
Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Selasa 16 Disember 2014 / 23
Safar 1436H
DAP Perlu Lebih Berhemah Dalam
Mengeluarkan Kenyataan Isu Hudud
1. Persefahaman bersama antara
parti-parti dalam Pakatan Rakyat adalah untuk menentang polisi-polisi pincang
dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang memberi kesan kepada kehidupan
seharian rakyat. Dasar-dasar bersama yang boleh dikompromi menjadi sebahagian
manifesto bersama dalam PRU berasaskan konsep Negara Berkebajikan dan Negara
Adil Untuk Semua. Dalam masa yang sama setiap parti menghormati perbezaan dasar
dan perjuangan yang dipegang oleh setiap parti. Hal ini adalah asas kepada
persefahaman PR.
2. Menegakkan Undang-undang
jenayah Islam termasuk Hudud adalah sebahagian perjuangan PAS yang tidak boleh
ditawar-menawar. Ia telah dikanunkan oleh PAS di Kelantan pada 1993 dan di
Terengganu pada 2002 jauh sebelum wujudnya Pakatan Rakyat selepas 2008.
3. Menjadi hak PAS untuk terus
memperjuangkan pelaksanaan undang-undang ini di dua negeri majoriti umat Islam
Kelantan dan Terengganu dengan pelaksanaannya terhadap penjenayah di kalangan
orang Islam sahaja menerusi Mahkamah Syariah melainkan jika penjenayah bukan
Islam juga meminta untuk dilaksanakan ke atas mereka atas prinsip perundangan
"mutatis mutandis".
4. PAS menghormati hak
demokrasi untuk DAP berbeza pandangan dan tidak bersetuju. Namun, sikap DAP
yang secara berterusan mempertikaikan hak PAS untuk memperjuangkan
undang-undang ini di negeri Kelantan khususnya sangat tidak baik dan tidak
wajar dan ia adalah satu percubaan meretakkan hubungan di kalangan PR. Ia
memberi modal kepada UMNO dan Barisan Nasional untuk terus bernafas. Ini adalah
siri berangkai beberapa lagi tindakan DAP yang mempertikaikan PAS termasuk
dalam krisis MB Selangor.
5. Saya mengharapkan pemimpin
DAP lebih berhemah dalam kenyataan-kenyataan mereka khususnya melibatkan dasar
PAS. Respon balas daripada pimpinan dan ahli PAS tentu sesuatu yang tak dapat
dielakkan dalam keadaan tersebut.
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin
Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
0 comments: