Memorandum Himpunan Pesawah Zon Utara


Kami para petani yang berhimpun di Kerpan, Air Hitam, Kedah pada hari ini 5 Mac 2016:
1. Mendesak Kerajaan yang memerintah segera mengambil langkah yang perlu untuk meringankan beban 31,820 orang pesawah negeri ini. Kebanyakan pesawah adalah terdiri di kalangan mereka yang miskin. Akibat kenaikan kos sara hidup masa kini keadaan pesawah semakin terhimpit.
2. Antara sebab penghasilan padi yang masih rendah adalah akibat sistem saliran dan perairan yang yang tidak sempurna dan pra sarana yang tidak dibaiki sejak sekian lama. Dengan itu kami mendesak supaya MADA memberi perhatian khusus membaiki sistem saliran dan pengairan.
3. Bajet yang disalurkan kepada MADA sekitar RM2.47 bilion pada 2016 untuk industri padi sepatutnya dipantau agar ia digunakan dengan optimum dan efisien sebagaimana sepatutnya untuk kepentingan pesawah. Jika bajet sebesar itu digunakan sebaiknya maka tidak berbangkit masalah kekurangan kewangan dalam memperbaiki pra sarana dalam industri padi.
4. Walaupun berlaku sedikit kenaikan harga padi tetapi pemotongan ketika jualan sekarang sangatlah tinggi sehingga melebihi 21 peratus. Kami menggesa potongan terhadap padi biasa dihadkan tidak melebihi 17 peratus.
5. Pengeluaran padi di Malaysia secara bandingan lebih tinggi dari Thailand bagi setiap hektar, namun kos input pertanian di Malaysia adalah jauh lebih tinggi berbanding Thailand dan Vietnam. Keadaan lebih buruk dengan kejatuhan nilai matawang Malaysia berbanding negara pengeluar input pertanian. Dengan sebab itu kami mencadangkan pengeluaran padi di Malaysia diberi subsidi yang lebih tinggi.
6. Pengswastaan dan monopoli BERNAS juga menjadi petaka bagi para pesawah Bumiputera. Setelah Padiberas Nasional Berhad (Bernas) diswastakan dan LPN dibubarkan, jumlah kilang Melayu telah berkurangan dari 196 ke 23 buah sahaja. Kerajaan mesti mengambil perhatian bahawa BERNAS yang bersifat korporat kapitalis semestinya tidak mengambil berat kebajikan dan survival para pesawah berbanding lembaga yang ditubuhkan kerajaan sendiri.
7. Dengan pelaksanaan TPPA yang telah termeterai, para pesawah akan lebih tertindas. Secara khusus, para pertani berdepan kemungkinan hilang pendapatan apabila beras gred lebih tinggi dari negara lain dijual pada harga setara dengan beras keluaran negara ini. Secara praktikal keperluan penduduk negara ini terhadap makanan ruji itu tentunya akan mengalih pilihan kepenggunaan mereka kepada tawaran lebih bernilai. Kerajaan yang mendakwa mengutamakan kepentingan rakyat mesti melihat kesan TPPA terhadap para pesawah kelak serta mencari jalan keluar mengatasinya.
8. Kami mendesak supaya semua tuntutan kami diberi perhatian serta ditunaikan.
Sekian tuntutan dari kami
Para Pesawah
5 Mac 2016

0 comments: