Kurangkan Pekerja Asing, Beri Peluang Kerja Kepada Rakyat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan mempersoalkan sejauh mana polisi kerajaan yang mengenakan bayaran levi kepada pekerja asing sedangkan ia tidak mengurangkan kemasukan mereka ke negara ini.


Malah menurutnya, kemasukan mereka menyebabkan jumlah kiriman wang ke luar negara semakin meningkat dari tahun ke tahun.


Misalnya, kata beliau pada tahun 2009 sebanyak RM10.5 bilion manakala tahun 2013 telah meningkat kepada RM25.1 bilion.


"Adakah kerajaan berhasrat untuk kemukakan mekanisma baru untuk mengurangkan pekerja asing bagi mengekang wang dikeluarkan lebih besar?


"Sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan memberi perluang pekerjaan kepada rakyat negara ini," katanya dalam soalan tambahan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.


Tambahnya, suasana ini berlaku kerana kesan implimentasi gaji minimum yang diperkenalkan kepada hampir dua juta pekerja asing terutama dalam sektor pembinaan.


Menjawab soalan tambahan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd Mutalib berkata kerajaan hendaklah mematuhi pelaksanaan gaji minimum yang ditetapkan walaupun terhadap pekerja asing.


"Kita tidak boleh bezakan mereka. Kalau kita tidak bayar gaji minima ianya tidak adil. Mahu tidak mahu kita terpaksa.


"Secara peribadi, kita tidak mahu lebih ramai pekerja asing. Kita mahu anak-anak muda dapat kerja di negara mereka," katanya. 


Dalam soalan asal, beliau meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan status keputusan semakan semula penyelarasan skim gaji minimum yang sepatutnya dilaksanakan pada Januari 2013 namun ditangguhkan kerana dikatakan sebahagian besar majikan belum bersedia untuk melaksanakannya. - HARAKAHDAILY 24/11/2014

0 comments: