114. Kebanyakan perbincangan sulit mereka tidak berfaedah kecuali perbincangan untuk menggalakkan bersedekah, melakukan kebaikan dan mendamaikan perbalahan antara manusia. Sesiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, Kami akan memberikannya pahala yang amat besar.
115. Sesiapa yang menentang Rasul selepas kebenaran jelas kepadanya dan dia tetap tidak mengikut jalan orang yang beriman, maka Kami akan biarkan dia terus dalam kesesatan. Kami akan memasukkannya ke dalam Neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
116. Sesungguhnya, Allah tidak mengampunkan orang yang menyekutukan-Nya, namun Dia mengampunkan dosa selain dosa menyekutukan-Nya itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang menyekutukan Allah, maka sebenarnya dia telah tersesat jauh.
117. Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu hanyalah berhala-berhala dan mereka sebenarnya menyembah syaitan yang derhaka.
118. Syaitan yang telah dikutuk oleh Allah telah berkata, “Sesungguhnya aku akan menjadikan sebahagian daripada hamba-Mu sebagai pengikutku.”
119. “Aku pasti akan menyesatkan dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong serta menyuruh mereka memotong telinga binatang ternakan. Aku juga akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.” Sesiapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindungnya selain daripada Allah, maka dia sebenarnya menanggung kerugian yang sangat nyata.
120. Syaitan sentiasa menjanjikan mereka dengan angan-angan kosong. Padahal apa yang dijanjikan oleh syaitan itu hanyalah tipu daya.
121. Neraka Jahanamlah tempat mereka dan mereka tidak akan dapat melepaskan diri daripadanya.
122. Bagi orang beriman dan beramal soleh, kelak Kami masukkan mereka ke dalam taman syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya dan mereka kekal di dalamnya. Janji Allah itu benar dan siapakah yang lebih benar kata-katanya selain daripada Allah?
Firman Allah Maha Benar
0 comments: