Salehen akan jumpa editor The Herald

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk meneliti operasi yang dijalankan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) terhadap pejabat Bible Society Malaysia (BSM) pada Khamis lalu.

Perkara itu dimaklumkan Exco Agama Negeri, Salehen Mukhyi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hak Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa berkata, arahan tersebut dibuat kerana insiden tersebut berkait perihal pentadbiran dan melibatkan jabatan dan pegawai kerajaan.

"Semakan hendaklah  antara lain memastikan pegawai penguatkuasa yang menjalankan operasi tersebut mematuhi SOP yang telah disediakan oleh Jais dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat kecuaian dan pelanggaran peraturan," katanya.

Menurutnya lagi, arahan itu menyusul selepas Kerajaan Negeri telah meminta JAIS menyediakan Standard of Operation (SOP) dalam menangani isu-isu sensitif seperti insiden serbuan itu bagi mengelak berlaku salah faham dan buruk sangka.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan akan mengadakan perjumpaan dengan Editor The Herald, Lawrence Andrew pada Selasa ini bagi membincangkan isu larangan menggunakan kalimah Allah bagi bukan Islam seperti yang dititahkan DYMM Sultan Selangor.

Berikut kenyataan penuh beliau.


Kerajaan Negeri memandang serius insiden serbuan oleh kakitangan bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) terhadap pejabat Bible Society Malaysia (BSM) pada Khamis lalu.

Ia merupakan kejadian kedua yang melibatkan Jais dan penganut Kristian selepas pemeriksaan mengejut terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada tahun lalu.

Selepas kejadian tersebut Kerajaan Negeri telah meminta Jais menyediakan Standard of Operation (SOP) dalam menangani isu-isu sensitif seperti ini  bagi mengelak berlaku salah faham dan buruk sangka.

Bagi kejadian perampasan Bible pada Khamis lalu, saya telah meminta Pengarah Jais untuk mendapatkan segera laporan terperinci kejadian termasuk meneliti hasil siasatan yang dikatakan telah dilakukan.

Datuk Menteri Besar,  Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim juga telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk meneliti dan menyemak operasi yang dijalankan kerana ianya merupakan perihal pentadbiran dan melibatkan jabatan dan pegawai kerajaan.

Semakan hendaklah  antara lain memastikan pegawai penguatkuasa yang menjalankan operasi tersebut mematuhi SOP yang telah disediakan oleh Jais dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat kecuaian dan pelanggaran peraturan.

Saya juga akan mengadakan perjumpaan dengan Editor The Herald, Lawrence Andrew pada Selasa ini bagi membincangkan isu larangan menggunakan kalimah Allah bagi bukan Islam seperti yang dititahkan DYMM Sultan Selangor.

Kerajaan Negeri selari dengan titah DYMM Sultan Selangor bahawa semua pihak perlu menghormati agama Islam sebagai agama rasmi manakala masyarakat bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Semua rakyat Selangor tidak kira agama atau kaum mesti mematuhinya bagi menjamin kelangsungan hidup berharmoni, bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain yang telah terjalin sejak sekian lama.

YB SALEHEN MUKHYI
PENGERUSI JAWATANKUASA TETAP HAL EHWAL ISLAM, PERMODENAN PERTANIAN DAN PEMBANGUNAN DESA

0 comments: