HARAKAHDAILY |
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Innovation, DR TAREQ AL SUWAIDAN baru-baru ini menemui Pengarah Urusan Harakah, DR ROSLI YAAKOP bagi bertukar-tukar fikiran dalam pelbagai topik. Dr Tareq yang terkenal dengan kepakaran beliau dalam bidang latihan pengurusan dan perancangan strategik, ceramah motivasi dan penampilan di program-program televisyen telah berkongsi pandangan-pandangan beliau berkaitan cabaran-cabaran yang dihadapi umat Islam masa kini.
Harakah: Bolehkah anda menerangkan serba sedikit berkaitan latar belakang anda dan penglibatan anda bersama Ikhwan?
Tareq: Penglibatan saya bersama Ikhwanul Muslimin (Kuwait) bermula semenjak 1969, iaitu lebih kurang 45 tahun lepas. Penglibatan saya bagaimanapun tidak hanya terhad di Kuwait. Tugasan-tugasan saya telah membawa saya ke merata dunia. Saya juga pernah berada dalam barisan pimpinan Ikhwan di Amerika Syarikat dan saya memberikan latihan kepada pemimpin-pemimpin Ikhwan di serata dunia bermula di Maghribi sehinggalah ke Malaysia.
Saya juga menggalas tugasan penting untuk melatih pemimpin-pemimpin gerakan Islam untuk masa hadapan sama ada di dalam Ikhwan ataupun bagi pergerakan-pergerakan lain. Kami telah mengadakan pelbagai latihan-latihan kepimpinan dan kami telah melatih sekitar 60,000 pemimpin-pemimpin muda.
Harakah: Apakah cabaran-cabaran yang dihadapi umat Islam masa kini?
Tareq: Cabaran-cabaran tersebut boleh kita ringkaskan kepada lima perkara. Ini termasuklah keperluan bagi umat Islam untuk mengubah sikap mereka sama ada dalam urusan kekeluargaan dan sebagainya.
Kita juga perlu untuk mengubah sikap kita ketika melakukan urusniaga dan ketika berurusan dengan pihak bukan Islam. Ini juga termasuk perkara penting seperti menjaga kebersihan.
Kedua kita perlu menjadi lebih cekap dan meningkatkan produktiviti. Kebanyakan dari syarikat-syarikat dan organisasi kita tidak cekap dan mempunyai produktiviti yang rendah. Kita juga mengalami kemunduran kerana kita tidak menggunakan sumber-sumber kita bagi mengadakan penyelidikan saintifik. Tampaknya umat Islam hanya menyumbang sebanyak 0.1 peratus ke atas penyelidikan sains (sedunia).
Kita juga mundur dalam bidang pengurusan, pendidikan dan bidang-bidang lain. Kita juga menghadapi cabaran besar untuk memahami agama kita. Kefahaman kita tidak bersesuaian dengan zaman sekarang dan kita menghadapi cabaran yang besar dengan ideologi yang tidak moden dan terkini. Ini berlaku kerana kita menjadi terlalu taksub.
Cabaran yang terakhir adalah cabaran yang dihadapi para pemimpin kita. Ini bukan sahaja terhad kepada pemimpin di bidang politik tetapi juga di bidang-bidang lain. Ramai yang bercakap tentang keburukan para pemimpin kuku besi tetapi mereka sendiri bertindak sebagai pemimpin kuku besi dalam organisasi-organisasi mereka sendiri.
Juga secara keseluruhannya umat Islam tidak mempunyai satu sistem umum untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin baru. Jadi penghasilan pemimpin-pemimpin baru berlaku secara tidak sengaja tanpa sebarang pelan tersusun. Kita juga tidak mempunyai sukatan pelajaran bagi melahirkan pemimpin-pemimpin baru.
Harakah: Bagaimana pula dengan rintangan-rintangan yang terpaksa dihadapi umat Islam untuk bangkit semula?
Tareq: Isu yang paling penting terutama di negara-negara Arab adalah kewujudan pemimpin-pemimpin kuku besi. Pemimpin diktator begini telah menyebabkan kita menjadi mundur. Mereka mencuri duit yang sepatutnya menjadi milik rakyat. Mereka
tidak menghormati sistem demokrasi.
Kita menyaksikan kewujudan "Arab Spring" yang merupakan satu percubaan untuk menggulingkan pemimpin-pemimpin diktator ini. Pada awalnya ia berjaya tetapi kini kita melihat anasir-anasir anti-revolusi yang mahu melihat perkembangan ini terbantut. Mereka kini telah berjaya mematahkan "Arab Spring" di Mesir dan begitu juga di Libya dan Yaman.
Di Tunisia, pergerakan Islam di sana mengambil pendekatan yang lebih anjal dan anasir-anasir anti-revolusi kini terpaksa berundur. Walaupun pergerakan Islam di Tunisia mendapat undi majoriti di parlimen, mereka mengambil keputusan untuk
berundur dan tidak bertanding untuk merebut jawatan Presiden bagi menenangkan suasana di sana. Kini Tunisia berada dalam keadaan aman dan Perlembagaan baru juga telah diluluskan.
Isu kedua yang menjadi rintangan kepada umat Islam adalah gejala rasuah. Ini melibatkan tindakan mencuri harta rakyat dan membuat penipuan serta mengambil rasuah.
Di Turki sahaja mereka telah berjaya menyelamatkan RM60 bilion dengan usaha-usaha mengurangkan rasuah. Bagaimanapun kejadian-kejadian rasuah tetap berlaku. Sekiranya kita bercakap tentang keseluruhan dunia umat Islam maka jumlah ini tentunya menjadi beratus ribu juta. Cuba kita bayangkan kesannya sekiranya wang ini disalurkan ke bidang pendidikan dan penyelidikan saintifik.
Masalah ketiga kita adalah kefahaman kita tentang dunia zaman moden. Di antaranya isu tentang hubungan antara orang Islam dan orang bukan Islam. Sebagai contoh sesetengah cerdik pandai tidak menerima kerjasama dengan parti-parti bukan Islam walaupun perkara sebaliknya telah berlaku secara jelas dalam sejarah Nabi Muhammad sendiri.
Juga kini pihak ulamak telah bersetuju bahawa wanita boleh menjadi ketua dalam pergerakan Islam ataupun dalam mana-mana negara Islam. Selain daripada itu adalah tentang keperluan untuk mancapai kesatuan ummah.
Sebagai contohnya kini kita berusaha untuk mewujudkan persekutuan negara-negara Islam yang mempunyai dasar-dasar sama dalam empat bidang iaitu dasar-dasar asing, ketenteraan, kewangan dan keperluan untuk tidak memerlukan visa bagi pergi dari satu negara ke negara yang lain tanpa perlu memansuhkan sempadan sedia ada.
Negara-negara di Eropah telah berjaya mencapai matlamat ini walaupun mereka mempunyai bahasa, agama dan sistem politik yang berbeza. Oleh itu perkara ini sepatutnya lebih mudah dicapai bagi negara-negara Islam.
Rintangan keempat yang terpaksa dihadapi oleh negara-negara umat Islam adalah campur tangan pihak Barat. Malaysia, tidak seperti negara lain telah berjaya menangkis campurtangan ini, setakat ini.
Rintangan yang terakhir adalah kewujudan negara Zionis Israel. Keadaan di Palestin begitu melemahkan ummah dan menyebabkan berlakunya ketegangan. Perjuangan yang berterusan di sana bagi menentang penaklukan Israel adalah satu cabaran terbesar umat Islam dalam usaha kita untuk kembali bangkit.
Harakah: Dunia kelihatan mengalami pergeseran yang hebat dan umat Islam kelihatannya sentiasa menjadi mangsa terutama di Timur Tengah dan juga di tempat-tempat lain. Apakah asas penyebab konflik ini?
Tareq: Kita pernah menjadi peradaban yang paling maju. Kita menerajui dunia selama 1,000 tahun semenjak bermulanya Islam dan sehingga tahun 998H apabila tentera Uthmaniah mengepung Vienna.
Kita amat berkuasa ketika itu dan hampir-hampir menakluki Eropah. Tetapi ketika itu tumpuan kita adalah berbentuk ketenteraan semata-mata dan kita tidak memberi tumpuan terhadap usaha untuk mengembangkan agama, menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang sains dan memastikan tertegaknya keadilan.
Apabila satu-satu peradaban diketuai pihak tentera maka tiada perkembangan berlaku dalam peradaban tersebut. Malang sekali selepas itu kemajuan ketenteraan kita juga menjadi mundur sehinggalah jatuhnya sistem khalifah dan negara-negara umat Islam berpecah dan ditakluki kuasa-kuasa Barat.
Penaklukan ini mendatangkan musibah dan masalah kepada umat Islam. Ia menjadi bertambah buruk lagi apabila ketika diberikan kemerdekaan, negara-negara umat Islam sebenarnya tidak benar-benar merdeka. Pemimpin-pemimpin boneka dilantik dan ini menyebabkan kemunduran berterusan.
Saya juga berpendapat, kuasa-kuasa besar seperti pihak Inggeris juga mempunyai dasar yang jelas untuk memastikan bahawa mereka meninggalkan masalah-masalah besar di negara-negara bekas jajahan mereka sama ada di negara itu sendiri ataupun di sempadannya.
Konflik yang wujud akan terus melemahkan negara tersebut dan oleh itu negara-negara terbabit akan terus-menerus bergantung kepada kuasa-kuasa Barat. Kita masih lagi berada di era tersebut walaupun kita telah merdeka.
Oleh itu bagi menjawab persoalan tersebut, umat Islam berada dalam keadaan sekarang kerana kita telah menjadi mundur selama 400 tahun dan kita telah membuat kesilapan dengan terlalu memberi tumpuan ke atas bidang ketenteraan dalam jangka masa yang panjang dan tidak memberikan tumpuan sewajarnya ke atas bidang sains dan teknologi.
Harakah: Apakah pandangan anda terhadap IS?
Tareq: IS adalah satu kumpulan pengganas. Mereka membunuh rakyat awam dan mereka tidak menentang pihak Zionis Israel. Kebanyakan orang tidak memahami latarbelakang mereka dan beranggapan bahawa sokongan mereka terhadap ISIS adalah sokongan untuk mewujudkan kembali sistem khalifah Islam. Tetapi kita mesti mengambil pendirian jelas bahawa ISIS adalah kumpulan pengganas dan kita mesti menentang kumpulan ini.
Harakah: Apakah pandangan anda tentang teori wujudnya pertembungan peradaban di antara umat Islam dan pihak Barat?
Tareq: Saya tidak berasa wujudnya pertembungan peradaban. Kefahaman tersebut adalah salah. Bagi saya pertembungan tersebut boleh sahaja digantikan dengan kerjasama antara peradaban.
Umat Islam sebenarnya maju dalam beberapa perkara seperti nilai dan etika dan peradaban Barat pula maju dalam bidang-bidang sains dan teknologi. Kedua-dua pihak boleh bekerjasama untuk mendatangkan manfaat bagi manusia seluruhnya. Ini tentunya akan mendatangkan kebaikan kepada umat manusia dan pertukaran maklumat ini tentunya akan mendatangkan manfaat bagi kedua-dua pihak.
Satu-satunya pertembungan yang akan berlaku adalah antara umat Islam menentang pihak penjajah Zionis, yang perlu kita lihat sebagai berasingan dari pihak Yahudi. Secara peribadinya saya sendiri tidak melihat sebarang makna bagi kita untuk
bekerjasama dengan pihak Zionis yang zalim, agresif dan gemar menindas. Mereka menggunakan agama mereka untuk menindas. Sebaliknya orang Yahudi pula mampu hidup secara aman di negara-negara umat Islam.
Buku-buku orang Yahudi telah mencatatkan secara jelas bahawa kegemilangan orang Yahudi berlaku ketika Islam memerintah Sepanyol. Mereka dilantik menjadi doktor bagi pihak sultan-sultan. Mereka juga dilantik menjadi menteri-menteri dan dihormati.
Tetapi apabila mereka menjajah Palestin mereka menjadi amat menindas, agresif dan bersikap berat sebelah dan mengambil pendekatan untuk terus merampas harta rakyat Palestin. Mereka juga bertindak menghalang bantuan kemanusiaan ke atas rakyat Palestin.
Kezaliman yang berlaku menyebabkan kita tidak sepatutnya untuk tidak bertolak ansur dengan peradaban yang sedemikian. Satu-satu cara untuk berhadapan dengan cabaran ini adalah untuk terus menghapuskannya.
Tentunya kita tidak akan dapat mengalahkan mereka dengan menggunakan tentera-tentera fanatik seperti IS. Kita perlu menjadi maju dalam semua bidang untuk menjadikan peradaban kita dihormati.
Harakah: Pihak barat tampaknya gemar untuk menuduh pihak Islam sebagai pengganas. Apakah kelebihan yang akan mereka perolehi dengan berbuat demikian?
Tareq: Mereka tidak memperolehi apa-apa dan saya tidak beranggapan mereka mempunyai objektif sedemikian. Satu kajian mendalam mengenai Islam di Kuwait mendapati 90 peratus rakyat Amerika Syarikat tidak mengetahui tentang Islam dan kebanyakan maklumat yang mereka dapati adalah melalui berita-berita media yang gemar membuat liputan berkaitan perkara-perkara sensasi seperti kegiatan pengganas.
Itulah di antara sebab mengapa umat Islam dikaitkan dengan pengganas. Sebanyak 8 peratus pula mendapat pengetahuan mereka melalui buku-buku dan kursus-kursus universiti yang diajar oleh orang bukan Islam. Hanya dua peratus sahaja mendapat maklumat melalui orang Islam dan tidak kesemua maklumat itu adalah betul.
Berbanding mengambil pendekatan menyalahkan pihak Barat yang mengaitkan Islam dengan keganasan, kita sepatutnya berusaha keras untuk mewujudkan saluran media yang menjelaskan tentang Islam.
Ini tidak mungkin dapat dilakukan tanpa sokongan pihak kerajaan. Jadi berbanding menyalahkan mereka kita sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana tidak mencari jalan penyelesaian.
Harakah: Akhir sekali, apakah pandangan anda tentang PAS?
Tareq: Saya tidak mencampuri urusan dalaman (mana-mana pihak) dan saya juga tidak mempunyai maklumat-maklumat khas yang berkaitan. Tetapi bagi mana-mana organisasi ataupun parti politik, untuk berjaya mereka perlu mempunyai sifat-sifat tertentu.
Pertama ia mesti mempunyai ideologi yang moden dan terkini. Juga seharusnya wujud perbezaan yang jelas bagi prinsip-prinsip yang tidak bertukar dan apa yang boleh berubah mengikut peredaran masa.
Sekiranya perubahan tidak boleh dilakukan maka ideologi tersebut akan mengalami masalah besar.
Kedua, organisasi tersebut mesti mempunyai pelan strategik untuk 20 tahun yang akan datang.
Juga (ketiga) mesti adanya pelan peralihan kepimpinan yang jelas bagi menggantikan pemimpin-pemimpin sedia ada. Ini tidak semestinya khas untuk PAS sahaja tetapi juga kepada mana-mana organisasi.
Keempat, organisasi tersebut perlu mempunyai sistem yang anjal. Sekiranya sistem parti tersebut tidak anjal maka organisasi tersebut akan sukar berjaya. Juga perlu wujudnya sistem untuk menambahkan ahli-ahli organisasi seawal usia tadika.
Sesebuah organisasi juga perlu mempunyai latihan yang agresif bagi pemimpin-pemimpin dan juga untuk ahli-ahlinya kerana sumber manusia adalah tidak ternilai.
Ini memerlukan pendidikan dan latihan, dan juga perancangan strategik, kreativiti dan kebolehan membuat keputusan.
Penumpuan juga tidak seharusnya diberikan kepada tarbiah semata-mata kerana dengan itu anda tidak akan berjaya menghasilkan pemimpin-pemimpin yang mahir dalam bidang politik, ketenteraan ataupun kewangan.
Organisasi tersebut juga perlu untuk menjadi celik Teknologi Maklumat bagi membolehkan pemimpin-pemimpinnya berkomunikasi secara terus dengan ahli-ahli.
Ahli-ahli juga perlu diberi keterangan tentang proses membuat keputusan melalui media. Perlu juga wujudnya pemasaran idea. Sekiranya anda masih lagi memasarkan idea anda secara tradisi melalui khutbah dan ceramah-ceramah, maka organisasi anda adalah mundur.
Sesebuah organisasi juga perlu memberikan khidmat perkhidmatan kepada ahli-ahli dan penyokongnya.
Terakhir sekali adalah kreativiti. Daya kreativiti boleh diukur dengan memastikan adanya satu projek besar untuk tahun itu yang berbentuk kreatif. Ini adalah satu soalan yang perlu untuk dibangkitkan setiap tahun. - HARAKAHDAILY, 13/11/2014
0 comments: