Kerajaan, selesaikan segera isu padi

Mohon Kerajaan Negeri Pahang, khususnya Exco Pertanian menangani isu lambakan padi dengan SEGERA, demi menjaga sumber pendapatan petani.
Petani termasuk di kalangan golongan yang berpendapatan sederhana dalam negara ini. Namun sumbangan dan peranan mereka sangat besar dalam sektor makanan negara. Lebih-lebih lagi beras adalah makanan asasi bagi penduduk negara ini.
Tindakan pihak berkuasa menarik balik semua lesen membeli padi yang diberikan kepada pengusaha kecuali BERNAS adalah tindakan yang tidak wajar.
Sepatutnya, isu yang berbangkit di antara pengusaha dan pihak BERNAS ditangani dengan sebaiknya, kerana yang akan menanggung kerugian ialah pihak ketiga iaitu para petani.
Tindakan hanya BERNAS satu-satunya pihak yang diberi kebenaran untuk membeli padi daripada petani, akan mengundang tindakan monopoli yang menjadikan mereka penentu harga pasaran padi. Selain tindakan ini menyusahkan para petani dan menyekat pendapatan pengusaha padi yang telah menjadikan ia sebagai sumber ekonomi mereka selama ini.
Justeru, pihak berkuasa termasuk Ahli Parlimen Rompin, diseru supaya tampil menyelesaikan isu ini yang dijangka akan berulang pada musim menuai akan datang jika tidak ditangani dengan baik, agar dilihat lebih cakna dan bertanggungjawab dengan kesusahan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat marhaen selama ini.

NAZRI AHMAD
Ketua Penerangan Pas Negeri Pahang
Yang Di-Pertua Pas Kawasan Rompin

0 comments: