Penyanyi Najwa Latif menafikan beliau menyebarkan mesej melalui akaun Twiter yang mendakwa peserta himpunan membantah peningkatan harga barangan pada 31 Disember bertindak ganas dan melakukan gangguan seksual.

'Mesej' yang disebar meluas di laman sosial dan dikritik hebat peminat serta peserta himpunan itu yang menyifatkan sebagai tuduhan liar, lapor Sinar Harian Online.

Najwa menjelaskan, kenyataan yang dimuat naik menggunakan Twitter menyerupai akaunnya itu direka pihak tidak bertanggungjawab dan bertujuan menjatuhkan reputasinya sebagai artis berhijab.

“Itu tidak benar, saya tidak ada ‘tweet’ sebegitu, dan saya boleh katakan ia palsu.

“Setakat ini benda itu tiada dalam Twitter saya sendiri, jadi, saya rasa itu adalah palsu, ada orang lain edit, mungkin menggunakan perisian grafik komputer,” beliau dipetik sebagai berkata semalam.

Najwa atau nama penuhnya Imratul Najwa Abdul Latif berkata, beliau sedar perkara itu kira-kira jam 1 pagi selepas membuat persembahan ambang 2014 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Dataran Merdeka.

Pesanan Twitter palsu (kanan) yang didakwa ditulis Najwa itu berbunyi:

“Saya berasa kesal dengan tindakan liar perusuh himpunan di Dataran. Ambil alih pentas Dataran dan meraba beberapa orang wanita.”

Komposer yang terkenal dengan lagi “Cinta Muka Buku” itu bagaimanapun tidak berhasrat membuat laporan polis memandangkan pernah melaluinya perkara yang sama sebelum ini.

Sebaliknya, beliau menasihatkan supaya pihak berkenaan supaya tidak menyebarkan fitnah dan menjatuhkan imej orang lain.