HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Majlis kesyukuran sempena 63 Tahun PAS peringkat PAS Wilayah Persekutuan yang dijadual 24 November di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) bertukar tempat ke Darul Ummah, Markaz PAS Titiwangsa.
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamed berkata majlis yang akan bermula jam 6.30 petang itu akan dihadiri Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang akan menyampaikan ucapan pengkisahan perjuangan PAS sejak penubuhan.
"Majlis akan dimulakan dengan iftar jamai dan diikuti dengan solat Maghrib berjamah dan pengisian ringkas sebelum majlis berakhir dengan solat Isyak dan hajat secara berjamah.
"Majlis kesyukuran ini adalah bersempena sambutan 63 tahun PAS mengemudi bahtera perjuangan Rasulullah s.a.w yang merupakan mata rantai untuk menegakkan negara 'Baldatun Toyyibatun Wa Robbun Ghofuur' dibumi Malaysia ini," tegasnya.
Sehubungan itu beliau menyeru supaya seluruh warga kota khususnya jentera dan ahli PAS Wilayah Persekutuan dan Lembah Kelang hadir dalam program munajat tersebut.
Mereka juga digalakkan berpuasa sunat pada hari Isnin tersebut sebagai menambahkan lagi keberkatan majlis sambutan itu. -HARAKAHDAILY 19/11/2014
0 comments: