Ceramah Nuzul Al Quran dan Badr al Kubra


Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat akan mengadakan satu ceramah bersempena dengan peristiwa Nuzul Al Quran dan Badr Al Kubra. Program ini akan diadakan pada hari Jumaat, 18 Julai 2014 di Dewan Fadhil Noor, KUIZM Taman Melewar sejurus selepas selesai solat tarawikh.
Penceramah yang akan tampil bagi menjelaskan isu ini ialah Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, serta Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat.

Tujuan program ini diadakan ialah untuk memperingati peristiwa turunnya kitab suci Al Quran dan perang Badar yang mana kedua-dua peristiwa besar ini berlaku dalam bulan Ramadhan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyemai semangat jihad dan jaya juang di kalangan ahli-ahli PAS dan para penyokong PAS.

Semua dijemput hadir ke program ini.Semoga program yang diadakan ini berjaya mencapai matlamat dan dapat mengeratkan ukhwah antara pimpinan PAS pusat dengan ahli-ahli PAS.

Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki
Setiausaha
Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat 

0 comments:

Surat Terbuka Kepada Yang Berjihad

PERKATAAN jihad, menjadi sebutan di kalangan umum umat Islam sejak zaman berzaman, walau pun ramai yang  tidak memahaminya secara hukum feqah. Kini menjadi lumrah disebarkan oleh media dan menjadi sebutan juga di kalangan bukan Islam, lebih menjadi sasaran media apabila ada kalangan yang mengisytiharkan jihad berperang menentang kerajaan yang ditolak dan mengajak seluruh dunia menyertainya.

Jihad adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang wajib diimani dan dihayati oleh penganut Islam dan sepatutnya difahami dengan betul oleh semua pihak mengikut tasawwurnya, supaya tidak mencalarkan ajaran Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Perlu diketahui bahawa setiap ajaran Islam itu ada feqahnya, bukan hanya perkara ibadat sahaja seperti solat, puasa, haji dan zakat. Maka jihad pun ada hukum feqahnya yang tersendiri.

Feqah bererti kefahaman yang betul, bermaksud diketahui secara ilmu yang sahih dan dilaksanakan dengan istiqamah dan faham terhadap setiap ajaran itu secara menyeluruh dan mendalam. Ianya meliputi cara amalan, syarat, rukun, adab, masa  dan matlamatnya yang dinyatakan oleh sumber utama ajaran islam, iaitu al-Quran, serta dihuraikan pelaksanaannya yang betul oleh Rasulullah S.A.W. dan para ulama yang mendalaminya  di sepanjang zaman dengan cara ilmu yang betul melalui bahasa al-Quran, di mana ada perkataannya yang tidak boleh diterjemah dalam bahasa lain dengan satu perkataan sahaja.

Seperti juga urusan ajaran Islam yang lain, hukum jihad itu ada di dalamnya perkara-perkara dasar yang tetap dan teguh, ada pula yang berkait dengan perkembangan kehidupan masyarakat yang berbeza dan berubah yang  semuanya berada dalam ilmu Allah dan kebijaksanaanya yang penuh rahmat dan adil.

Perkataan Jihad daripada  bahasa Arab, perkataan asalnya,  “al-Juhdu” dan “al-Jahdu”, masdar atau nama terbitan daripada perkataan “Jahada”. Al-Jahdu berarti masyaqqah, yakni kesukaran atau payah. Al-Juhdu pula bererti “Thoqah”, yakni tenaga dan kemampuan kekuatan roh dan jasad, harta dan lain-lain daripada segala nikmat yang ada pada diri. Maka ditambah pula dengan makna yang lebih kuat, dipanjangkan huruf jim, menjadi “jaahada” dan melahirkan nama terbitan “jihad” atau “mujahadah”, bermaksud menggemblengkan segala kemampuan daripada nikmat tenaga, diri dan harta dan lain-lain, serta menghadapi segala cabaran, kesulitan, kepayahan dan segala penderitaan dengan sepenuh kesungguhan.

Adapun Jihad mengikut istilah syarak (ajaran Islam) ialah melakukan amalan tersebut di atas bagi menegakkan ajaran Islam yang membawa rahmat dan adil terhadap semua, kerana Allah dengan iman dan ikhlas, sama ada dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jihad ini dilaksanakan sehingga membuktikan Islam sebenarnya adalah al-Din yang terbaik daripada segala ajaran yang lain, sama ada agama atau segala ideologi, teori dan sebagainya. Temanya ialah firman Allah:

“Dialah (Allah) Tuhan yang telah mengutuskan Rasulnya (Muhammad S.A.W), dengan petunjuk dan Din (agama dan cara hidup) yang sebenarnya , supaya menzahirkannya (dengan kemenangan) mengatasi segala ajaran yang lain walau pun dibenci oleh orang-orang musyrikin)”  (Surah Al Sof: 9-10)

Seterusnya dihuraikan oleh ayat-ayat al-Quran dalam surah yang banyak, melalui hukum syariat dan kisah para rasul dan umat terdahulu, serta pelaksanaan oleh Rasulullah S.A.W. yang mendapat bimbingan wahyu dan tarbiyah secara langsung daripada Allah, untuk menjadi ikutan seluruh umat sehingga hari kiamat.

Al-Quran dan hadis menghuraikan segala pendekatan amalan jihad, merangkumi damai dan berperang. Maka jihad itu tidak hanya berperang semata-mata, seperti mana tafsiran para orientalis musuh Islam dan mereka yang diheret oleh tafsiran yang salah ini, sehingga menjadikan perkataan jihad tidak lengkap kalau diterjemahkan dengan peperangan apatah lagi tersasar jauh kalau diterjemahkan dengan perkataan “Holy War”. Peperangan hanya salah satu daripada lapangan jihad dan perdamaian pula menjadi lapangannya yang lebih luas.

Allah menyebut kisah semua para Rasul a.s. yang memulakan pendekatan jihad secara aman dan damai terlebih dahulu, menyampaikan mesej dengan hujah yang sepatutnya diterima oleh akal yang baik, walaupun memakan masa yang panjang, untuk memberi hujah dan tempoh yang seluas-luasnya supaya menusia menerima Islam.

Para rasul dan pengikutnya yang beriman diperintah bersabar yang menjadi rukun jihad. Hukuman secara keras, sama ada peperangan atau bencana secara langsung daripada Allah, dilakukan setelah batas kesabaran sampai kemuncaknya dan dirasakan segala kezaliman dan penipuan ajaran yang sesat oleh akal yang sempurna terus berlaku. Semua kisah tersebut bukan sekadar cerita, bahkan wajib menjadi petunjuk kepada Rasulullah S.A.W. dan umatnya sehingga hari kiamat.

Rasulullah S.A.W. menunjukkan pendekatan secara amali (praktikal). Baginda berusaha supaya manusia menerima Islam seramai mungkin tanpa paksaan, kerana paksaan itu tidak membawa Islam yang sebenarnya beriman, budiman dan beramal soleh. Atau memberi peluang bebas beragama dan boleh ditunjukkan apa dia Islam tanpa gangguan. Maka tentangan secara jihad juga dilakukan terhadap gangguan berdakwah mengikut kadarnya, walau pun berperang, tetapi wajib dengan syarat dan adab mengikut batas hukum Islam bagi mencegah kezaliman.

Al-Quran dan hadis juga menunjukkan betapa bersabar dengan teguran berani dan membina, menghadapi kerajaan yang zalim ketika berada dalam satu masyarakat bersama, adalah jihad akbar dengan hadis yang sahih. Menunjukkan bahawa pendekatan jihad menghadapi kemungkaran dalaman masyarakat berbeza dengan menghadapi penceroboh yang menyerang.

Kita wajib mengambil iktibar secara perbandingan, mengapa pendekatan Rasulullah S.A.W. dan generasi awal umat Islam yang berdakwah berjaya  menarik sehingga satu bangsa dan kaum semuanya menganut Islam dalam masa yang cepat. Mengapa kita di zaman kini sangat payah untuk menarik seorang sahaja supaya masuk Islam. Mereka yang masuk Islam di masa damai di zaman awal pula lebih besar jumlahnya.

Perbandingan juga perlu difahami, mengapa berperang jihad Rasulullah S.A.W. dan generasi awal berjaya menjatuhkan kuasa besar dunia Parsi dan Rom, walau pun bala tentera Islam terlalu kecil jumlahnya dan musuh pula berlipat ganda jumlahnya dengan senjata yang berlipat ganda kecanggihannya. Tentera Islam disambut oleh penduduk menjadi penyelamat daripada kezaliman, bukannya sebagai penjajah. Selepasnya rakyat menerima agama Islam tanpa paksaan, sehingga masih ada penganut bukan Islam, gereja, biara dan kuil lama sehingga zaman kini di tengah masyarakat Islam.

Di zaman Khalifah Umar bin Al Khattab, apabila Maharaja Parsi (Kisra Yazdajur) yang berundur di perbatasan timur Parsi menulis surat kepada Maharaja China meminta bantuan bagi menyelamatkan takhtanya dan memberi amaran bahawa China juga berdepan dengan bahaya Islam. Maharaja China yang terlebih dahulu bertanyakan utusan Parsi: “Sifat dan cara orang Islam setelah menawan Parsi”. Apabila disebut segala-galanya, Maharaja China membalas bahawa kemaraan Islam dan penganutnya yang  begitu sifatnya tidak boleh dihalang kerana rakyat menerimanya, lalu China mengadakan hubungan damai dengan semua kerajaan Islam dalam sejarahnya.

Bandingkan mengapa amalan jihad secara damai dan perang di zaman awal menjadikan Islam digeruni kerana rahmat dan adilnya, bahkan kedatangan bala tentera bersenjata disambut rakyat menjadi penyelamat bukannya penjajah. Adapun jihad terkini yang diisytiharkan oleh kalangan yang betapa tinggi semangat jihadnya digambarkan dengan wajah yang buruk terhadap Islam oleh kawan dan lebih lagi lawan. Adakah kerana semangat tanpa feqah yang boleh ditembusi oleh bisikan syaitan yang merosakkan amal dan orang yang beramal. Kalau syaitan boleh masuk ke dalam hati dan saf mereka yang sedang solat berjamaah, maka syaitan lebih mudah masuk ke dalam saf mareka yang berjihad tanpa feqahnya.

Contoh yang nyata kepada wajah umat Islam terkini ialah apabila mereka melontar jumrah di musim haji. Umat Islam dahulu melontar mengikut sunnah dengan feqah hajinya, menggunakan batu sebesar hujung jari dengan semangat  melontar syaitan. Kini ada jamaah haji yang melontar kawan sendiri dengan batu besar dan kasut kerana hajinya tidak ada feqah. Maka kalau berjihad tanpa mendalami feqahnya menerima padah amaran Rasulullah S.A.W. yang membunuh dan dibunuh kedua-duanya masuk neraka, bukannya mati syahid.

Percayalah bahawa jihad tetap wajib sehingga hari kiamat, berilmu adalah wajib disertakan dengan feqahnya  bagi mensahihkan amal yang wajib. Benarlah bahawa syaitan lebih mudah menggoda seratus orang lebai yang jahil daripada seorang yang berilmu. Paling bodoh ialah orang merasakan dirinya sudah cukup berilmu segala-galanya.  

PRESIDEN PAS  
14 Julai 2014

0 comments:

TABUNG KEMANUSIAAN ANTARABANGSA

Photo: Setiap sumbangan amat dialu-alukan.



0 comments:

Ramadhan dan Gaza; Bulan Kemenangan Islam Dalam Peperangan


Allah SWT berfirman dalam Surah Al Hasyr Ayat 14,

لَا يُقَاتِلُونَكُمْ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرًى مُحَصَّنَةٍ أَوْ مِنْ وَرَاءِ جُدُرٍ ۚ بَأْسُهُمْ بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ ۚ تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ

(Orang-orang Yahudi dan orang-orang munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya): permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka)


1. Bulan Ramadhan adalah bulan kekuatan ummat Islam. Walaupun dalam bulan ini tubuh badan dan jasmani menjadi lemah dek kerana kekurangan makan dan minum, namun jiwa dan rohani mereka yang ditarbiyyah oleh Allah swt melalui ibadah menjadikan mereka gagah dan tabah.

2. Sejak semalam, Gaza sekali lagi diserang secara ganas dan bertubi-tubi membabi buta oleh Rejim Zionis Israel Laknatullah dan mangsa kekejaman ini tanpa mengira kanak-kanak dan warga tua lelaki dan wanita.

3. Sehingga hari ini, jumlah syuhada' penduduk Gaza 25 orang dan yang tercedera seramai 122 orang. Seolah-olah Gaza yang keluasannya seumpama bandar Klang dijadikan bahan dan tempat ujikaji peluru dan roket ciptaan Israel dan Amerika.

4. Yahudi laknatullah juga menyangka bahawa bulan Puasa Ramadhan adalah bulan ummat Islam dalam keadaan lemah iaitu "the weekest point". Oleh itu, serangan Yahudi terhadap penduduk Gaza dilakukan dalam bulan Ramadhan ini kononnya bahawa ummat Islam lemah dan tidak bersedia, ketahuilah sangkaan mereka amatlah meleset.

5. Ummat Islam khasnya pejuang Islam Gaza dan Hamas, bulan Ramadhan inilah yang ditunggu-tunggu kiranya berlakunya pertempuran. Ini kerana bulan ini adalah bulan kemenangan Islam dan bulan kekuatan ummat Islam, bulan memperlihatkan bantuan dan pertolongan Allah swt kepada hambaNya yang dizalimi dan hambaNya yang sedang menginfaqkan jiwa raga dan harta mereka untukNya.

6. Ayat 14 surah Al Hasyr, Allah menceritakan sifat جبان penakut musuh-musuh Islam seperti golongan Yahudi Bani Nadhir dan penyokong sekutu mereka dari kalangan Munafikin pimpinan Abdullah ibn Ubai apabila berhadapan dengan pejuang dan tentera Islam.

7. Musuh-musuh Islam tidak mampu berdepan secara bersemuka dalam pertempuran dengan pejuang Islam. Mereka akan berselindung di sebalik perisai dan tembok yang dibuat oleh mereka ketika mereka menyerang tentera Islam.

8. Punca sifat penakut dan pengecut mereka ini adalah datang dari dalam jiwa musuh-musuh Islam yang begitu lemah. Ianya disebut sendiri oleh Allah swt yang  bersifat عالم بذات الصدور iaitu yang Maha Mengetahui dalam sanubari manusia.

9. Iaitu mereka memiliki keburukan dan sifat bermusuhan antara satu sama lain yang amat teruk, firmanNya, ۚ بَأْسُهُمْ بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ ۚ. Sifat inilah sebenarnya yang melemahkan jiwa musuh-musuh Islam di kalangan Yahudi dan Munafiqin.

10. Sebagaimana FirmaNya dalam Surah Al Ana'am

قُلْ هُوَ الْقَادِرُ عَلَىٰ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عَذَابًا مِنْ فَوْقِكُمْ أَوْ مِنْ تَحْتِ أَرْجُلِكُمْ أَوْ يَلْبِسَكُمْ شِيَعًا وَيُذِيقَ بَعْضَكُمْ بَأْسَ بَعْضٍ ۗ انْظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الْآيَاتِ لَعَلَّهُمْ يَفْقَهُونَ

Katakanlah: "Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah - berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain". Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang 
menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.

11. Disebabkan penyakit jiwa penakut dan pengecut serta permusuhan yang dahsyat dalam jiwa musuh-musuh Islam itu adalah sebenarnya didatangkan oleh Allah swt sendiri keatas mereka sebagai pertolongan dan bantuan Allah swt kepada para hambaNya dan pejuangNya.

12. Sekalipun kita melihat musuh-musuh Islam ini gagah dan bersatu tetapi sebenarnya keadaan mereka retak menunggu belah. FirmanNya, 

تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّىٰ


"... engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka)..."

13. Ini kerana matlamat musuh-musuh Islam ini sebenarnya dalam memerangi ummat Islam berbeza-beza pendirian dan hala tuju. Ada diantara mereka yang inginkan pangkat dunia, ada yang kerana bangsa, ada yang kerana inginkan kekayaan dan harta, ada yang kerana benci dan dengki tak tentu pasal dan bermacam-macam niat dan matlamat. Itulah punca kelemahan mereka.

14. Adapun pejuang Islam dan tentera Allah swt hanya memiliki satu matlamat sahaja iaitu Mati Di Jalan Allah swt. Dengan sifat hati yang jelas dan halatuju yang satu inilah membuatkan jiwa ummat Islam menjadi kental dan tabah sekalipun diserang dan dihentam dengan sekuatnya oleh musuh-musuh Islam. Kemenangan yang didambakan oleh pejuang Allah swt yang sebenarnya ialah kemenangan Akhirat dan syurga dipenuhi bidadari dan perhiasan syurga dan nikmatnya.

15. Lihatlah Ramadhan inilah telah tercatat dalam sejarah siri-siri kemenangan dalam peperangan yang hebat dalam sejarah Tamadun Dunia.

A. 17 Ramadhan 2H
Perang Badar Al-Kubra
Allah SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrik. Kemenangan lebih kurang 300 orang  tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini yang telah megalahkan lebih kurang 1000 orang tentera musyrikin Mekah.

B. Ramadhan 5H
Persiapan Perang Khandaq
Persiapan dilakukan dengan mengali parit (khandaq) sekeliling kota Madinah. Tipu muslihat ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab. Ia diusulkan oleh Salman Al-Farisy.

C. 20 Ramadhan 8H
Futuhul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) dan Penghancuran Berhala
Rasulullah mengutuskan Khalid al-Walid untuk menghancurkan berhala Uzza, Amr bin Ash merobohkan Suwa’, dan Saad bin Zaid Al-Asyhaly menumbangkan Manat.

D. Ramadhan 9H
Perang Tabuk

E. Ramadhan 10H

F. Ramadhan 53H
Kemenangan tentera Islam di Rhodesia.

G. Ramadhan 92H
Islam telah tersebar dan membuka kawasan- kawasan baru sehingga ke Afrika Utara, Iran, Afghanistan, Yemen dan Syria. Spanyol di bawah kekuasaan Raja Rhoderic of the Visigoths. Musa ibn Husair,  Wali Khilafah Ummayyah di Utara Afrika, bersama-sama dengan Paglima tentera Islam, Tariq Ziyad yang megetuai 12 000 tentera Islam berdepan dengan tentera kuffar seramai 90 000 yang diketuai sendiri oleh Raja Rhoderic. Pasukan tentera ini bukan sahaja telah mengalahkan tentera-tentera kuffar pimpinan Raja Rhoderic, malah telah mampu membebaskan keseluruhan Sepanyol, Sicily dan sebahagian Perancis. Di sini, bermulanya zaman keemasan Islam di Andalus, dengan Islam menguasainya selama 700 tahun.

H. Ramadhan 584H
Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib.

I. Ramadhan 658H
Semasa kemasukan tentera tartar di Baghdad, yang merupakan pusat pemerintahan Islam pada masa tersebut, tentera Tartar telah membunuh 1.8 juta kaum Muslimin.
Saifudin Qutuz, pemerintah Mesir ketika itu dengan mengumpulkan semula kekuatan kaum muslimin untuk meghancurkan tentera Tartar dan bertembung dengan mereka pada Jumaat, 25 Ramadhan 658H di Ain Jalut.

16. Senjata dan bilangan ketenteraan bukanlah faktor utama kemenangan dalam peperangan, yang sebenarnya ialah kekuatan pergantungan dan ikatan kepada Allah swt itulah punca dan kekuatan yang hakiki. Allah swt maha berkuasa atas segala sesuatu sekalipun diluar batas akal manusia memikirnya. Walaupun tidak dinafikan bahawa kelengkapan manusiawi dan duniawi penting dalam pertempuran tetapi bukan itulah tempat bergantung hati-hati manusia, tempat bergantungnya hati manusia adalah wajib hanyasanya kepada Allah azzawajalla.

17. Inilah yang dinyatakan oleh Allah swt dalam ayat diatas,

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ

"... Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka)..."

18. Diantara sumber kekuatan dalam diberikan oleh Allah swt kepada orang yang beriman ialah "Kekuatan Doa" yang diberi gelaran "Senjata Orang Beriman".
Hatta dalam peperangan Badar pun Abu Jahal berdoa kepada Tuhannya, inikan pula kita orang beriman. Doa adalah sumber kekuatan mereka yang beriman dan doa mereka dipanjangkan hanya kepada Allah swt, Tuhan yang satu, dan tiada tuhan yang disembah melainkan Dia. Dialah tempat kami bergantung dan berharap.

"...لا إله الا انت برحمتك نستغيث..."


19. Bermula malam ke 11 di Masjid Haram Makkah, Imam tarawih telah membacakan doa Qunut Nazilah kepada seluruh ummat Islam di seluruh dunia. Disebut dalam doanya ummat Islam Burma (Myanmar), Palestin dan Syria. Pada kebiasaannya doa qunut dibaca pada witir hari ke 15 dan ke atas tetapi ia telah dibaca dan didoakan sejak semalam
.
20. Mudah-mudahan doa kita semua diberkati Allah dan dimaqbulkan oleh Allah swt serta memberi kemenangan kepada pejuang-pejuang Islam serata dunia dan sepanjang zaman.

آمين يا رب العالمين

Disediakan oleh
:
Al Faqir Ilallahi
Ustaz Muhd Najhan Halim
Setiausaha
LAJNAH PENERANGAN
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
EXCO GENG USTAZ

9 Julai 2014 bersamaan 11 Ramadhan 1435h.
Masjidil Haram
MAKKAH AL MUKARRAMAH

0 comments: