Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS negeri, Hamid Ismail berkata di antara perkara yang perlu dinilai semula ialah keperluan kepada skim pinjaman berasaskan syariah khususnya kepada kakitangan yang cenderung untuk memilih kepada skim seumpama itu.
Menurutnya, PAS Sabah ada menerima aduan dan keluhan kakitangan kerajaan negeri, terutamanya yang beragama Islam, berikutan ketiadaan skim pembiayaan perbankan Islam, di antaranya skim pinjaman perumahan kerajaan.
"Semakan pihak kami di laman web terhadap dua agensi yang diberi tanggungjawab menawarkan skim berkenaan, Perbadanan Pinjaman Sabah (Sabah Credit Corporation) dan Syarikat Permodalan Bercagar Perumahan Borneo Berhad (Borneo Housing Mortgage Finance Berhad adalah didapati tiada skim pinjaman perumahan secara Islam ditawarkan," ujarnya dalam satu kenyataan.
Hari ini, ujarnya sistem kewangan Islam telah mendapat tempat di hampir semua bank-bank di dalam negara kita termasuklah bank-bank asing.
Oleh itu, kata beliau sewajarnyalah kedua agensi kewangan milik kerajaan negeri mengambil usaha dan langkah yang sama sejajar dengan permintaan kepada perbankan Islam yang terus meningkat.
Justeru, kata beliau oleh kerana dasar Kerajaan Pusat dan Bank Negara untuk membangunkan dan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam bersepadu yang terunggul, maka sudah tiba masanya kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Musa Aman agar melihat perkara ini dengan serius dan dapat menjadi ianya sebuah kenyataan dalam masa yang terdekat. - HARAKAHDAILY 26/11/2014
0 comments: