Usul Tidak Percaya MB Terengganu: Adakah Perlembagaan Dicabuli?

Bismillah
Ketika semua mata tajam memerhatikan episod cemas kerajaan Umno Terengganu digoncang dengan usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman, PAS merasakan seperti ada sesuatu kelompangan dalam keputusan Yang DiPertua Dewan menolak usul itu dengan berbagai alasan yang dilihat hanya bagaikan mengelak daripada usul itu diteruskan sehingga kepada tahap pengundian wakil-wakil rakyat. Jelas yang disebut oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Azhar Abdul Hamid berkaitan perkara 14 (6) Undang-Undang Tubuh Bagi Negeri Terengganu membolehkan satu usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar. Namun peraturan Dewan 125 (2) memberikan YDP DUN menafsirkan bagaimana undi itu dijalankan dan ianya adalah muktamad.
Persoalannya mengapakah peraturan DUN boleh mengatasi Perlembagaan bagi Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu dengan menggunakan budi bicara YDP. Adakah lebih tinggi kuasa budi bicara YDP daripada Undang-Undang Tubuh Negeri itu sendiri? Jika benar itu berlaku, adakah Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu telah dicabuli Umno? Telah dicatatkan dalam sejarah berkaitan isu yang hampir sama iaitu ketika Kerajaan PAS Terengganu pada tahun 1961 telah dijatuhkan dengan usul undi tidak percaya oleh usul wakil daripada Parti Negara ketika itu. Sepatutnya kes 1961 itu menjadi ‘precedent’ bagi DUN semalam bagi membenarkan usul itu dibawa untuk diundi. Malah lebih menarik, usul itu telah dibawa oleh wakil Umno Terengganu sendiri daripada Kijal, bukan daripada PAS.
PAS merasa kesal dengan keputusan itu kerana ianya melibatkan maruah seorang ketua kerajaan negeri yang dilantik diatas kejatuhan orang lain. Malah seperti yang didakwa Dato’ Ahmad Said, antara sebab beliau digugurkan daripada jawatan MB dahulu adalah kerana kelantangan beliau menentang Perdana Menteri yang secara semborono menggunakan wang rakyat Terengganu. Sehinggakan telaga minyak yang sepatutnya menjadi milik Terengganu seperti Bertam, jatuh ke tangan Pahang itupun, turut beliau tentang. Dan apa yang lebih parah ialah dakwaan beliau berkenaan beberapa projek atau kejayaan beliau telah dikatakan sebagai kejayaan MB yang baru dan seperti sengaja menghina beliau. Berbeza dengan Razif yang bukan sahaja terpaksa berterima kasih dengan perlantikan itu, tetapi juga terpaksa mengorbankan berbillion wang rakyat Terengganu seperti dalam pembinaan LPT2.
Seharusnya Razif tidak berselindung di sebalik YDP bagi mempertahankan maruahnya kerana beliau sepatutnya keluar dengan penuh keyakinan akan semua wakil rakyat daripada Umno menyokong penuh kepimpinannya. Akibat daripada enggan membenarkan undi dilakukan bagi melihat kekuatan sokongan kepada pentadbirannya, beliau akan dikenang sebagai Menteri Besar yang tidak berdaya mempertahankan maruahnya sendiri ketika orang lain mencabar beliau. Beliau kelihatan sangat lemah kerana kebergantungan beliau kepada beberapa orang bagi melindungi kelemahannya. Mungkin kerana merasakan dia banyak menggunakan wang rakyat Terengganu bagi kepentingan pihak lain, maka beliau menjadi hilang keyakinan yang semua wakil Umno akan menyokong beliau.
PAS hanya ingin memastikan perlembagaan dipatuhi oleh semua orang. Samada Razif disingkirkan atau tidak, Umno tetap memerintah Terengganu dengan kelebihan kerusi yang mereka ada, itu kita sedar. PAS bukan menangguk di air yang keruh kerana tiada keuntungan kepada PAS secara khususnya. Dan PAS sekali membuat tegasan seperti mana kenyataan Presidennya ketika hari perasmian DUN bahawa, setiap pertukaran kerajaan atau ketua kerajaan mestilah melalui lunas undang-undang sedia ada dan bukannya dengan cara yang salah. Maka cara yang dibuat oleh Dato’ Ahmad Said adalah betul kerana dia menggunakan jalan undang-undang yang telah ada, namun sayang, ia dinafikan oleh YDP. Oleh itu PAS menyokong usul itu kerana melihat dari sudut ianya memenuhi kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu itu sendiri dan kepentingan ia kepada rakyat Terengganu.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
29 Jamadilawwal 1437 bersamaan 9 Mac 2016

0 comments: