Institut Negarawan Siswa (INSIS 2.0) Medan Mencetak Kepimpinan Berkarisma

Diterbitkan: 17 Disember 2014
Ditulis oleh Zulkarnain



KAJANG – Institut Pemikir Muda Akademi Kepimpinan Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menganjurkan INSIS 2.0 sebagai kesinambungan usaha mencetak generasi pemimpin muda, kini dan masa hadapan. Program pada kali ini bagaimanapun lebih menjurus kepada ‘development’ barisan kepimpinan pelajar di institut pengajian tinggi awam dan swasta berbeza daripada INSIS siri yang pertama yang lebih umum dan terbuka sesuai sebagai siri pengenalannya.


INSIS 2.0 yang telah dilaksanakan selama sehari dengan bertemakan “ Negarawan Islam Mangkin Kepimpinan Ummah’ bertujuan menyuburkan budaya integriti dan integrasi dalam kalangan pemimpin pelajar kampus serta kepimpinan muda yang sedia ada, disamping memupuk keupayaan peserta dalam mengolah isu-isu tunggak negara dan masyarakat menerusi diskusi dua hala dan berkumpulan.


Bertempat di Dewan Masjid Sg Ramal Luar, Kajang, program dimulakan dengan diskusi “ Pemikiran Islam: Sanggahan Terhadap Pluralisma dan Liberalisma” yang telah dibentangkan secara cermat oleh Ybhg Ustaz Muhammad Atiullah Othman, yang merupakan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Menerusi sesi pencerahan dua hala itu, beliau telah memberi penekanan yang mendalam terhadap definisi, applikasi dan implikasi terhadap ideologi liberalisma dan pluralism serta beberapa lagi anasir pemikiran yang menjadi virus dalam kalangan umat Islam. Dalam sesi penghujahan yang dipetik daripada kajian dasar pemikiran beliau, serangan pemikiran yang melanda umat Islam sehingga ke hari ini merupakan anasir terancang bagi mengelirukan serta memecahkan kesatuan umat Islam. Beliau seterusnya menyeru agar generasi muda pemimpin yang lahir daripada sulbi gerakan Islam PAS memahami dengan mendalam prinsip dan matlamat ideologi Islam dan menolak sebarang bentuk ideologi yang tidak berpaksi kepada agenda memartabatkan syariat Islam di atas muka bumi ini. Umat Islam dan ahli gerakan juga diingatkan agar berhikmah dan tegas dalam mengurus pertembungan ideologi pemikiran yang menjadi duri dalam daging dalam jemaah dan kepimpinan Islam.

Agenda pemerkasaan negarawan dalam kalangan peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan alumni diteruskan dengan diskusi ekonomi dan isu-isu berhubung kebejatan khazanah negara yang bertajuk “Kebergantungan Ekonomi Negara kepada Sumber Asli – Suatu Penilaian”. Sesi penerangan dua hala selama 2 jam ini disampaikan oleh Ass. Prof. Elias Abdllah, pensyarah di Institute of Petroleum Engineering, Heriot Watt University Putrajaya yang mendedahkan fenomena kebejatan ekonomi dunia dan Malaysia akibat kebergantungan hasil mahsul utama iaitu sumber minyak dan gas asli. Melalui pembentangan beliau, para peserta diberi penerangan tentang cabaran-cabaran produksi sumber galian ini yang terpaksa ditanggung oleh negara-negara pengeluar utama termasuk Malaysia. Beliau antara lain menekankan bahawa keperluan dan permintaan minyak dan gas asli dalam industri dan pengangkutan sebagai punca yang menentukan ketidakstabilan harga minyak dan gas dipasaran dunia selain daripada faktor geo-politik dan spekulasi tidak bertanggungjawab oleh kuasa-kuasa tertentu. Ekoran daripada kejatuhan harga minyak secara mendadak dipasaran ketika ini pastinya memberikan impak yang cukup menggusarkan ramalan ekonomi Malaysia sehingga memaksa pihak kerajaan pimpinan UMNO/Barisan Nasional tidak konsisten dalam kenyataan-kenyataan mereka sekaligus menjadikan rakyat sebagai mangsa yang akan terus dihimpit desakan ekonomi. Prof. Elias dalam ucapan penggulungannya menyelar kegagalan pengurusan sumber asli ini yang telah diuruskan oleh kerajaan pimpinan UMNO sejak sekian lama yang tidak telus dan bersifat mengkayakan golongan-golongan tertentu. Walaubagaimanapun, beliau mengharapkan suatu masa akan lahir daripada kalangan generasi muda yang akan membuat pembaharuan demi pembaharuan, bagi mengambil alih hak pengurusan hasil mahsul milik rakyat keseluruhannya.

Program diteruskan lagi dengan penampilan istimewa pengamal motivasi saudara Zaim Zin yang menyegarkan minda para peserta sejurus selepas rehat dan solat Zohor. Zaim Zin tampil dengan gaya beliau yang tersendiri dalam menarik minat dan perhatian peserta bagi memahami peranan dan kekuatan yang diperlukan oleh setiap dai’e. Melalui slot motivasi tarbawi ‘Daie’ WOW’ yang dipersembahkan oleh Zaim Zin ini, para peserta diberi kefahaman akan peri pentingnya ilmu dan kemahiran dalam mempergiatkan dan menambah keberkesanan dakwah. Demi mematuhi perintah Allah SWT, abnaul harakah khususnya di dalam PAS wajib memahami tuntutan, cabang dan metod-metod yang membolehkan sesuatu mesej dakwah itu disampaikan dengan baik disamping menghindari tohmahan ataupun fitnah yang akan merugikan peluang dakwah. Saudara Zaim sepanjang sesi beliau, telah memaparkan banyak contoh dan kemahiran asas yang kebanyakannya gagal ditawarkan kepada sasaran dakwah, bahkan menjadikan mereka lari daripada program-program dakwah. Beliau menyatakan bahawa selain penguasaan ilmu asas dan khusus agama, penggunaan media baru dan teknologi kreatif juga penting dalam mendekati golongan muda. Beliau menamatkan sesi selama 2 jam bersama para negarawan dengan berkongsi harapan untuk melihat setiap ahli gerakan melengkapkan ilmu, kemahiran dan pengalaman untuk menggalas mesej dakwah serta menjadi duta PAS dalam semua aspek kehidupan.

Sehari berprogram bersama para negarawan dan negarawati yang cemerlang daripada segi latar belakang pendidikan dan kepimpinan, memberikan kepuasan kepada pihak penganjur daripada Institut Pemikir Muda (IPM) untuk menawarkan lebih banyak agenda kenegarawanan demi mencetak generasi baru yang bakal dan telah bergiat dalam lapangan masyarakat. Para peserta berhak diberi pujian kerana tetap konsisten menadah ilmu dan bersikap proaktif dalam mencabar idea dan mengemukan idea-idea baharu yang begitu berharga kepada gerakan amnya.

Program Institut Negarawan Siswa 2.0 akhirnya melabuhkan tirai dan diyakini telah mampu memberi manfaat yang besar kepada setiap individu peserta. INSIS 2.0 telah disempurnakan dengan ucapan khas dan perasmian penutupan oleh Ir. Hadi B Amat, mewakili Akademi Kepimpinan Pemuda yang berperanan untuk terus menyuntik kualiti kepimpinan pemuda bermula daripada alam kampus yang bertakwa dan berkarisma. Ir. Hadi menegaskan agar semua peserta INSIS 2.0 memperkaya setiap agenda perjuangan anak muda berlandaskan matlamat yang betul dan jelas disamping menghayati dengan baik segenap isu-isu masyarakat khususnya dalam negara dan antarabangsa amnya. Beliau antara lain mencabar para mahasiswa dan graduan supaya berani dan tidak gentar serta berstrategi dalam memperjuangkan agenda yang lebih besar, agar tidak hanya tertumpu kepada permasalahan kampus semata-mata termasuk agenda idealisma mahasiswa yang mencelarukan setiap peranan dan pemikiran.

Akhirnya, kejayaan penganjuran INSIS 2.0 pada kali ini telah mencurahkan manfaat kepada lebih 70 peserta yang sedia menyahut cabaran alaf baharu dan tampil sebagai individu negarawan yang efektif sebagai aset gerakan PAS.

0 comments: