Senarai Kesabaran Yang Panjang


DATUK HUSAM MUSA | .


Senarai kesabaran yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf a.s dan ayahandanya Nabi Ya'kub a.s adalah panjang:


a. Sabar untuk tidak menceritakan mimpi baiknya kepada abang-abangnya, kerana patuh kepada pesan bapa baginda.Tidak dapat berkongsi sesuatu yang mengembirakan, juga merupakan satu tekanan perasaan.

b. Sabar ketika diletakkan di dasar telaga yang dalam dan gelap seorang diri.

c. Sabar terpaksa berpisah dengan bapadan keluarga tercinta sejak kecil.

d. Sabar dibuang baju yang dipakai semasa hendak diletakkan di dalam perigi.


e. Sabar ketika diambil oleh pedagang untuk dibawa ke negara asing dan seterusnya dijual.

f. Sabar tinggal di negara asing sebatang kara.


g. Sabar dituduh dengan tuduhan liar dan nama baiknya dipermainkan. 
- i. cuba mencabul perempuan. 
- ii. menimbulkan kekecohan asmara dan seksual dalam masyarakat.

h. Sabar dipenjarakan tanpa kesalahan yang sebenar.

i. Sabar disambung tahanan dalam penjara.

j. Sabar menahan nafsu seks ketika dipujuk oleh perempuan cantik dengan keadaan begitu terbuka untuk baginda terjerumus.

k. Sabar tidak meminta dibebaskan sebelum namanya dibersihkan terlebih dahulu.

l. Sabar dengan terus memberitahu makna mimpi Raja tanpa syarat pembebasan.

m. Sabar ketika diherdik dengan kata yang melukakan perasaan oleh abang-abang baginda setelah baginda telah pun menjadi menteri.

n. Sabar dengan cara segera memaafkan kesalahan semua abang-abangnya tanpa abang-abangnya memimta maaf terlebih dahulu.

o. Sabar tidak membalas dendam terhadap abang-abangnya.

p. Sabar tidak mendedahkan aib abang-abangnya atau mengungkit-ungkit perkara yang telah lalu.

q. Sabar dengan menyediakan kemudahan kehidupan yang setimpal untuk semua anggota keluarganya tanpa sebarang diskriminasi.

Dari segi masa, kesabaran Yusuf memakan masa yang amat panjang! Dari segi bentuk, baginda tetap bersabar ketika susah dan senang. Dari segi bentuk juga, Yusuf bersabar terhadap ganguan fizikal dan perasaan sekaligus. Ketika dipenjara, fizikalnya tidak selesa. Begitu juga ketika di dasar perigi. Ketika baginda tidak berbaju. Nama baik dan integritinya juga menjadi taruhan. Semua sudut perasaannya seperti rindu, malu, keinginan seks, keinginan kepada perempuan, keselesaan dan lainnya terlibat dalam ujian kesabaran. Ia sebuah ujian kesabaran yang komplit! Semua sudut dan keadaan. Layaklah Yusuf menjadi ikon manusia yang sabar.


Kesabaran Ya'kub a.s.

a. Sabar berpisah dengan anak yang paling dikasihi.

b. Sabar dibohongi oleh anak-anaknya sendiri.

c. Sabar dengan tidak langsung mengherdik dan memarahi anak-anaknya.

d. Sabar dengan tidak mendedahkan aib anak-anaknya.

e. Sabar dengan kata-kata kurang enak dari anak-anak dan keluarganya sendiri.

f. Sabar dengan kehilangan anaknya satu demi satu.

g. Sabar dengan kebutaan yang dialaminya.

h. Sabar dengan perpisahan yang panjang

i. Sabar dengan memberikan kemaafan kepada anak-anaknya.

j. Sabar dengan tidak mempunyai sesiapa yang boleh berkongsi kesedihan baginda.


Bagaimana dengan kita?



Salam Hormat
-Husam Musa-

0 comments: