PAS galas misi Untukmu Sarawak


PILIHAN RAYA Negeri (PRN) Sarawak membuka tirai gelanggang politik tahun ini. Kali terakhir pilihan raya kecil Chempaka Mac tahun lepas. PRN Sarawak sebelum ini diadakan pada 16 April 2011. Ketika itu paling hangat isu Tan Sri Abdul Taib Mahmud berada di kerusi Ketua Menteri paling lama, 30 tahun. BN dan pembangkang bersaing merebut 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun). Akhirnya BN mempertahankan 55 kerusi dan pembangkang pula meraih 15 kerusi dan sebuah lagi dimiliki Bebas. PAS juga mencatat sejarah apabila hampir menguasai Dun Beting Maro. Calon PAS hanya tewas 391 undi kepada calon BN. Mampukah situasi itu dipertahan atau ditambah baik pada PRN kali ini. Oleh itu bagi mendapat gambaran lebih jelas mengenainya ikuti temubual LANJUSOH bersama Pengarah Operasi PAS PRN Sarawak, Dr Wan Nik Wan Yussof ketika ditemui di Kota Bharu 25 Februari lepas.

HARAKAH: PAS dikatakan akan bersaing di 11 kerusi Dun pada PRN kali?
DR WAN NIK WAN YUSOF: PAS sehingga hari ini akan bertanding di 11 Dun. Cuma keputusan akhir bergantung persetujuan dengan KeADILan. Dun yang mungkin bertindan dengan KeADILan seperti diumum KeADILan baru-baru ini di sebelah Bintulu dan Kuching. Kemungkinan juga dengan DAP di tempat DHPP yang bakal bertanding di kawasan Kuching, iaitu kerusi baru yang diwujudkan selepas persempadanan baru.
Sekarang kita tengok perundingan lanjut antara KeADILan dengan DAP kerana dikatakan ada masalah mengenainya. Masing-masing hendak dominan. Konsensus antara kedua-dua parti difahamkan belum bulat lagi.

Pada 2011 PAS tanding di lima kerusi, mengapa kali ini meningkat banyak?
Pada PRN lepas PAS bertanding di Beting Maro, Sebuyau, Saadong Jaya, Tanjung Datu dan Muara Tuang. Kita bertanding di 11 kerusi kali ini kerana di situ sudah ada jentera PAS yakni organisasi. PAS sekarang bertapak di Miri, Bintulu, Petrajaya, Batang Sadong dan Batang Lupar. Keduanya ada calon yang bersedia untuk menerima amanah sebagai calon PAS pada PRN Sarawak. Mereka terdiri dalam kalangan profesional, agamawan dan usahawan.

Adakah kawasan bakal ditandingi PAS majoriti Bumiputera Islam?
Kawasan tersebut didominasi penduduk Bumiputera Islam kecuali di kawasan campuran iaitu di Dun baru di sekitar Kuching.

Kemungkinan bakal calon mewakili Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)?
Kawasan itu majoriti pengundinya kaum Iban dan Cina. Orang Islam pula sebagai minoriti. Calon awal dicadangkan kalangan masyarakat Iban atau Cina mewakili DHPP. Ini menjelaskan PAS juga diwakili pelbagai kaum dan agama.
Selepas perundingan dengan KeADILan mungkinkah jumlah kerusi PAS akan berkurangan? Berdasar kepada perundingan awal parti itu dilihat cuba mengelakkan bertembung dengan PAS. Pada perundingan asal begitu.
Namun berdasar kepada kenyataan Pengerusi KeADILan Sarawak, Baru Bian didapati ada dua Dun yang mungkin bertindan dengan calon PAS. Bagaimanapun PAS secara rasmi belum lagi mengumumkan secara muktamad kerusi tersebut. Kebetulan Dun yang PAS bertanding pada PRN lepas ditandingi KeADILan.
Namun sebelum itu ia dipersetujui Dun Depak ditandingi calon PAS. PAS tidak meletak calon pada PRN lepas kerana masalah tertentu. Namun komitmen diberi sekarang.
Apa usaha dilakukan bagi meningkatkan pengaruh PAS di Beting Maro? PAS sudah turun ke Dun berkenaan sejak awal lagi. Jentera dari Kelantan sudah berkampung di situ secara bergilir-gilir.
Rakyat setempat minat dengan PAS. Berdasar kepada gerak kerja jentera pilihan raya, rakyat di situ masih lagi menaruh harapan tinggi kepada calon mewakili PAS. Sebaliknya penduduk memberitahu mereka tidak berminat dengan PAN, malah parti baharu tersebut pun tidak ada jentera di situ.

Bagaimana peluang di Dun berkenaan?
Berdasar kepada gerak kerja PAS lebih selesa di Dun terbabit. Difahamkan calon yang bakal membawa misi PAS di Dun itu seorang ahli perniagaan.
Bermula Mac ini tiap-tiap Dun yang PAS bakal tandingi akan dibantu petugas-petugas PAS dari Semenanjung. Di Beting Maro kita sudah bermula sejak Januari lepas. Rombongan dari Kelantan berkampung di situ secara bergilir-gilir.

Dun lain yang ada peluang bagi PAS?
Antaranya Sembuyau memandangkan sebahagian peti undi yang menjadi kubu kuat BN dipindah ke Dun sebelah pada persempadanan baru. Dari sudut potensi calon pula di Saadong Jaya.
Calon profesional juga ada potensi di Dun di kawasan parlimen Miri dan Bintulu antaranya Dun Depak, Sama Laju dan Lambing. Kawasan itu majoriti penduduk Bumiputera Islam. Sama Laju ialah kawasan serpihan daripada Dun yang dikuasai DAP sebelum ini. Lambing dikuasai PBB.

Ada analisis sebelum ini melihat BN ada kekuatan kerana kehadiran Ketua Menteri baharu Tan Sri Adenan Satim. Bagaimana PAS mahu berdepan dengan situasi itu?
Sebab itulah PAS guna tagline Untukmu Sarawak. Kita letak harapan dengan kemunculan anak sulung (kemenangan).
PAS berusaha muncul sebagai wakil bicara bagi pihak orang Melayu dan Islam. Jurubicara itu tidak boleh dibuat parti lain di Sarawak termasuk juga PBB sebab parti itu ada campuran kaum dan agama. Ia bukan parti khusus untuk orang Melayu dan Islam di Sarawak.
Di kawasan majoriti Melayu kita beri harapan bagi membela kepentingan orang Melayu, Islam dan hak-hak penduduk Sarawak. Kita yakin calon diketengahkan kalangan agamawan dan profesional. Itu harapan yang kita bagi kepada rakyat.
Di samping itu kita mempertahankan juga hak- hak masyarakat Bumiputera lain. Sebab itulah kita minta PBB beri laluan kepada PAS di tempat tersebut. Ini nilai politik sejahtera yang kita bawa dalam politik Sarawak.

Taglinenya bermaksud?
Untukmu Sarawak. Ke arah melahirkan Adun sulung PAS dan sebagai misinya sebagai jurubicara orang Islam dan Bumiputera Sarawak.

Pada PRN 2011 isu Tan Sri Taib Mahmud hangat diperkatakan, namun sekarang agak berbeza?
Isu Taib Mahmud merupakan masalah dalaman BN Sarawak. Penyelewengan dan kroni diperkatakan secara meluas kalangan rakyat tempatan. Tanah rakyat pun menjadi milik kroni.
Isu yang merentasi sempadan ialah tanah adat (NCR), pembangunan yang terkebelakang biarpun Sarawak sudah 53 tahun merdeka. Lebuh raya Pan Borneo yang dibuat Kerajaan Pusat masih jauh daripada sempurna. Ia bukan bertaraf lebuh raya. Kerajaan Pusat buat namun tidak sebagaimana dijanjikan daripada aspek kualiti.
Jalan penghubung utama bagi penduduk di Sarawak masih lagi sungai. Masalah jeti yang tidak terurus dan kemudahan penempatan di lembangan sungai masih lagi terkebelakang.
Masih banyak lagi penempatan yang tiada kemudahan bekalan air bersih dan elektrik hanya pada sebelah malam. Banyak lagi rumah panjang yang dibina tidak ikut standard.
Rakyat Sarawak belum lagi menikmati kemudahan asas yang sempurna biarpun menyertai Malaysia sejak 1963. Sedangkan kekayaan sumber bumi begitu besar termasuk royalti petroleum, sumber hutan dan mineral.
Kayu balak yang banyak masih lagi dikuasai lanun rimba seperti yang disebut ketua menteri. Ia bersifat mata rantai sejak zaman Taib Mahmud lagi. Mereka mengaut keuntungan secara inlegal.

Konflik DAP-PAS dikatakan bermula di Sarawak berkisar itu pindaan Kanun Jenayah Syariah (KJS) di Kelantan. Mungkinkah PAS bermasalah bagi menarik simpati pengundi Cina?
Masyarakat Cina di Sarawak tidak didedah dengan kefahaman yang baik terhadap KJS. Ada beberapa isu yang dikait kononnya PAS akan membawa gerakan Islam ke Sarawak bagi mencabar agama mereka anuti.
Ada pihak mengambil kesempatan mendakwa PAS datang hendak kembangkan Islam di Sarawak kepada penganut Kristian.
Sebahagian besar mereka kalangan masyarakat Cina dan Dayak. DAP juga membangkit isu itu bagi memenangi sentimen perkauman dan agama.

Bagaimana mahu memberi kefahaman kepada masyarakat Cina di Sarawak mengenai keadaan sebenar?
Antaranya PAS kemukakan calon bukan Islam daripada DHPP. Ini secara tidak langsung dapat menolak tohmahan PAS anti masyarakat bukan Islam.
PAS ada penggerak parti daripada kalangan orang bukan Islam. Sebab itulah kita usahakan dengan kemukakan calon bukan Islam kali ini.

Bila pelancaran gerak kerja pilihan raya PAS di Sarawak?
Dijangka akan dilancarkan pada 12 Mac ini oleh Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Sebelum ini Presiden juga cuba diberi gambaran negatif kononnya cuba mendiskriminasi penganut Kristian di Sarawak. Ini berlaku kerana salah faham ketika Tok Guru menyampaikan kuliah di Rusila kononnya menyebut masyarakat Kristian anti pembangunan. Sedangkan Tok Guru memberitahu mengenai kajian di Eropah, di mana di sana agama Kristian tidak lagi popular. Ini dibuktikan banyak gereja sudah ditukar menjadi masjid.
Presiden akan menjelaskan isu tersebut pada kunjungan ke Sarawak 12 Mac ini.

Setakat ini sejauh mana penerima masyarakat Bumiputera terhadap PAS?
Sebenarnya tidak ada masalah kita untuk masuk ke kawasan masyarakat Iban. Bagaimanapun, kita tunggu tarikh bubar Dun barulah kita bergerak secara menyeluruh ke kawasan penempatan masyarakat Bumiputera. Namun lawatan jentera pilihan raya, bakal calon dan pimpinan PAS sudah diadakan.
Saya pun turun ke rumah panjang menemui masyarakat tempatan dan mengadakan dialog. Dialog dengan tuai dan kepala keluarga di rumah panjang. Mereka terbuka menerima kehadiran PAS dan bersedia memahami isu yang dijelaskan.
Kita bincang isu berkaitan kaum dan agama. Malah kaum Iban melahirkan pandangan balas supaya PAS tidak kelihatan ekstrem. Pendekatan kita ambil jalan yang lebih terbuka. Sedia berdialog dan cuba memahami sosiobudaya mereka.

Bagaimana pun pendekatan di kawasan bandar yang didiami majoriti masyarakat Cina?
Sebelum ini kita kurang ruang untuk berbicara secara langsung dengan mereka. Lagi pun mereka agak rapat dengan DAP. Insya-Allah kita akan anjurkan program khusus untuk berdialog dengan masyarakat Cina di kawasan bandar di Dun yang PAS akan bertanding.
Mereka belum memahami secara menyeluruh pendekatan yang dibawa PAS berkaitan politik dan kenegaraan. Sekarang kita sudah set up jentera di kawasan berkenaan. Ia berbeza dengan gerak kerja yang sudah dijalankan di lima Dun yang pernah ditandingi PAS pada PRN lepas.

Pada PRN kali ini PAS berdepan dengan banyak musuh, selain BN ada DAP dan PAN. Kaedah mana bagi mendepani cabaran itu?
Kita meletak harapan bagi mengelakkan bertembungan sesama pembangkang pada PRN kali ini. Penampilan PAN di Sarawak tidak sama dengan pendekatan PAS.

0 comments: