PAS Selangor hantar 2,000 jentera ke PRN Sarawak


PAS Selangor akan menghantar petugas seramai 2,000 orang untuk membantu PAS Sarawak menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka April ini.
Pesuruhjaya, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, pilihan raya Sarawak amat penting kerana ia merupakan pilihan raya pertama selepas Pakatan Rakyat berkubur dan ditubuhkan PAN.
“Inilah pilihan raya PAS bersendirian. Kita tidak mahu orang kata ‘itulah akibat PAS keluar Pakatan. Kita tidak mahu menjadi lemah,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden berkata, PAS mampu melahirkan anak sulung di Sarawak walaupun bersendirian dan mampu meningkatkan sokongan rakyat.
“Kita (PAS) 25 tahun mandul, kali terakhir tahun 74 sehingga 1999. Akhirnya kita dapat anak sulung, kembar empat terus,” katanya.
Empat anak kembar itu merujuk kejayaan PAS Selangor memperolehi kemenangan pada tahun 1999 iaitu di DUN Gombak Setia; Sungai Burong; Sabak dan Bangi.
Beliau mengingatkan seluruh ahli PAS Kawasan dan Cawangan, PAS mesti tunjuk kepada dunia bukan sahaja boleh bertanding di kawasan Melayu Islam tetapi mampu bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu Islam.
Katanya, pilihan raya di Sarawak menjadi percubaan bagi PAS Selangor untuk bertanding di kawasan Melayu bukan majoriti.
Menurutnya, di Selangor banyak permintaan untuk PAS bertanding di kerusi-kerusi orang Melayu bukan majoriti seperti di DUN Sungai Pelek dan Sekinchan.
“Kita perlu buktikan PAS rahmat untuk semua atau PAS For All dan menang di kawasan majoriti bukan Melayu,” tegasnya.
Beliau berkata, PRN menjadi petunjuk kepada PAS dengan budaya politik matang yang dijangka akan melonjakkan sokongan rakkyat.

0 comments: