Kenapa Kita Menentang Kenaikan Minyak??


Siri 1

Oleh: Zaharudin Muhammad. 



Sebagai seorang muslim yang beriman dengan kebaikan Sistem Ekonomi Islam, saya meyakini sistemnya adalah terbaik kerana ia datang daripada Allah pencipta manusia dan alam ini, termasuk petrol itu sendiri. 

Di dalam sistem ekonomi Islam, antara target atau sasaran di dalam ekonominya ialah untuk meminimumkan kos perjalanan, atau tidak melampau jika saya sebut untuk mengsifarkannya. Dasar ekonomi ini jelas daripada surah Saba' serta pemahaman daripada sistem pengagihan dan perlaksanaannya di zaman pemerintahan Islam. 


Di dalam surah Saba', Al-Quran menceritakan zaman kegemilangan sebuah empayar Islam yang dikenali sebagai Saba'. Empayar yang melalui zaman kegemilangan sekitar 800 tahun, dipuji oleh Al-Quran sebagai negara yang baik dan mendapat pengampunan Allah SWT. Apa yang menarik, kemajuan negara Saba' di kaitkan oleh Al-Quran dengan perjalanan yang dekat antara Saba' (Yaman) dan Syam (Palestin) manakala pada zaman kehancuran, dikaitkan doa golongan pemonopoli dikalangan pembesar Saba' supaya dinaikkan kos perjalanan, sehingga jarak yang dekat dirasakan jauh. Allah berfirman menukilkan semula doa pemonopoli di kalangan pembesar Saba': "(Maka kamakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: "Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain)", dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri". - (Saba': 19). 


Dekat dan jauh dalam kisah Al-Quran ini, bukan disebabkan jarak kilometernya, tetapi merujuk kepada kos perjalanan serta kadar keselamatan di sepanjang perjalanan. Cuba kita bayangkan, Alor Star yang jaraknya 400km dirasakan dekat jika hanya memakan kos RM50 pergi dan balik, memakan masa hanya 3 jam dengan kereta yang selesa dan perjalanan yang menghiburkan. Walaupun jarak yang sama, tetapi kita akan rasa Alor Star sangat jauh jika kos perjalanan memakan RM500 pergi balik dan perjalanan memakan masa 12 jam justeru jalan tidak elok atau kereta buruk akibat cukai kereta yang sangat tinggi. Sekalipun jarak kilometernya sama, tetapi kita akan rasa Alor Star sangat jauh jika kos dan cara musafir yang jelek berbeza dengan kos yang rendah serta cara musafir yang menghiburkan. 


Dalam kontek moden, apabila matlamat kerajaan mengsifarkan kos perjalanan, maka cukai kereta serta pembuatan lebuhraya serta subsidi minyak menjaddi kunci utama kepada pengurusan kerajaan Islam. Jika dasar cukai import diubahsuai mengikut cara Islam, nescaya BMW 7 series yang saya gunakan, tak sampai RM30,000. Kepakaran individu yang ramai saya kenali pada hari ini tetapi tidak diikitiraf oleh sistem pentadbiran kerajaan, nescaya dapat dibangunkan untuk membuat kereta Handmade (buatan tangan). Kereta yang selesa diperolehi dengan harga mampu, kos perjalanan yang rendah akan dapat dicapai dengan dasar ekonomi Islam, maka ia akan membawa kemajuan yang saya akan coretkan dalam siri ke 2, insyaallah. Jika ini dapat dibangunkan, Malaysia boleh menjadi pengeksport kereta terpakai ke negara-negara lain, bukan menjadi pengimport kereta terpakai (recond) sebagaimana hari ini. Nescaya rakyat Malaysia dapat menggunapakai kereta yang selesa dan 'power' serta cantik dengan sistem Islam dan ini menjadi idaman dan matlamat saya sebagai ahli politik Islam. Kesannya, rakyat akan merasakan jarak yang jauh dirasakan dekat, tambahan pula dengan kos minyak yang murah. Ini idaman semua rakyat Malaysia. 


Berbalik kepada kisah Sabah, di zaman berkat dan makmur mereka, seorang perempuan boleh bermusafir seorang diri sekalipun pada waktu malam untuk jarak ribuan kilometer. Allah berfirman kepada mereka, "Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman" - (Saba':18). Di zaman berkat dan makmur ini juga, seorang miskin boleh bermusafir dari Saba' ke Syam tanpa perlukan kos yang tinggi kerana di sepanjang jalan terdapat tempat rehat percuma dan makan minum percuma untuk pemusafir. 


Selama 800 tahun Saba' berada dalam keadaan berkat dan aman, seorang perempuan boleh bermusafir seorang diri tanpa gangguan sekalipun pada waktu malam, seorang miskin boleh bermusafir ribuan kilometer sebagaimana orang lain justeru kos yang murah. Selepas 800 tahun, pembesar-pembesar bersifat tamak dan monopoli mula menguasai Saba'. Mereka berdoa supaya disusahkan perjalanan, berlaku kenaikan kos serta wujudnya perjalanan yang tidak selamat dengan kewujudan perompak dan penyamun. Mereka perlukan kos upah pengawal bagi mengelakkan rompakan dan samunan di tengah jalan. Peruntukan kerajaan (subsidi) bagi perjalanan serta dermawan tiada lagi seperti dahulu menyebabkan mereka perlu menyediakan bekalan wang untuk makan minum serta tempat tinggal. Dengan itu, kos perjalanan menjadi tinggi. Golongan miskin tidak lagi mampu bermusafir seperti dahulu, perempuan tidak lagi berani bermusafir seperti sebelumnya. Inilah yang dimahukan oleh pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar di zaman kehancuran mereka supaya mereka boleh memonopoli perniagaan (trading) akibat daripada golongan miskin tidak mampu bersaing dengan mereka. Walhal, peruntukan yang disediakan oleh kerajaan bukan wang kerajaan, bahkan ia adalah kurniaan Allah swt dengan dijadikan bumi yang subur dan berkat. Konteks hari ini, minyak adalah anugerah Allah swt, bukan manusia atau kerajaan yang menciptanya. 


Jika di zaman berkat selama 800 tahun, seseorang yang hanya tinggal simpanan 1000 dinar (1000D) boleh membeli barang di Saba' yang tiada di Syam, bermusafir ke sana tanpa kos dan mendapat untung 200D. Dengan modal 1000D tadi, kemudiannya dibeli barangan di sana yang tiada di Saba dan dijual di Saba' dengna untung 200D pula. Dengan bermodalkan 1000D, seseorang itu boleh menjana keuntungan sebanyak 400D dengan sekali musafir. 
Jika kos perjalanan naik kepada 1000D, maka dengan modal 1000D masih belum boleh berniaga. Dengan modal 2000D, masih lagi belum boleh berniaga kerana modal hangus 1000D + 1000D modal pusingan = 2000D. Sedangkan pulangan ialah sebanyak 1400D menjadikan seseorang akan rugi 600D jika bekerja. Akhirnya timbul istilah, baik tak kerja daripada kerja, kalau kerja rugi 600D kalau tak kerja maka tak rugi apa-apa. Akhirnya rakyat hidup menadah tangan, dan ini situasi ekonomi yang sedang melanda Malaysia hari ini. 


Oleh itu, menjadi dasar ekonomi Islam meletakkan target sifar kepada kos perjalanan melalui hukum dan sistem ekonominya. Antara hukum yang menjadi asas ekonomi ialah:


1. Sumber Cukai Negara: kos perjalanan adalah 1 golongan daripada 8 golongan (asnaf) yang mesti ditumpukan dalam perbelanjaan sumber tersebut. 


2. Sumber bumi (Al-Fai'): seperti minyak petrol, emas dan lain-lain, kos perjalanan adalah disenaraikan sebagai salah satu dana pembangunan daripada 6 asnaf yang disenaraikan. 


Dalam sistem ekonomi Islam, semua bentuk hasil negara sama ada daripada hasil bumi, wang cukai dan lain-lain ditumpukan untuk pembangunan 2 perkara, iaitu golongan fakir miskin dan Ibn Sabil (perjalanan). Adapun asnaf yatim hanya dinaskan pada bahagian sumber Fai' tetapi tidak dinaskan dalam bahagian pengurusan cukai. Asnaf golongan berhutang sebagai contoh, hanya dinaskan bahagiannya di dalam pengagihan semula wang yang dikutip daripada hasil cukai, tapi golongan ini tidak disebut dan diperuntukkan di dalam belanjawan negara daripada sumber hasil bumi. 


Pengagihan kepada penggunaan kos perjalanan ini adalah perkara yang wajib, bukan sunat. Ayat kepada penyenaraian bahagian peruntukan 'sifar kos perjalanan' ini sebagai ketetapan Allah SWT, ditutup dengan penegasan daripada Allah SWT bahawa penetapan ini untuk mencegah monopoli hasil di kalangan orang-orang kaya sahaja. Firman Allah swt: penetapan yang demikian, supaya hasil negara tidak berlegar hanya di antara orang kaya di kalangan kamu sahaja. 


Di samping sistem pengurusan ekonomi wajib ke atas pemerintah ini, di sana terdapat gesaan-gesaan yang dikategorikan sunat, iaitu sunat memberi makan, membantu golongan-golongan yang bermusafir. 


Daripada sistem ekonomi wajib dan ajaran akhlak mulia yang disunatkan ini telah melahirkan penempatan yang dikenali sebagai Musafir Khaanah. Daripada sini lahirnya bandar-bandar besar pada hari ini seperti Darul Baidho' (Casablanca) dan lain-lain. Sangat menarik dan indah jika kita dapat memahami sistem ekonomi Islam dan perlaksanaannya di zaman Islam. 


- Bersambung... Realiti kos perjalanan hari ini, siapa untung siapa rugi?

- Zaharudin Muhammad,

0 comments: