PAS Tidak Terbabit Dalam Agenda Pemulihan UMNO


Kenyataan Media Pesuruhjaya PAS Kedah


1. PAS Kedah berpendirian bahawa situasi sosiopolitik dalam negara berada dipuncak kegawatan apabila semua masalah besar gagal diselesaikan oleh kerajaan yang memerintah, sebaliknya saban hari pemerintah hanya menambah babak-babak derita yang ditimpakan terhadap rakyat.
2. Hakikat yang sangat terang lagi bersuluh bahawa kerajaan yang ditunjangi Umno/BN telah gagal dalam menunaikan amanah terhadap rakyat dan wajib diturunkan. Adalah tidak memadai, tindakan pihak tertentu mahu memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dengan hanya menggerakkan usaha ‘penggulingan’ Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi tindakan yang lebih tepat ialah menyingkirkan Umno dari menjadi tunjang pemerintahan negara.
3. Keluarnya Tun Dr Mahathir dari Umno adalah tindakan membaikpulih parti itu dari luar manakala tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kekal dalam Umno adalah untuk memulihkan imej Umno dari dalam. Usaha mereka tidak membawa apa-apa makna untuk kesejahteraan rakyat dalam jangka masa panjang.
4. Pendirian PAS Kedah adalah seiring kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS Pusat supaya isu-isu berhubung 1MDB, skandal 2.6 billion dan lain-lain perlu diselesaikan segera dengan mengambil kira pandangan yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja. Semua masalah besar itu tidak akan selesai hanya dengan penukaran seorang Perdana Menteri.
5. Ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik dalam negara akan memberi impak buruk terhadap rakyat, sebagaimana yang terjadi dalam krisis penukaran Menteri Besar Kedah baru2 ini serta imej buruk di mata masyarakat antarabangsa.
6. PAS Kedah juga berpendirian ketidaktentuan politik yang berpanjangan akan berpotensi menimbulkan suasana tegang di kalangan masyarakat, maka cara yang terbaik adalah memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan politik yang baharu.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Syeikh Fakrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah
5 Mac 2016

0 comments: