Memperkasa Amar Maaruf Nahi Mungkar di Bangi

BANGI, 6 Mac :  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, YB Ustaz Shafie Ngah berharap agar DUN Bangi dapat mengoptimumkan amar maaruf nahi mungkar.
Berucap dalam merasmikan program Himpunan Pendakwah Bangi 2016, beliau menegaskan agar nahi mungkar seperti kes khalwat, zina, judi, minum arak dan nombor ekor dapat dibanteras dengan serius.
"Kita berharap agar masjid dan surau di DUN Bangi dapat menjadi kuasa ketiga yang akan mengurangkan kes-kes maksiat di DUN Bangi."
Manakala, konsep amar maaruf yang beliau ingin laksanakan adalah dengan memperbanyakkan pengisian majlis ilmu supaya masjid dan surau dapat dibentuk sebagai sebuah tempat rujukan bagi masyarakat.
"Masjid dan surau perlu menyusun pelbagai program keilmuan agar ahli qariah faham tentang agama dan dapat menjadikan ia sebagai tempat rujukan utama bagi masyarakat."
Selain itu, beliau menyeru agar masjid dan surau di DUN Bangi tidak melupakan golongan muallaf, warga emas dan mereka yang tidak berkemampuan.
"Kami berharap agar masjid dan surau tidak melupakan muallaf. Santuni mereka dan berilah pertolongan kepada orang kurang berkemampuan dan warga emas.Kerajaan negeri juga turut prihatin terhadap isu ini."
Himpunan yang berlangsung di Dewan Abu Bakar As-Siddiq, Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat ini telah dihadiri lebih dari 100 orang penceramah dan pendakwah yang mengisi majlis ilmu di sekitar DUN Bangi.

0 comments: