KUALA LUMPUR: Tidak mempunyai kefahaman yang jelas tentang agama Islam terutama berkaitan hukum dan akidah antara punca berlakunya gejala ekstremis di negara ini.
Panel Pemikir, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) Mustakim Mahamood @ Fauzi berkata mereka yang terbabit juga dilihat tidak memahami ajaran sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi amalan di negara ini.
"Jahil dalam Bahasa Arab juga menjadi punca gejala esktremis. Bahasa Arab merupakan kunci utama untuk memahami nas-nas dalam Al-Quran. Gagal memahaminya akan menyebabkan kita salah mentafsirkannya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerjanya bertajuk "Islam Tonggak Keselamatan: Ke Arah Memerangi Gejala Ekstremisme", pada Bengkel Diskusi Isu Islam Semasa 2014 di sini, hari ini.
Mustakim menegaskan mempelajari ilmu agama dari guru dan ulama yang tidak bertauliah juga antara punca gejala itu.
Mustakim turut menyarankan supaya pemilihan imam-imam di masjid, penceramah dan guru yang mengajar mata pelajaran agama di pusat pengajian di bawah kementerian pendidikan atau sebagainya perlu lebih diperhalusi lagi.
Beliau turut mencadangkan supaya pengawasan dan kesedaran diberikan kepada pelajar-pelajar di luar negara supaya mereka tidak terjebak dengan golongan ekstremis. - Bernama
0 comments: