurairah r.a. Katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :
“Umatku akan ditimpa penyakit -penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu” Sahabat bertanya “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi SAW menjawab “Penyakit-penyakit itu adalah, 1.Terlalu sombong, 2.Terlalu mewah, 3.Mengumpulkan harta sebanyak mungkin, 4.Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, 5.Saling memarahi, 6.Dengki-mendengki sehingga menjadi zalim menzalimi” (HR Hakim)

Bukan sekadar itu sahaja, malahan Malaysia kini juga diancam dengan promosi LGBT yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang barangkali terlupa tentang azab yang diturunkan Allah SWT kepada kaum nabi Luth yang ingkar.

Keadaan yang lebih membimbangkan apabila berlaku kezaliman kepada rakyat, penindasan yang berterusan serta hukum tuhan yang dipermainkan menambah lagi kekeruhan yang ada. Sedang Allah juga berfirman :
“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan kamu sendiri. Dan Allah memaafkan sebahagian besar ( dari kesalahan-kesalahan kamu ). Dan kamu tidak dapat melepaskan diri ( dari azab Allah ) di muka bumi. Dan kamu juga tidak memperolehi seorang pun perlindung dan tidak pula seorang penolong selain Allah.” ( Asy-Syura : 30-31 )

Tuntasnya, kesedaran terhadap kawalan nyamuk aedes itu penting, namun yang lebih penting ialah pembentukan keimanan dan ketaqwaan serta kesedaran akan tanggungjawab kehambaan dan tanggungjawab kepada alam. Pembangunan material tanpa kerohanian, menjadikan kita insan yang maju pada bangunan namun mundur pada ketamadunan. Ingatlah bahawa kita hanya insan kerdil di sisi Allah.

Akmal Hj Kamarudin
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
Batu Kurau, Perak
4 Feb 2016

0 comments: