![Photo: [Live Now]
Nadwah Pemerkasaan Du'at (NEKAD)
Dengarkan melalui:
1) www.hijau.fm
2) Aplikasi android Hijau.FM
3) Aplikasi Tune In: http://tun.in/se8fb](https://fbcdn-sphotos-g-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xpa1/v/t1.0-9/10672205_937540616262683_4215945421938766426_n.jpg?oh=7d720aaf0fcf27d04d8545dd4de728b1&oe=545D6B10&__gda__=1416993192_6627a906c5257371d85b320b9f4a16a5)
Oleh : Nasrudin Hassan at-Tantawi
لله الحمد رب السماوات و الأرض رب العالمين رب الذي يقول : قل هذه سبيلي أدعو إلى الله على بصيرة أنا و من اتبعني و سبحان الله و ما أنا من المشركين [1] و الصلاة و السلام على محمد المبعوث هدى و رحمة للعالمين و على آله و صحبه و من سار على دربه و تمسك بسنته إلى يوم الدين .
Premis 1 :
Istilah “Perang Siber” di dalam kertas kerja ini tidak dirujuk kepada makna Cyber Warfare yang melibatkan pembabitan dan tindakan oleh sesebuah negara-bangsa atau organisasi antarabangsa untuk menyerang atau cubaan untuk memusnahkan jaringan komputer dan maklumat negara lain melalui virus komputer atau serangan denial-of-service. Di abad ke-21 ini, berbanding menggunakan peluru dan bom, pertempuran dalam konfrontasi ini adalah menggunakan bits dan bytes. Persenjataan digital (digital weaponary) ini telah memberi kesan yang sangat besar kepada dunia sebenar.
Premis 2 :
Istilah “Perang Siber” di dalam kertas kerja ini dirujuk kepada fonomena perkembangan pesat penggunaan media baru sebagai medium for sharing information. Media baru yang dimaksudkan mencakup kemunculan digital, komputer, atau jaringan teknologi informasi dan komunikasi di akhir abad ke-20. Sebahagian besar teknologi yang digambarkan sebagai ‘media baru’ adalah digital, seringkali memiliki ciri-ciri yang dapat dimanipulasi, bersifat jaringan, padat, mampat, interaktif dan tidak memihak. Beberapa contoh adalah seperti internet, website, blog, facebook, komputer, multimedia, permainan komputer, CD-ROMS, dan DVD. Media baru bukanlah television, filem, majalah, buku atau publikasi berasaskan kertas.
Premis 3 :
Kajian telah mendedahkan bahawa kini terdapat lebih 500 juta pengguna facebook dan 100 juta pengguna twitter di seluruh dunia. Di Malaysia sahaja, direkodkan terdapat 12 juta pengguna facebook. Menurut Prof. Dr. Abu Hassan Hasbullah, secara keseluruhannya, 92% rakyat Malaysia menggunakan media baru dan lebih meyakininya berbanding media arus perdana dalam memperoleh atau mengesahkan sesuatu maklumat dan berita.
Premis 4 :
Du’at atau para pendakwah pula ialah individu yang bertanggungjawab menyampaikan dan menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat. Terpapar pada dirinya nilai-nilai istiqamah, kezuhudan, keteguhan berpegang dengan petunjuk al-Quran dan as-Sunnah serta kecerdasan akal dan kebijaksanaan dalam tindakan berdakwah. Kehidupannya menjadi contoh dan teladan yang baik kepada orang lain. Selain itu, dia menggabungkan diri dengan gerakan Islam kerana memahami akan tuntutannya dan menyedari akan keberkesanannya. Gerakan Islam yang dimaksudkan adalah amal Islami berterusan yang bersifat massa (baca : merakyat), berkumpulan dan tersusun demi mengembalikan hak agama Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh kehidupan.
أدع إلى سبيل ربك بالحكمة و الموعظة الحسنة و جادلهم بالتي هي أحسن إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله و هو أعلم بالمهتدين
Serulah ( dakwahlah ) kepada jalan tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik dan berdebatlah dengan baik ( mencari kebenaran ). Sesungguhnya tuhanmu , Dialah yang Maha Mengetahui siapa yang menyeleweng ( sesat ) dari jalanNya dan Dialah yang Maha Mengetahui siapa mendapat petunjuk .
Surah an Nahl . Ayat : 125
MUQADDIMAH
Ad Daei ILallah.
Ad Dae’I Ilallah adalah sebuah institusi penting buat ummah . Berfungsi untuk memberi pedoman dan menunjuk jalan ke arah mardhatillah . Menyambung risalah an nubuwwah dalam memimpin , membimbing dan menyelamatkan ummah dari kegelapan jahiliyyah kuno atau moden .
¥ Sementelah dilihat dewasa kini , ummah sedang berhadapan dengan ancaman berbisa dari musuh – musuhnya yang memangsakan aqidah , fikrah dan syakhsiyyah tanpa simpati . Lebih malang apabila sebahagian besar dari mereka terperangkap dalam kejahilan yang tebal dan kelalaian yang melampau .
¥ Dunia dan ummah memerlukan dae’i ( pendakwah ) yang ikhlas dan gigih meredah segala rintangan , malah membelah segala halangan demi menyelamatkan mereka agar tidak musnah dan binasa lantaran pengaruh nafsu yang menguasai dan kejahilan yang melingkari .
¥ Kehadhiran dae’i bukan sebagai badan sukarela atau kebajikan yang melaksanakan tugas secara volunteer tetapi ia adalah suatu yang bersifat ijbaari ( wajib laksana ) justeru ia adalah perintah Allah swt ke atas setiap individu muslim .
Alam Siber
Media baru sangat berpengaruh dalam mencorak pemikiran dan pergerakan manusia moden hari ini. Hakikatnya, seluruh dunia begitu terkesan dengan peranan media baru terutama di dalam menggerakkan golongan middle class untuk merobohkan tembok penguasaan kelas atasan atau pemerintah di dalam menentukan politik dan hala tuju sesebuah negara. Ia juga telah menamatkan dominasi media cetak dan media elektronik arus perdana sebagai alat penyebaran legitimating ideology (ideologi pengabsahan) sesebuah kerajaan.
Kewujudan dan perkembangan media baru mutakhir ini telah membuka peluang kepada dissenting voices (suara pembantahan) dalam masyarakat untuk mengkedepankan sisi pandang alternatif bagi menandingi sesebuah kepercayaan yang lain. Idea-idea alternatif mengenai hubungan kaum, pembinaan negara, Islam dan demokrasi banyak didapati di laman-laman web dan portal berita internet dan disebarkan secara meluas dan cepat melalui medium seperti facebook, twitter dan whatsapp. Fakta - mungkin juga ”fitnah” - dipersembahkan di dunia siber untuk menyokong sudut-sudut pandangan yang saling berbeza atau berlawanan antara satu sama lain.
Islam telah meletak sikap terhadap semua bahan yang dipersembahkan kepada masyarakat, bagaimana ia harus ditangani.
Sabda Rasulullah saw :
مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيءٌ وَ مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَ وِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيءٌ
Barangsiapa yang “ menunjuk jalan ” didalam Islam dengan kebaikan maka baginya pahalanya ( sendiri ) dan pahala orang yang beramal dengan kebaikan itu selepasnya tanpa mengurangkan pahala mereka sedikitpun dan barang siapa yang “ menunjuk jalan ” didalam Islam dengan kejahatan , ia menanggung dosanya ( sendiri ) dan dosa orang yang beramal dengan kejahatan itu selepasnya tanpa mengurangkan dosa mereka sedikitpun .
فأخرجه مسلم من رواية عبد الرحمن بن هلال عن جرير بن عبد الله البجلي
Sebagaimana media baru telah menjadi senjata ampuh yang mencabar dan mengancam kerajaan dan anti-establishment, ia juga turut mengundang isu yang sama terhadap gerakan Islam yang berada di tengah-tengah medan pertarungan merebut teraju kepimpinan manusia.
Kertas ini ditulis secara sepintas untuk melihat bagaimanakah peranan dan cabaran media baru terhadap para du’at dan langkah-langkah yang perlu diambil demi memastikan media baru bertindak sebagai senjata yang menghunus untuk mereka, bukan ke atas mereka.
CABARAN MEDIA BARU
Berikut adalah beberapa cabaran yang bersifat ancaman yang akan memberikan kesan buruk dan negatif terhadap misi dan momentum gerakan dakwah di persada masyarakat. Ia juga turut memalit pandangan negatif terhadap para du’at :
1. Lahirnya kelompok muslim yang merajakan kefahaman liberal dan kebebasan hidup mengikut perspektif barat. Ia adalah kesan daripada sekurang-kurangnya dua faktor :
1.2. Rasa bosan dan ingin bebas daripada budaya politik mengongkong pemerintah.
1.3. Rasa kagum dan terima kasih terhadap dunia barat yang mempromosikan hak dan kebebasan hidup melalui media baru.
2. Lahirnya kelompok Muslim yang secara bebas, terbuka dan tidak terkawal di dalam mengkritik, bahkan mempersendakan perkara-perkara pokok dan suci di dalam agama. Fenomena kotor ini begitu mempengaruhi tahap sensitiviti umat Islam yang semakin rendah, terutama di kalangan golongan muda dan pertengahan yang begitu terpengaruh dengan budaya baru canangan media baru tersebut.
3. Menambahkan kekeliruan masyarakat non-Muslim terhadap agama Islam dan para pejuangnya, terutama pengenalan mereka terhadap agama Islam yang disalah ertikan. Ini juga disebabkan oleh dua faktor utama;
3.1. Mereka lebih rapat kepada Muslim berfahaman liberal yang salah.
3.2. Mereka lebih terdedah kepada maklumat mengenai Islam daripada sumber yang salah.
4. Hilangnya populariti terhadap media baru dan alternatif Islam disebabkan paparan dan hasilan ‘kurang menyengat’ oleh pengamal media baru muslim. Fenomena ini begitu dilihat apabila portal berita faham liberal jauh mendahului saingannya dari portal berita bersifat Islamik.
5. Pattern ‘sentiasa terkebelakang’ atau tidak up-to-date yang sinonim dengan umat Islam pastinya menambah burukkan lagi persepsi massa terhadap keupayaan Islam untuk memimpin.
6. Hilangnya minat, pengaruh dan sokongan golongan muda terhadap gerakan dakwah dan programnya disebabkan minat mendalam mereka terhadap media baru yang begitu dikuasai kumpulan bukan Islamik. Ini dapat dikesan melalui kurangnya populariti ikon dan qudwah islami di mata golongan muda hari ini.
7. Budaya akhlak yang agak liar dan buruk yang mewarnai amalan interaksi di dalam media baru akibat pengaruh budaya kebebasan bersuara acuan barat melaluinya. Budaya tidak berakhlak mulia ini akhirnya telah menimbulkan polemik, caci maki dan fitnah yang boleh memporak perandakan institusi pemikiran masyarakat Islam.
8. Kebocoran maklumat dan kerahsiaan dalaman gerakan dakwah yang begitu mudah, cepat dan meluas. Walaupun fenomena ini melampaui tidak hanya ke atas gerakan Islam sahaja, bahkan kepada seluruh pertubuhan dan kerajaan (contohnya fenomena Wikileaks), tetapi ia telah memberi kesan yang besar kepada keutuhan gerakan dakwah yang mementingkan etika dan adab kerahsiaan dalam jamaah.
9. Kegagalan para du’at kumpulan dakwah untuk mengelak diri atau mengawal diri daripada mendedahkan perselisihan antara satu sama lain melalui media baru, samada ia bersifat perselisihan individu di dalam kumpulan sama ataupun di antara kumpulan yang berlainan. Jika sebelum ini perselisihan dalaman hanya pecah di dalam dan mudah diuruskan, tetapi kini ia dilihat agak sukar akibat ‘kegatalan’ pengamal media baru untuk sentiasa mendahului di dalam penyampaian berita dan maklumat sensasi.
Cabaran-cabaran yang bersifat ancaman dari media baru sebagaimana di atas menunjukkan betapa besarnya peranan media baru dan hubungannya di dalam memastikan momentum gerakan dakwah dan jaringan pendakwah dalam menguasai massa dan seterusnya mencapai misi menerajui kepimpinan negara.
Justeru, adalah menjadi tuntutan yang begitu mendesak ke atas gerakan dakwah dan para du’at untuk menutupi segala kekurangan dan kelemahan yang dikesan akibat kelahiran media baru, seterusnya menjadikannya pula sebagai senjata ampuh bagi gerakan Islam di dalam meraih pengaruh dan sokongan masyarakat terhadap mereka.
GERAKAN DAKWAH DAN PERANAN MEDIA BARU
Berikut adalah beberapa cadangan yang menjadi cabaran positif untuk gerakan Islam yang perlu dinilai, seterusnya dilaksanakan demi memanfaatkan kemudahan teknologi media baru demi kebaikan dan kekuatan gerakan dakwah.
1. Melahirkan atau memanfaatkan tenaga mahir daripada kalangan aktivis dakwah atau para du’at yang berupaya mengurus dan mencipta sesuatu melalui media baru yang mampu menarik masyarakat untuk mendekati dan memahami Islam, seterusnya mendapat sokongan mereka.
2. Mewujudkan beberapa tapak di laman sesawang yang sempurna dan menarik untuk kunjungan ramai para pengguna media baru, terutama generasi muda di dalam mendapatkan maklumat tepat, terkini, alternatif, interaktif dan menarik. Ini pastinya menuntut komitmen dan sumber kewangan yang besar, tetapi itu sepatutnya tidak boleh menjadi halangan yang besar kepada sebuah gerakan yang masih ketinggalan di dalam bidang penting ini dan mempunyai matlamat yang besar untuk mendaulatkan Islam.
3. Mengendalikan facebook atau twitter bersifat portal berita yang sentiasa dikemaskini dengan maklumat-maklumat menarik dalam genre dipelbagaikan. Juga, kempen-kempen yang berterusan untuk menarik jumlah ‘fans’ yang mencecah ratusan ribu. [ Lajnah Dakwah setiap negeri mesti mewujudkan Laman Web Dakwah Negeri masing - masing ]
4. Sentiasa mampu menyediakan jawaban yang segera daripada sudut pandang Islam terhadap segala isu msyarakat dan negara yang sentiasa dinantikan. Maka media baru akan menjadi instrument dakwah yang cukup berkesan.
5. Tenaga du’at sepenuh masa yang khusus untuk menumpukan sepenuh masanya untuk mengendalikan projek media baru. [ Lajnah Dakwah Negeri mesti menyediakan Squad Admin bagi memantau dan menjawab segala isu berbangkit di laman web tersebut secara interaktif ]
6. Menyebarkan maklumat program dan aktiviti lapangan dakwah secara berterusan dan menarik. Diantara aktiviti yang perlu ditonjolkan adalah yang bersifat Dakwah Kontemporary, kebajikan dan hiburan Islam, selain aktiviti dan pendirian politik Islam. Perhatian lebih harus diberikan agar :
6.1. Du’at sentiasa menonjolkan akhlak Islam yang konsisten di dalam penyebaran maklumat dengan menjauhi penyebaran fitnah, penghinaan terhadap individu, humor melampau dan sebagainya.
6.2. Du’at sentiasa menyebarkan akhlak Islam dan berpesan agar pengguna media baru terdidik dengan budaya Islam yang mementingkan akhlak yang cemerlang.
Dengan melaksanakan tuntutan di atas ke arah penggunaan media baru secara berkesan oleh para pendakwah, segala ancaman dan serangan ke atas Islam akan dapat diatasi dengan lebih baik dan terkawal. Ia menjadi cabaran besar ke atas aktivis gerakan Islam untuk menyempurnakan kewajiban tersebut yang menuntut pengorbanan harta, tenaga dan pemikiran.
PESANAN UNTUK DU’AT
Para du’at harus memberikan perhatian dan keprihatinan tertinggi kepada beberapa aspek berikut dalam mendepani cabaran media baru sebagai medium for sharing information yang semakin pesat menarik minat penggunan pelbagai kategori pada hari ini agar dakwah yang terpasar dalam lapangan gergasi dunia maya benar-benar dapat memberi manfaat kepada pembaca dan menarik minat masyarakat kepada Islam.
1. Berlapang dada untuk membuat pembetulan dan perubahan ke atas pandangan yang telah dikemukakan sekiranya kemudiannya didapati pandangan itu bersalahan dengan perkara yang sebenar. Jika perlu, permohonan maaf perlu disampaikan atas kesilapan yang telah dilakukan.
2. Mengambil sesuatu maklumat itu dari sumber yang sahih bagi mengelakkan kepalsuan tersebar. Lebih baik jika maklumat yang disebarkan itu disertakan bersekali dengan sumber yang dirujuk bagi memudahkan orang lain menyemak semula apa yang telah disebarkan.
3. Membuat proses tarjih dan tashih terlebih dahulu sebelum sesuatu maklumat itu disebarkan bagi memastikan maklumat yang tersebar itu adalah benar dan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Surah Al Hujurat : Ayat 6
4. Maklumat yang disebarkan itu mestilah sesuai laras bahasa dan kandungannya dengan penerimaan golongan sasaran supaya mereka tidak terbeban dengan suatu hal yang tidak mampu mereka fahami dengan baik dan bagi mengelakkan fitnah terhadap Islam itu sendiri.
PENUTUP
Peranan besar media baru di dalam mencorak pemikiran masyarakat haruslah dilihat secara positif oleh gerakan dakwah. Kita terpaksa mendepani kemajuan sains dan teknologi maklumat secara lebih berani dan bersedia. Di hujungnya, kita berharap untuk melihat media baru akan menjadi senjata utama memartabatkan perjuangan gerakan dakwah untuk mengembalikan hak Islam sebagai agama rasmi dari langit untuk menyusun kehidupan manusia, khalifah Allah di bumi ini.
Faktor penting dalam dunia siber hari ini ialah kepantasan maklumat merentasi masa berbanding zaman silam. Penghantaran maklumat tempoh lalu menggunakan perutusan berkuda, postmen, surat, telegram, pekeliling, pesanan dan sebagainya yang memakan masa terlalu lama untuk sampai kepada sasaran.
Peredaran masa masa seiring perkembangan teknologi pada hari ini menjadikan kita orang beriman mengalami kerugian jika gagal menghambat masa yang pantas bergerak dengan kegagalam menguasai teknologi untuk menyemarakkan Iman dan menyebarkan kebenaran.
Firman Allah swt :
وَالْعَصْرِ
إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian melainkan orang yang beriman, beramal soleh, berpesan - pesan dengan kebenaran dan berpwsan - pesan dengan kesabaran.
Surah Al Asr : Ayat 1 - 3
Wallahua’lam.
0 comments: