Hasil Laporan PAC: 1 MDB Ini Anak Emas Siapa.?


Hasil Laporan PAC: 1 MDB Ini Anak Emas Siapa.?

1. Saya membaca Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang bertajuk Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah dibentangkan di atas meja tanpa dibahaskan di Dewan Rakyat pada 7 April 2016.

2. Setelah saya meneliti laporan setebal 106 muka surat itu, timbul persoalan 1 MDB ini anak emas siapa kerana ia mendapat begitu banyak keistimewaan dan pelepasan daripada undang-undang.? Oh, hampir terlupa pula 1 MDB ini syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). Siapa Menteri Kewangan 1 Malaysia.? Siapa Pengerusi Lembaga Penasihat 1 MDB ini.?


3. Al-Kisah 1 MDB ini bukan cereka dongeng, ia syarikat yang benar-benar wujud. Perniagaannya bukanlah kecil-kecilan, nilaian yang melibatkan bukan ratusan ribu, bukan juga ratusan juta tetapi berbilion ringgit. Naik seram apabila membaca kisah salahurus tadbir yang berlaku dalam 1 MDB.

4. Sepintas lalu sejarah awal 1 MDB ini, ia mempunyai kaitan secara langsung dengan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) yang ditubuhkan Menteri Besar Terengganu Diperbadankan (MBI Terengganu) pada 27 Februari 2009. 

Tujuan asal penubuhan TIA adalah untuk mewujudkan dana kekayaan negara (Sovereign Wealth Fund) dengan dana permulaan berjumlah RM11 bilion. Dana berkenaan akan diperoleh daripada pendapatan royalti minyak tertunggak sejumlah RM6 bilion dan dana daripada terbitan bon di pasaran kewangan tempatan serta luar negara dengan cadangan Kerajaan Persekutuan menyediakan sejumlah RM5 bilion bersandarkan pendapatan minyak masa depan Terengganu.


5. Kerajaan Persekutuan kemudian memutuskan untuk mengambil alih TIA dan proses pengambilalihan berkenaan berjaya disempurnakan pada 31 Julai 2009 dan nama TIA ditukar kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 25 September 2009. 

Bermula daripada 25 September 2009 itu juga hala tuju 1MDB ditukar daripada tujuan sebagai sebuah dana kekayaan negara di bawah TIA kepada sebuah syarikat pembangunan strategik yang menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).


6. 1MDB menggariskan visi untuk menjadi pemangkin strategik bagi membantu membawa idea dan sumber pertumbuhan baru serta meningkatkan daya saing negara dalam bidang ekonomi terutamanya dalam persekitaran global. Sejak penubuhannya 1MDB telah terlibat dalam pelaburan antaranya seperti berikut:

a) Usaha sama dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd;

b) Pelaburan dalam Segregated Portfolio Company (SPC) di Cayman Islands;

c) Pelaburan dalam sektor hartanah; dan

d) Pelaburan dalam sektor tenaga.


7. Ketika TIA belum berubah menjadi 1 MDB, di situ sudah pun berlaku masalah apabila Encik Shahrol Azral Ibrahim Halmi (Ketua Pegawai Eksekutif TIA) telah bertindak bertentangan dengan arahan Lembaga Pengarah TIA berkenaan penerbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN) sejumlah RM5 bilion.Encik Shahrol CEO TIA dan Setiausaha Syarikat TIA telah menandatangani Perjanjian Langganan dengan AmBank pada 25 Mei 2009, iaitu tiga hari selepas resolusi Lembaga Pengarah TIA yang mengarahkan penangguhan terbitan IMTN dan sebarang urusan berkaitan dengan program IMTN. 

Tindakan Encik Shahrol Azral meneruskan urusan berkaitan IMTN telah menyebabkan beliau digugurkan sebagai pengarah syarikat sepertimana yang diputuskan dalam resolusi pemegang saham TIA bertarikh 27 Mei 2009 selaras dengan Seksyen 152A Akta Syarikat 1965. Namun, setelah Wakil MB Terengganu dalam Lembaga Pengarah TIA, YAM Tengku Rahimah Puteri Almarhum Sultan Mahmud meletak jawatan sebagai Pengarah TIA pada 27 Mei 2009, pada tarikh yang sama, satu resolusi Lembaga Pengarah TIA ditandatangani oleh Datuk Ismee dan Encik Shahrol Azral untuk meneruskan terbitan IMTN dan melantik semula Encik Shahrol Azral sebagai Pengarah TIA.


8. Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati Encik Shahrol Azral telah melanggar arahan pemegang saham supaya tidak meneruskan penerbitan IMTN. Encik Shahrol Azral juga telah melakukan kesalahan dengan menandatangani perjanjian tanpa apa-apa kuasa yang diberikan oleh lembaga pengarah. 

Apa yang lebih menarik di sini, walaupun Encik Shahrol Azral sudah mempunyai track record sedemikian rupa ketika menjadi CEO TIA, beliau jugalah yang dilantik menjadi CEO 1 MDB apabila Kerajaan Persekutuan mengambilalih TIA.


9. Di mana letaknya kedudukan PM Najib dalam 1 MDB ini.?
Berdasarkan Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat (M&A)
1MDB, struktur tadbir urus 1MDB dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu Lembaga Penasihat, Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi. Lembaga Penasihat bertanggungjawab memberikan
bimbingan dan nasihat pelaburan serta perniagaan. Artikel 117 dalam M&A telah menggariskan beberapa keputusan perlu mendapat kebenaran bertulis daripada YAB Perdana Menteri yang merangkumi perkara-perkara seperti berikut:

a. Sebarang perubahan terhadap M&A syarikat, sama ada secara keseluruhan ataupun sebahagiannya;

b. Sebarang pelantikan dan penamatan mana-mana pengarah (termasuk Pengarah Urusan dan Pengarah Alternatif) serta Pengurusan Tertinggi Syarikat; dan

c. Sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan), penstrukturan semula atau perkara berkaitan jaminan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk kepentingan syarikat, kepentingan negara, keselamatan negara atau sebarang polisi Kerajaan Persekutuan Malaysia.
Atas tujuan ini, penentuan maksud ‘kepentingan negara’, keselamatan negara’ dan ‘polisi Kerajaan Persekutuan Malaysia’ hendaklah dimuktamadkan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia.


PM Najib yang juga Menteri Kewangan memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

10. Kisah dan peranan Encik Shahrol Azral (kini bergelar Datuk) ini begitu panjang untuk diceritakan di sini terutama dalam hal usahasama 1 MDB dengan PetroSaudi International Ltd. Beliau bersama pihak pengurusan 1MDB telah memutuskan lebih awal untuk menjalinkan kerjasama bersama PetroSaudi International Ltd. dan Lembaga Pengarah 1MDB hanya dimaklumkan kemudian.

Encik Casey Tang (Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB) dalam Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah 1MDB pada 18 September 2009 memaklumkan bahawa ini merupakan urusan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi (G2G). Encik Casey Tang turut memaklumkan bahawa PetroSaudi International Ltd. adalah milik penuh Raja Abdullah dan Kerajaan Arab Saudi serta telah wujud sejak tahun 2000. Pihak Jabatan Audit Negara tidak dapat mengesahkan status sebenar pendaftaran syarikat ini sama ada PetroSaudi International Ltd. dimiliki oleh Raja Abdullah atau Kerajaan Arab Saudi. Semakan terhadap laman sesawang PetroSaudi International Ltd. mendapati syarikat ini hanya ditubuhkan pada tahun 2005, milik persendirian Encik Tarek Obaid dan tiada kaitan pemilikan dengan Kerajaan Arab Saudi.


11. Pada 28 September 2009, perjanjian usaha sama telah ditandatangani antara 1MDB, PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. dan 1MDB PetroSaudi Ltd. di Kuala Lumpur. PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. dan 1MDB PetroSaudi Ltd. diwakili oleh Encik Tarek Obaid, manakala 1MDB diwakili oleh Encik Shahrol Azral. Majlis ini turut disaksikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dan Prince Turki. Mengikut perjanjian usaha sama ini, 1MDB akan melabur sejumlah tunai USD1 bilion (40% pegangan ekuiti) manakala PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. menyumbang dalam bentuk aset yang bernilai tidak kurang daripada USD1.50 bilion (60% pegangan ekuiti) dalam syarikat usaha sama ini.

Semakan Jabatan Audit Negara terhadap perjanjian usaha sama ini mendapati beberapa persoalan dan percanggahan maklumat dalam perjanjian tersebut. Syarikat usaha sama ini, iaitu 1MDB PetroSaudi Limited telah didaftarkan pada 18 September 2009 di British Virgin Island oleh PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited. Berdasarkan laporan carian Cayman Island Registry of Companies, didapati PetroSaudiHoldings (Cayman) Limited juga ditubuhkan pada 18 September 2009. Ini menunjukkan kedua-dua syarikat tersebut ditubuhkan pada tarikh yang sama. Eh, bapa dan anak lahir pada tarikh yang sama.?


12. Dalam perjanjian usahasama ada klausa yang menyatakan 1MDB PetroSaudi Ltd. (yang ditubuhkan pada 18 September 2009) telah menerima pinjaman pendahuluan sejumlah USD700 juta pada 25 September 2009 daripada syarikat induknya, iaitu PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. Pinjaman pendahuluan tersebut perlu dibayar balik sepenuhnya pada atau sebelum 30 September 2009. Kewujudan pinjaman pendahuluan berjumlah USD700 juta untuk tempoh lima hari ini menimbulkan persoalan. Semakan Jabatan Audit Negara mendapati tiada minit atau dokumen yang menunjukkan Lembaga Pengarah 1MDB dimaklumkan tentang pinjaman pendahuluan USD700 juta tersebut sebelum perjanjian usaha sama ditandatangani. Perjanjian ini yang bertarikh 28 September 2009 juga menetapkan bahawa langganan saham satu bilion oleh 1MDB dalam syarikat usaha sama tersebut berjumlah USD1 bilion perlu dibayar sepenuhnya sebelum atau pada 30 September 2009. Ini menunjukkan 1MDB hanya diberi tempoh yang amat singkat (dua hari) untuk membuat bayaran USD1 bilion kepada 1MDB PetroSaudi Ltd.


13. Pada 30 September 2009, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi kelulusan pindahan dana ke dalam akaun usaha sama di J.P. Morgan SA dan RBS Coutts Bank Ltd. (Geneva). Seterusnya pada 30 September 2009 juga, sejumlah USD300 juta telah dipindahkan ke akaun 7619400 di J.P. Morgan (Suisse) SA, iaitu bank 1MDB PetroSaudi Ltd. Bagaimanapun, baki USD700 juta telah dipindahkan ke akaun 11116073 di RBS Coutts Bank Ltd., milik sebuah syarikat lain yang tidak terlibat dengan projek usaha sama ini. Syarikat lain tersebut adalah milik Good Star Limited yang merupakan subsidiari Kumpulan PetroSaudi. 

Semakan Jabatan Audit Negara juga mendapati tiada kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB untuk pemindahan wang ini ke dalam dua akaun yang berasingan.


14. Kisah di atas hanyalah sebahagian daripada laporan panjang setelah hampir 1 tahun PAC menjalankan siasatan terhadap 1 MDB ini. Kegagalan untuk mematuhi prinsip-prinsip tadbir urus korporat ini boleh mendedahkan syarikat kepada risiko kerugian dan ketidakcapaian matlamat dan objektif syarikat. 1 MDB gagal mematuhi garis panduan Putrajaya Committee on High Performance GLC melalui Green Book: Enhancing Board Effectiveness (Green Book) dan Blue Book: Intensifying Performance Management Practice (Blue Book) serta Malaysian Code on Corporate Governance 2012 (MCCG 2012) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.


15. 1MDB telah diberi keistimewaan dan kelonggaran berbanding dengan syarikat- syarikat kerajaan yang lain. Antaranya adalah seperti berikut:

a. Tiada wakil pemegang saham dalam Lembaga Pengarah 1MDB.

b. Pengecualian cukai korporat terhadap semua pendapatan bagi syarikat dan beberapa subsidiarinya untuk tempoh 10 tahun mulai 23 November 2010.

c. Pengecualian beberapa peraturan Kerajaan dalam pengurusan perolehan, remunerasi dan pembayaran bonus kepada ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan 1MDB.

d. Mendapat beberapa jaminan Kerajaan dan surat sokongan serta standby credit bagi membiayai operasi syarikat. Contohnya, mendapat jaminan tempoh 30 tahun bagi terbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN) dengan nilai nominal RM5 bilion.


16. Semakan Jabatan Audit Negara mendapati secara keseluruhannya, aspek berkaitan tadbir urus korporat dan kawalan dalaman 1MDB adalah kurang memuaskan. Adalah didapati sebahagian daripada tindakan pengurusan 1MDB dan keputusan oleh Lembaga Pengarah 1MDB tidak selaras dengan amalan terbaik tadbir urus korporat seperti keputusan pelaburan penting hanya melalui resolusi bertulis, pelaburan dibuat tanpa kajian menyeluruh, dan tindakan pihak pengurusan tanpa kelulusan lembaga pengarah.


17. Rumusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati bahawa struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan Kumpulan 1MDB adalah kurang memuaskan. 1MDB bergantung kepada hutang (pinjaman bank, bon dan sukuk) sebagai modal syarikat, di mana sebahagian hutang tersebut telah mendapat jaminan kerajaan atau surat sokongan kerajaan. 

Hutang tersebut bermula pada tahap RM5 bilion pada tahun 2009 dan pada Januari 2016, hutang 1MDB mencecah RM50 bilion, berbanding aset RM53 bilion, di mana 1MDB membelanjakan sebanyak RM3.3 bilion untuk pembayaran faedah ke atas hutang antara 1 April 2014 hingga 31 Mac 2015 (anggaran yang belum diaudit). Adalah jelas bahawa tahap hutang dan pembayaran faedah terlalu tinggi berbanding dengan aliran tunai syarikat.

Oleh itu, 1MDB bergantung kepada pembiayaan semula (refinance) untuk pembayaran balik hutang matang dan juga mengambil hutang baru untuk antara lain, pembayaran faedah hutang sebelumnya. Model perniagaan 1MDB terlalu bergantung kepada pinjaman dan ini amat membebankan syarikat dan tidak mampan kerana syarikat tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membiayai pinjaman dan kos operasinya.


18. Apabila menyemak Laporan Akhir Jabatan Audit Negara dan menerima penjelasan 1MDB, secara rumusan PAC berpendapat bahawa terdapat kekangan dan kelemahan tertentu oleh pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB.

Secara khusus, PAC berpendapat bahawa mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi perlu mengambil tanggungjawab untuk kelemahan dan kekangan-kekangan tersebut.

Oleh itu, pihak agensi penguatkuasa diminta untuk membuat siasatan ke atas Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan lain-lain pengurusan yang berkaitan.


19. Sungguhpun kesimpulan yang dibuat oleh PAC iaitu menyalahkan pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB serta secara khusus kepada bekas CEO, Datuk Shahrol Azral, saya tetap berpandangan PM Najib yang juga Menteri Kewangan tidak boleh berlepas diri dan mencuci tangan daripada palitan skandal 1 MDB ini. 

Bahkan dalam tranksrip rakaman hansard ketika prosiding PAC, Datuk Shahrol Azral berkata PM Najib menandatangani dokumen jadi bermakna beliau sedar kerjasama antara 1MDB dan Petro Saudi bernilai RM3.92 billion (USD1 bilion) selaras dengan Artikel 117 (c) M & A, sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan), penstrukturan atau apa sahaja perkara yang melibatkan jaminan kerajaan untuk kebaikan syarikat, kepentingan negara dan sebarang polisi kerajaan perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Perdana Menteri.


20. Laporan Jabatan Audit Negara belum didedahkan kepada umum kerana ia masih dikategorikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Pihak berkuasa seperti Peguam Negara, Bank Negara, Polis Diraja Malaysia, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sewajarnya bertindak dengan berani, telus, dan adil tanpa campurtangan pihak tertentu dalam kes 1 MDB ini kerana jikalau ia dilepaskan begitu sahaja, entah apa lagi nasib yang akan menimpa negara kita ini. 

Rakyat perlu menggunakan kuasa yang ada untuk membuat perubahan secara demokratik bagi menggantikan pemerintahan UMNO-BN yang telah sekian lama memerintah Malaysia ini sehingga mereka sanggup mengkhianati amanah rakyat.


Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli,
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS

0 comments: