Pemuda PAS Malaysia (PPM) menegaskan agar tidak berlakukanya
pertambahan bajet pada kali ini seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelum
ini.
Penegasan ini dilontarkan kerana PPM menjangkakan ianya akan
dilakukan oleh kerajaan kerana kos akan meningkat terutama apabila perlaksanaan
sistem cukai GST pada April tahun hadapan.
Ianya turut disuarakan dan dipesan oleh wakil rakyat Pakatan
Rakyat di dewan rakyat termasuklah Ahli Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti
Zailah Mohd Yusoff dalam ucapan perbahasannya tempoh hari.
GST ini sememangnya menjadi bebanan besar kepada pentadbiran di
semua peringkat namun peruntukan yang diberikan pasti mencukupi selagi tidak
berlaku penyelewengan.
Peruntukan bajet yang agak tinggi ini sewajarnya mencukupi untuk
menampung pembelanjaan negara dari semua aspek selagi amalan korupsi dapat
dibendung daripada ianya berlaku.
Kami mengambil maklum bahawasanya penambahan peruntukan adalah
salah satu cara untuk terus melicinkan perjalanan pentadbiran namun ianya
bukanlah satu tindakan yang rasional selagi mana amalan pemborosan terus
bermaharaja lela.
Perkembangan hutang negara dalam keadaan yang sangat tidak sihat
apabila ianya tidak berjaya diurus dengan baik hatta meningkat setiap tahun.
Ini adalah satu perkembangan yang mendukacitakan dan memberi
gambaran tentang masa depan negara yang sangat kabur jika ianya terus-menerus
meningkat tanpa ada mekanisme dan usaha serius untuk menyelesaikannya.
Kami menasihatkan agar kerajaan lebih serius dalam membendung
berlakunya ketirisan di semua peringkat terutama di seluruh agensi-agensi
kerajaan.
Kerajaan perlu mengamalkan pentadbiran yang amanah dan
berintegriti oleh kerana ketirisan yang berlaku ini adalah penyumbang besar
kepada peningkat hutang negara seterusnya menjejaskan perkembangan kewangan
negara.
Bajet defisit yang menjadi 'rutin' tahunan kerajaan perlu
diambil perhatian serius oleh kerana ianya tidak menampakkan perubahan ke arah
positif saban tahun.
PPM menggesa agar kerajaan lebih serius dalam mepertingkatkan
kewangan negara dengan menambah baik perjalanan pentadbiran serta mengurus
sebaik mungkin sumber hasil mahsul negara.
Kami yakin kewangan negara akan dapat dipertingkat jika
pertadbiran berteraskan integriti dan amanah dapat direalisasikan.
Uruslah kewangan negara dengan penuh tanggungjawab, abaikan
kepentingan pihak-pihak tertentu serta berpegang pada sifat amanah.
HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Bendahari,
Pemuda PAS Malaysia
0 comments: