Kenyataan Media YB Dato Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS Pusat
Hentikan Keganasan Di Pakistan
PAS mengutuk serangan puak Taliban ke atas sebuah sekolah
kelolaan pihak tentera di Peshawar, Pakistan, yang telah mengorbankan 141 orang
kebanyakannya kanak-kanak.
Alasan
yang diberikan oleh Taliban bahawa tindakan ganas mereka itu sebagai membalas
serangan berterusan pihak tentera Pakistan ke atas wilayah mereka di utara
Pakistan yang juga telah mengorbankan ramai orang yang tidak berdosa tidak
boleh diterima. Sama ada dari sudut Islam mahupun kemanusiaan ia adalah salah.
Islam tidak mengajar untuk membalas dendam dengan membunuh orang awam
lebih-lebih lagi kanak-kanak yang sedang menuntut ilmu yang menjadi kewajipan
dalam kehidupan.
Krisis
keganasan di Pakistan yang sudah berlarutan begitu lama berpunca daripada sikap
kedua-dua pihak dalam konflik tersebut yang mengambil jalan kekerasan dan
keganasan sebagai jalan penyelesaian. Akhirnya orang awam yang menjadi mangsa.
Puluhan ribu rakyat Pakistan telah menjadi korban sejak keganasan tercetus
kira-kira 15 tahun yang lalu.
Tekanan
Amerika ke atas kerajaan Pakistan untuk menyertai kempen Amerika terhadap
pengganas turut menyumbang kepada masalah ini. Sementara puak Taliban pula mahu
menegakkan regim berasaskan agama dengan cara kekerasan bukan melalui jalan
damai dan demokrasi.
Usaha
perlu dibuat oleh organisasi umat Islam seperti OIC untuk menghentikan
keganasan sebegini yang hanya merugikan umat Islam apabila generasi mendatang
tidak mempunyai peluang untuk mengecapi satu kehidupan yang bermakna kerana
diselubungi keganasan saban hari.
YB Dato’ Mahfuz Hj Omar
Ketua
Penerangan PAS Pusat
0 comments: