Belanjawan Selangor: Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli




MUHAMMAD FAIZAL | .


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM277.3 juta bagi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk tahun 2015.


Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika membentang belanjawan Selangor 2015 memberitahu sejumlah RM2,422,500,000 bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan khususnya program kesejahteraan rakyat.


"Kedudukan kewangan Selangor terus mantap, Kumpulan Wang Disatukan pada 19 November 2014 berjumlah RM3.31 bilion.


"Jumlah tersebut terdiri daripada aset berbentuk wang tunai RM108.68 juta dan pelaburan sejumlah RM3.2 bilion.


"Kumpulan Wang Disatukan meningkat sebanyak RM400.8 juta kepada RM3.307 bilion iaitu 13.78 peratus berbanding RM2.207 bilion pada tahun 2013," katanya di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).


Tambah beliau lagi, di bawah peruntukan mengurus, RM385 juta adalah bagi emolumen dan RM443.5 juta disediakan bagi perkhidmatan dan bekalan.


Manakala, RM17.6 juta diperuntukan kepada pembelian aset, seju‎mlah RM426.5 juta pula disediakan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM16 juta untuk perbelanjaan lain.


"RM106.6 juta disediakan bagi perkhidmatan masyarakat, pembangunan luar bandar, sektor perbandaran dan pembangunan usahawan.


"Seterusnya, RM100.2 juta diperuntukan bagi pembangunan sosial termasuk pendidikan, perumahan, pembangunan belia dan sukan dan pembangunan insan," katanya lagi.


Tambah beliau, sejumlah RM48.9 juta akan diperuntukkan bagi pembangunan khas negeri dan RM 44.4 juta bagi pengambilan balik tanah.


Katanya lagi, bagi pentadbiran am, sejumlah RM33.8 juta diperuntukkan, untuk tujuan pambangunan adat Melayu dan warisan serta pelancongan sejumlah RM 9.25 juta disediakan.

Adun pembangkang dapat RM200,000



Dalam pada itu, sebanyak RM200,000 setahun diperuntukkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN)‎ bagi tujuan meningkatkan khidmat wakil rakyat kepada rakyat Selangor.

‎Azmin mengatakan bahawa peruntukan Ahli Dewan disemak semula bagi menjamin kesejahteraan rakyat serta menjamin prinsip demokrasi.


"Saya mencadangkan peruntukkan Ahli Dewan Negeri Kerajaan ditingkatkan sebanyak RM100 ribu kepada RM700,000 setahun.


"Mulai 2015 peruntukan ini turut dipanjangkan kepada setiap Adun BN dengan jumlah sebanyak RM200,000," ucap beliau.

Dalam pada itu sebanyak RM100,000 setahun juga diperuntukkan kepada Penyelaran Parlimen yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.‎


Beliau dalam pada itu turut berharap agar isyarat ‎ini diterima Kerajaan Pusat agar memberi peruntukkan kepada kawasan Parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat.


Kerajaan Negeri Selangor turut menetapkan enam strategi Belanjawan bagi tahun 2015.


Antara sasaran strateginya meliputi membesar lapisan kelas menengah, menjana pertumbuhan berkualiti, memberdaya ekonomi hawa dan generai, pembangunan kejiraan hijau, menjana industri budaya dan intelektual dan menyemarak ekonomi desa.


Azmin memberitahu bahawa di bawah strategi pertama melalui Program Hijrah, kerajaan telah menetapkan paras garis kemiskinan di negeri itu sebanyak RM1,500.


"Melalui strategi pertama, RM1,500 ditetapkan sebagai garis kemiskinan, menurut kriteria ini 30 peratus daripada penduduk Selangor berada di bawah garis kemiskinan.


"Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri perlu melipatgandakan usaha untuk memartabatkan kelompok ini supaya mereka diupayakan untuk keluar daripada putaran garis kemiskinan.


"Dana bagi mereka menceburkan diri dalam bidang keusahawanan perlu ditingkatkan.


"Kerajaan negeri akan memperkasakan pembiayaian melalui Skim Mikrokredit Selangor (SkimSel) dan Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR)," kata beliau.


Katanya, semua program ini akan disepadukan di bawah inisiatif Hijrah untuk melonjakkan golongan miskin ini berhijrah memasuki kumpulan pendapatan menengah.


Usaha kerajaan negeri ini adalah untuk mencapai keadilan sosial dan pengagihan yang adil dalam usaha membasmi kadar kemiskinan negeri itu.‎ - HARAKAHDAILY 24/11/2014

0 comments: