378 pelajar Yik dapat 9A PMR

KOTA BHARU:  Seramai 378 pelajar sekolah aliran Yayasan Islam Kelantan (Yik) mendapat keputusan 9A pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini.

Dari pencapaian itu, seramai 190 pelajar Maahad Muhammadi Perempuan memperolehi 9A, 79 orang pelajar pula mendapat 8A dan 36 pelajar mendapat 7A.

Manakala di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah pula, seramai 51 pelajarnya mendapat 9A, 27 pelajar (8A) dan 16 pelajar (7A).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (gambar)  berkata, jumlah pelajar yang memperolehi 9A meningkat kepada 63 orang berbanding 315 orang tahun lalu.

Beliau berkata demikian selepas majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan Kali Ke-4, di Balai Islam Lundang, di sini, semalam.

Katanya lagi, seramai 1,407  calon PMR memperolehi keputusan 5A hingga 9A, bertambah 76 pelajar berbanding tahun 2012.

“Sekolah terbaik bagi maahad pilihan adalah Maahad Muhammadi Pasir Pekan (96.67 peratus), Maahad Amir Indera Petra (89.73 peratus) dan Maahad Ahmadi Tanah Merah (82.56 peratus),” ujarnya.

Fadzli seterusnya memberitahu, bagi kategori sekolah bantuan kerajaan, sekolah terbaik adalah SMU(A) Syukuriah Lubok Setol (66.67 peratus), SMU(A) Sullamiah Bunut Payong (53.85  peratus) dan SMU(A) Tarbiah Diniah Tok Uban, Pasir Mas (53.06 peratus).

Menurutnya, sejumlah lima sekolah mencapai TPM 100 peratus dengan nilai gred purata sekolah masing-masing iaitu Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah; Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas; Maahad Tahfiz Sains Bustanul Ariffin, Tumpat; Maahad Muhammadi Perempuan; dan Maahad Tahfiz Sains Al Muhammadi, Kampung Nipah.

Sehubungan itu, beliau mewakili kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada semua  pelajar, guru serta ibu bapa yang telah bekerjasama membantu mencapai kecemerlangan sekolah di bawah Yik.

0 comments: