Hari Migran Antarabangsa: Hormati Juga Hak Mereka


HARAKAHDAILY | .






KUALA LUMPUR: Hari ini merupakan Hari Migran Antarabangsa. Bersempena dengan itu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia menyeru masyarakat di negara ini agar turut mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan banyak negara termasuk Malaysia.


“Pada Hari Migran Antarabangsa, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia memperingati hak migran dan mengambil peluang untuk mengiktiraf sumbangan yang dilakukan oleh migran kepada pertumbuhan dan pembangunan di kebanyakan negara.


“Suruhanjaya menggesa agar usaha yang lebih mantap untuk menghapuskan stigma dan diskriminasi yang dihadapi oleh kumpulan terdedah ini dan menyeru penggunaan istilah yang lebih tepat digunakan apabila merujuk kepada migran yang tidak berdokumen. Suruhanjaya ingin mengingatkan media bahawa istilah 'pendatang haram' bukanlah satu konsep undang-undang malah tidak tepat, kerana seseorang itu tidak boleh dianggap haram,” ujar Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Hasmy Agam dalam kenyataan medianya.


Suhakam berpendapat bahawa dalam menangani aspek tertentu berkaitan migran dan pekerja asing dengan lebih berkesan, Kerajaan mesti meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga Mereka. 



Di samping itu, Suhakam juga menggesa agar Malaysia juga perlu mengambil usaha yang konkrit dan langkah-langkah yang sejajar dan diterima sebulat suara semasa Dialog Peringkat Tertinggi mengenai Migrasi dan Pembangunan Antarabangsa, Perisytiharan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Perisytiharan ini mengesahkan keperluan untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia dan kebebasan asasi semua migran, mengulangi komitmen untuk memerangi pemerdagangan manusia, dan mengecam keras manifestasi perkauman dan sikap tidak bertoleransi terhadap kumpulan ini.



“Selanjutnya, menurut Artikel 22 Perisytiharan ASEAN mengenai Perlindungan dan Promosi Hak Pekerja Migran yang diterima pakai pada tahun 2007, negara-negara ASEAN telah bersetuju untuk membangunkan Instrumen ASEAN mengenai Promosi dan Perlindungan Pekerja Migran.



“Ia bagaimanapun masih belum dimuktamadkan. Dalam kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2015, Suruhanjaya menyeru Kerajaan untuk menyelesaikan penggubalan dokumen ini dengan kadar segera dengan rundingan bermakna dengan semua pihak yang berkepentingan,” tegas Tan Sri Hasmy. – HARAKAHDAILY 18/12/2014

0 comments: