Lanchang, Tanjung Malim |
12-14 Disember 2014
Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dengan
kerjasama Maahad Tahfiz Nur Ramadhan telah berjaya menganjurkan sebuah
perkhemahan remaja yang dinamakan sebagai "Good Muslim Teens Camp
2014". Perkhemahan ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam di Kem Nur
Ramadhan, Lanchang Tanjung Malim. Seramai 50 Orang Peserta yang terdiri
daripada remaja lelaki yang berumur 12-18 tahun telah menyertai perkhemahan
ini. Ustaz Mohd Farkhan Mohd Zin, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah
Persekutuan telah membuat pelepasan peserta di Darul Amal (Markaz Amal WP).
Good Muslim Teens Camp 2014 yang julung-julung
kali diadakan ini telah disediakan dengan pelbagai modul-modul yang menarik
bagi membentuk keperibadian dan jatidiri kepada peserta. Program-program yang
dijalankan adalah seperti Explorace, Memanah, Berenang, Qasr Rum, dan pelbagai
modul motivasi yang lain. Modul-modul motivasi ini telah disediakan dan
dikendalikan oleh kumpulan yang dijemput khas iaitu Kelab Remaja Soleh (KRES)
yang berpengalaman mengendalikan program-program yang berbentuk motivasi. Pada
hari terakhir, peserta dibimbing untuk Qiamullail, Tahsin al Faatihah dan
bacaan tahiyyat. Peserta juga didedahkan dengan aktiviti kemasyarakatan iaitu
membersih kubur di Tanah Perkuburan Kg Lubuk Salak. Program ini telah mendapat
pujian dari penduduk setempat apabila melihat anak-anak muda membersihkan tanah
perkuburan.
Pada majlis perasmian penutup perkhemahan, Ir Hj
Khairil Nizam Khirudin yang merupakan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan melahirkan rasa bangga
kepada peserta kerana telah berjaya mengikuti perkhemahan ini. Beliau
mengharapkan, para peserta dapat mengenali Allah dan mengenali Rasulullah S.A.W
dan menjadi contoh kepada masyarakat, sepertimana Rasulullah SAW, yang merupakan
contoh yang terbaik kepada manusia. Mudir Tahfiz Nur Ramadhan, Ust Abd Aziz
Arof pula mengharapkan para peserta mampu menjadi mata rantai, penyambung
kepada perjuangan yang dimulakan oleh Rasulullah S.A.W. Majlis penutup berakhir
dengan penyampaian hadiah kepada para peserta.
Saudara Mohd Rashidi Abd Razak selaku Pengarah
Program, merangkap Pengarah Jabatan Amal DPPWP mengucapkan ribuan terima kasih
kepada seluruh penyumbang, barisan urusetia yang terdiri daripada anggota
Jabatan Amal DPPWP dan mereka yang terlibat dalam menjayakan perkhemahan ini.
Beliau juga memaklumkan, ini bukan program yang terakhir, sebaliknya program
seperti ini akan diteruskan dengan siri-siri yang seterusnya bagi mendidik dan
membentuk remaja-remaja khususnya yang tinggal di Wilayah Persekutuan.
Mohd Shahir Abu Hassan
Pegawai Tadbir
Lajnah Penerangan & Hubungan Media PAS Pusat
0192153225
www.pas.org.my
Pegawai Tadbir
Lajnah Penerangan & Hubungan Media PAS Pusat
0192153225
www.pas.org.my
0 comments: