
HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Rombongan PAS yang diketuai oleh YB Marzuk Shaary Ahli Parlimen Bachok dan Ustaz Khalil Abdul Hadi Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia bersama sama 30 orang telah menghantar memorandum membantah hidangan arak di dalam pesawat Malaysia Airlines.
Perkara ini susulan pendedahan oleh YB Timbalan Menteri Pengangkutan yang mengakui di dalam Parlimen bahawa setiap tiket yang dibeli termasuk kos hidangan arak.
Tuntutan menghentikan sajian arak ini di lontarkan oleh YB Marzuk didalam Parlimen dan disusuli dengan penghantaran memorandum kepada GCEO Malaysia Airlines yang diterima bagi pihak oleh Dato Najmudin Abdullah Vice Presiden Strategic Communications.
Rombongan tadi turut disertai oleh YB Nasrudin Tantawi Ahli Parlimen Temerloh, YB Nik Abduh Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Dr.Izani Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, YB Ahmad Baihaqi Atiqullah Ahli Parlimen Kubang Kerian, Nurul Islam Mohamed Yusoff Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Syarhan Humaizi Ketua Pemuda Selangor dan Ustaz Norazli Musa Presiden NGO Geng Ustaz.
Berikut dilampirkan Memorandum:
MEMORANDUM BANTAHAN
PENJUALAN & PENYEDIAAN MINUMAN KERAS
DALAM PENERBANGAN MAS
Kepada
Ahmad Jauhari Yahya
Group Chief Executive Officer
Malaysian Airline System
24 November 2014
Merujuk kepada sesi perbahasan Bajet 2015 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat pada 17 November 2014, Timbalan Menteri YB Datuk Ab. Aziz bin Kaprawi telah mengesahkan bahawa setiap tiket yang dibeli oleh pelanggan adalah termasuk penyediaan hidangan yang disediakan dalam kapal terbang. Beliau juga tidak menafikan hidangan tersebut termasuk minuman keras atau arak. Malah, beliau turut mengakui bahawa isu tersebut telah berlaku sejak sekian lama.
Berdasarkan penjelasan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan tersebut, maka memorandum ini diserah untuk membantah penjualan dan penyediaan arak oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bagi memelihara imej Islam dan negara di mata dunia. Isu ini telah lama disuarakan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS), pertubuhan-pertubuhan Islam bukan kerajaan malah individu-individu tertentu, namun perkara ini masih berlanjutan sehingga ke hari ini.
Menurut perundangan Islam, pengharaman arak telah diperincikan secara eksplisit di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith.
Allah SWT telah berfirman (maksud)
"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)."
(Surah al-Maidah : 90 - 91)
Pengharaman ini telah dijelaskan lagi oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya (bermaksud),
Dari Anas bin Malik katanya, bahawasanya baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak iaitu, orang yang memerahnya, orang yang minta diperahkannya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya dan orang yang meminta dibawa kepadanya, orang yang menuangkannya, orang yang menjualnya, orang yang makan hasil daripadanya, orang yang membelinya dan orang yang minta dibeli kepadanya".
(Riwayat Al-Imam At-Termidzi)
Ini menunjukkan walaupun seseorang pelanggan Muslim tidak membeli arak secara langsung, namun sebahagian daripada kos pembelian tiket tersebut menyumbang kepada penyediaan dan penjualan arak oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Tambahan pula, pramugari, pramugara dan semua krew kabin khususnya yang beragama Islam, mereka turut terlibat secara langsung dalam perkara ini. Ia juga melibatkan pendapatan kakitangan yang bertugas.
Oleh yang demikian, kami mendesak pihak pengurusan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menghentikan serta merta penjualan dan penyediaan minuman keras atau arak dalam setiap operasi perniagaannya. Kami optimis bahawa tindakan drastik ini akan mengundang keberkatan daripada Allah SWT seiring dengan penstrukturan semula model perniagaan MAS yang baharu.
Sekian, terima kasih.
1. YB. Marzuk Shaary
Ahli Parlimen Bachok
2. YB. Nasrudin Tantawi
Ahli Parlimen Temerloh
3. YB Nik Mohd Abduh
Ahli Parlimen Pasir Mas
4. YB Dato Dr. Khairuddin At-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
5. YB Ahmad Baihaki Atiqullah
Ahli Parlimen Kubang Kerian
6. Ustaz Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
7. Ustaz Ahmad Fadhli Shaari
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan
8. Ustaz Nazri Ahmad
Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang
9. Nurul Islam Mohamed Yusoff
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
– HARAKAHDAILY 25/11/2014
0 comments: