ISU ISIL - PEMUDA PAS TAWAR KHIDMAT PENERANGAN



Kemunculan sebuah kumpulan radikal agama, Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL) atau ISIS adalah suatu ancaman besar terhadap Islam. Bahayanya ISIL lebih besar daripada ancaman pihak musuh Islam yang lain kerana ISIL bergerak dalam lapangan masyarakat di Iraq bertopengkan Islam, seolah-olah tindakan mereka selari dengan tuntutan dan syariat Islam.  Pemuda PAS Malaysia (PPM) menganggap kemunculan ISIL sama seperti kemunculan kumpulan-kumpulan ekstrim yang bertindak secara membabi buta tanpa pengetahuan mendalam terhadap Islam.




Apa yang dibimbangkan adalah di sebalik pergerakan ISIL tersembunyi agenda zionis Israel atau Amerika Syarikat. Mereka menjadikan ISIL sebagai perisai bagi mengucar kacirkan pertahanan Islam, umat Islam berpecah dan berperang sesama sendiri di samping memberi gambaran buruk terhadap pejuang Islam.


PAS menolak ISIL serta kaedah yang digunakan dalam jihadnya. Islam  menganjurkan perdamaian dan bukan  permusuhan. Islam mengutamakan permaafan daripada hukuman. Islam mendahului adab dan toleransi termasuk dalam peperangan berbanding sikap membabi buta.


PPM merasa bimbang dengan penglibatan rakyat Malaysia dengan ISIL. Antara strategi mereka adalah merekrut anak-anak muda terutama mereka yang jahil agama untuk menyertai mereka. Dengan umpan jihad dan ganjaran syahid serta syurga, segelintir rakyat Malaysia menyertai ISIL tanpa asas agama yang kukuh.


Di samping memberi tafsiran yang negatif kepada umat Islam dan perjuangan Islam apatah lagi dengan racun islamiphobia yang wujud pasca tragedi 9/11 yang masih berlegar di kalangan masyarakat.


Menyedari bahaya ancaman ISIL dan penglibatan rakyat Malaysia dalam kumpulan ini, Pemuda PAS menawarkan kepada agensi kerajaan, NGO dan masyarakat awam bantuan untuk memberi kesedaran dan maklumat lengkap mengenai ISIL kepada anak-anak muda di negara ini. Dengan sumber tenaga terdiri daripada pemuda PAS yang berlatarbelakangkan pendidikan agama, memiliki profesion yang pelbagai, PPM yakin maklumat berguna dapat disampaikan kepada masyarakat. Selain itu, PPM sedia menggunakan pengaruh dalam masyarakat dalam mendidik anak-anak muda asas ajaran Islam yang sebenar, serta mengelakkan diri dari terlibat dengan mana-mana kumpulan ekstrim atau sesat.


SUHAIZAN KAIAT

Ketua Pemuda PAS Malaysia

(15 Oktober 2014)

0 comments: