HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS mengalu-alukan langkah Parlimen Sepanyol yang sebulat suara meluluskan usul mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, pengiktirafan secara terbuka itu penting dalam usaha memberi tekanan bagi membebaskan Palestin daripada kokongan dan kekejaman rejim Zionis Israel.
"Walaupun ia lebih kepada simbolik, tetapi ia memberi kesan besar terhadap geo-politik antarabangsa.
"PAS mengharapkan lebih banyak negara khususnya di Eropah untuk mencontohi langkah Sepanyol ini," katanya kepada Harakahdaily.
Kelmarin parlimen Sepanyol sebulat suara mengundi untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara selepas memperoleh 319 undi sokongan di bawah usul dikemukakan parti Sosialis yang merupakan pembangkang utama negara itu.
Resolusi itu juga bertujuan untuk menggesa kerajaan supaya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara mengikut undang-undang antarabangsa.
Selain Sepanyol, turut mengambil langkah sama lebih awal adalah Britain, Ireland dan Sweden.
"Membela Palestin ini adalah agenda besar dan berterusan PAS.
"Ia bukan hanya persoalan umat Islam sahaja, tetapi ia adalah persoalan sejagat," kata Syed Azman. -HARAKAHDAILY 21/11/2014
0 comments: