Analisis: kenyataan Mukhriz buktikan PAS betul

Kenyataan anak Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz ( https://www.malaysiakini.com/news/332897 ) bahawa Deklarasi Rakyat tidak bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan BN tetapi hanya bertujuan untuk menggantikan Datuk Seri Najib Razak dengan seorang perdana menteri lain dari parti pemerintah itu, membuktikan sikap yang diambil PAS sebelum ini adalah tepat.
Kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hasan terdahulu, bahawa parti itu mengambil keputusan untuk tidak bersama dalam program  tersebut walaupun mendapat pelawaan daripada Dr Mahathir untuk bersama dalam Majlis Menandatangani Deklarasi Menuntut Penyingkiran Perdana Menteri Malaysia.
Sebaliknya PAS mempunyai pendekatan dan  gerakan tersendiri khususnya melalui Blok Politik Ketiga ke arah mengubah kepimpinan negara yang ada pada hari ini melalui saluran yang demokrasi dan berperlembagaan.
Malah, PAS mengambil keputusan untuk menghadap Majlis Raja-Raja bagi menyembah cadangan supaya satu Suruhanjaya D’Raja dibentuk bagi mengadakan siasatan yang menyeluruh terhadap isu-isu 1MDB, Dana Politik RM2.6 billion, Skandal SRC  International dan isu-isu lain yang berkaitan sebagaimana juga yang telah dititahkan oleh  Persidangan Majlis Raja-Raja baru-baru ini.
PAS konsisten dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera sebagai suatu formula untuk melakukan perubahan total dalam sistem pemerintahan negara.

Adapun Deklarasi Rakyat, menurut Mukhriz, tidak akan menyebabkan BN akan tumbang. Jika Najib undur BN tetap mempunyai majoriti kerusi Dewan Rakyat. Alasannya, yang hanya perlu dilakukan ialah pelantikan PM yang baru - dari kalangan ahli-ahli Parlimen BN, bukan dari pembangkang.
Rakyat juga sudah tentu tidak mahu terpalit dalam siri 'pertempuran elit' team Mahathir-Muhyiddin dengan team Najib-Zahid yang berpaksi di sekitar isu sesama Umno. Rakyat sudah bosan dengan karenah parasit Umno yang sudah bertunjang hampir enam dekad.
Bagi PAS pula, untuk tujuan menyelesaikan polemik semasa yang tiada penghujungnya kini serta keengganan Kerajaan mengambil kira pandangan semua pihak, PAS menuntut supaya Parlimen Malaysia dibubarkan segera bagi membolehkan Pilihanraya Umum diadakan dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bagi menggantikan Kerajaan Pusat hari ini yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kelemahan urus tadbir.
Selaras dengan itu, PAS mengajak seluruh rakyat untuk bersama PAS dan Blok Politik Ketiga  sebagai Alternatif menggantikan kerajaan hari ini ke arah membina negara Malaysia yang lebih baik, sejahtera dan cemerlang.
Dalam hal ini langkah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong pandangan dikeluarkan oleh PAS Pusat melalui kenyataan Setiausaha Agungnya, yang mencadangkan agar Parlimen Malaysia dibubarkan bagi memberikan laluan kepada satu pilihan raya umum di negara ini, patut dipuji.
Dalam kenyataan dikeluarkan Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari, tindakan tersebut merupakan langkah terbaik bagi menyerahkan semula mandat rakyat bagi menggantikan Kerajaan Pusat yang hari ini telah terpalit dengan pelbagai skandal dan kelemahan.
Sambil tidak menolak bahawa usaha menurunkan pemimpin yang 'pekak' dengan sungutan rakyat juga sebahagian daripada proses menurunkan Umno, tetapi hakikatnya Najib turun kemudian Umno kuat semula, itu tidak boleh diterima.
Ingat, bumi bertuah ini adalah milik rakyat, bukan milik elit Umno.

0 comments: