PAS berpotensi menang di Sebuyau, Samalaju

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor, YB Ir Mohd Haslin Hassan yakin PAS berpotensi tinggi dapat menawan DUN Sebuyau dan Samalaju pada pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka April nanti.
Katanya, PAS Selangor telah menetapkan setiap jentera dari Kawasan akan berada di DUN Sebuyau dan Samalaju selama seminggu untuk membantu PAS Sarawak.
Beliau bertanggungjawab sebagai Pengarah Operasi di DUN Sebuyau dan Samalaju telah sering turun ke Sarawak bagi memastikan persiapan awal untuk penempatan jentera.
“Taklimat dan pelancaran tabung dana PRN Sarawak ini merupakan sokongan daripada PAS Selangor untuk membantu jentera PAS Sarawak menghadapi pilihan raya,” katanya.
Beliau berjanji PAS Selangor akan mengegarkan Sarawak dengan melahirkan anak sulung PAS di DUN Sebuyau dan dua DUN sasaran.
Katanya, mungkin tarikh penamaan calon dan pilihan raya akan diumumkan lebih awal daripada jangkaan. Menurut beliau, PAS Selangor diamanahkan menjadi negeri angkat di DUN Sebuyau dan DUN Samalaju untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.
Pelancaran Tabung PRN Sarawak oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dapat mengumpulkan sumbangan ahli-ahli dan pimpinan PAS sebanyak RM10 ribu.
PAS Selangor turut menjual kupon dana bernilai minima RM10 melalui PAS Kawasan-kawasan.

0 comments: