Ijtimak Tarbawi DPPWP 1.0: Pencetus Semangat Pemuda Kota Raya

Kuala Lumpur, 7 Mac 2016: Ijtimak Tarbawi peringkat Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah melaburkan tirainya Sabtu lepas. Program sulung yang dianjurkan oleh Lajnah Tarbiah Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ini telah diadakan di Dewan Muhibbah, Taman Bolton Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.
Program diisi bermula dengan kuliah tafsir Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang membicarakan tafsir Surah Fussilat ayat 33-36. Ayat ini menceritakan perihal beberapa aspek antaranya pendekatan Nabi saw dalam berdakwah iaitu mendahulu pendekatan damai daripada peperangan, aspek kesabaran dalam berdakwah serta berstrategi dalam menyampai dakwah. 
Disebelah petang pula program diisi lagi dengan slot khas bersama Ustaz Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok (Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat). Dr Daeng Sanusi atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Daeng menasihati anak muda yang hadir untuk istiqamah dalam perjuangan Islam yang mana unsurnya terbahagi kepada dua iaitu tarbiyah yang baik serta akhlak yang muliah. Beliau juga menasihat agar anak-anak muda menghormati para guru dan murobbi serta berhati-hati dengan istidraj daripada Allah.
Ustaz Asri Daud (Bendahari DUPP) turut menjadi pembentang dengan mengulas kertas kerja "PAS Sebagai Gerakan Islam: Antara Prinsip Tarbawi Dan Pendekatan Kontemporari Dalam Menuju Kemenangan" yang pernah dibentang oleh Tuan Guru Presiden pada Liqa' Fikri PAS Pusat 30 Januari lalu. Antara isi yang penting diterangkan beliau ialah tentang prasyarat dalam menuju kemenangan iaitu yakin kemenangan datang daripada Allah, mesti menolong agama Allah dan berubah daripada status muslim kepada mukmin.
Kemudian himpunan 'anak muda' ini diakhiri dengan pembentangan yang bertajuk Sekularisme dan Neo-Mu'attilah oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Ustaz Mohd Farkhan Md Zain. Slot ini pembentang memperkenalkan tentang bahaya pemikiran sekularisme iaitu pemikiran memisahkan agama daripada dunia atau menghadkan agama kepada ritual-ritual tertentu dan ditempat ibadah sahaja. Islam melarang pemisahan ini. Manakala Neo-Mu'attilah pula merupakan golongan yang mendahulu maqasid syariah daripada nas al-Quran dan as-Sunnah. Program diakhiri dengan solat asar secara berjemaah dan gotong-royong mengemas tapak program.






0 comments: