SUBURKAN CINTA ALLAH DAN RASUL DALAM SEGENAP KEHIDUPAN
(1 April 2014)
Program Majlis Malam Cinta Allah dan Cinta Rasul anjuran pihak berkuasa menjadi fenomena terkini umat Islam di negara ini. Memang begitulah seharusnya umat Islam diseru, didakwah dan diajak agar kembali kepada penghayatan Islam, dengan pelbagai medium dan pendekatan terkini termauk melalui konsert, qasidah, nasyid, ceramah, forum dan lain-lain lagi.
Tidak ada umat Islam yang menentang penganjuran program berselawat kerana penganjurannya bermotif baik dan dengan kaedah yang baik. Remaja mendapat suatu alternatif baharu untuk pengisian jiwa mereka dengan program seperti ini, berbanding dengan konsert maksiat di ibu kota beberapa minggu yang lalu yang dianjurkan sehingga mengorbankan enam orang remaja akibat dadah dan arak. Saya benar-benar berharap program Malam Cinta Allah dan Rasul mendapat tempat di hati remaja, bertujuan menenggelamkan api maksiat yang kian membara di negara ini, dek kerana terlalu banyaknya program mungkar yang dianjurkan.
Majlis ini membuktikan bahawa negara ini mampu bebas dari maksiat, andai penganjur dan kerajaan berusaha bersungguh-sungguh. Kemungkaran tidak akan mendapat tempat, jika kerajaan berfikir mengisi jiwa remaja dengan kegiatan yang mendidik dan bermanfaat. Sudah sampai masanya kerajaan serius menghentikan konsert yang merosakkan dan melalaikan seperti Future Music tempohari dan lain-lain lagi digantikan dengan aktiviti yang mendidik dan berguna untuk masyarakat.
Dalam hal ini, kerajaan perlu jujur dan ikhlas iaitu menganjurkan program yang baik seperti ini dan dalam masa yang sama tidak pula menganjurkan sebarang program berbentuk maksiat. Ketegasan kerajaan membuktikan kita benar-benar menghayati kecintaan kepada Allah dan Rasul SAW ataupun sekadar menjadi golongan hipokrit yang berpura-pura mencintai Allah dan Rasulullah SAW dan bersekongkol dengan mereka yang menentang Islam. Hakikatnya, umat Islam juga perlu dididik agar menjalankan amar ma’aruf nahi mungkar dengan menolak konsert maksiat, aktiviti bercanggah dengan agama, perbuatan jenayah, sehingga kepada menolak hukum Islam, kezaliman penguasa, ketidak adilan, pemborosan, rasuah dan lain-lain lagi.
Selain itu, kesempurnaan kecintaan kepada Allah dan Rasulullah SAW adalah dengan mengikuti perintah Allah dan segala sunnah Nabi Muhammad SAW. Tidak mungkin umat yang mengaku mencintai Rasulullah SAW sanggup membiarkan Nabi Muhammad diperlekeh dan diperendah oleh segelintir pihak, seperti menolak hadis dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Perjuangan menegakkan Islam dalam segenap kehidupan adalah sunnah Nabi Muhammad SAW yang terbesar dan menjadi amalan baginda sehingga diikuti oleh para sahabat baginda.
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
0 comments: